Ahad, 29 Mei 2011

Puisi Dari Sahabat

Tuhanku,
Usah biarkan aku,
Termanggu tanpa ehsanMu,
Terkaku tanpa rahmatMu,

Usah biarkan aku,
Tersesat di hutan buntu,
Tercampak di hutan malu,

Usah biarkan aku,
Terapung di lautan nafsu,
Hanyut tanpa hala tuju.

Tuhanku,
Sungguh aku hanya hamba,
Yang mudah dibuai alpa,
Dihijab tompokan dosa,
Dibutakan keasyikan dunia,
Ampunkan segala khilafku yang nyata.

Tuhanku,
Anugerahkanlah setitis hidayah dan rahmat,
Agar bisaku menjadi sebenar-benar hamba,
Untuk tetap thabat mengharungi,
UjianMu yang hebat,
demi meraih cinta dan syurgaMu di sana..

Nota: Puisi nan indah ini adalah hadiah seorang sahabat yang sering menjadi penguat ketika lemah, sering memimpin tika tersasar. Sungguh saya benar-benar bertuah memilikinya. Dia bakal mengakhiri zaman sendirinya beberapa jam sahaja lagi. Terkilan tidak dapat menemaninya di hari yang bersejarah namun doa sentiasa dikirim agar hidupnya sentiasa dilimpahi rahmatNya yang tidak putus-putus.

Ahad, 1 Mei 2011

Khabar dari Jordan 2: Khabar Musim Bunga

"Pengembaraan baru sahaja di permulaan, mampukah ditamatkan hingga ke penghujungnya?"

Salam Urdun Awwalan.

Selamat Hari Pekerja.

Tahun ini, pohon sakura gugur tanpa sempat menemui rakannya si putih salju. Walaupun musim syita' (musim sejuk) sudah di penghujung, musim rabi' (musim bunga) mula menjengah masuk, angin sejuk masih lagi menyapa lembut.

Semenjak awal tahun, saya masih belum sempat meninggal coretan di kanvas ini. Sebetulnya, saya selalu menulis, tetapi selalu sahaja tidak dapat menghabiskannya, buktinya di draft sahaja terdapat hampir 200 post yang tidak terposting.

Ayahbonda dan rakan-rakan sudah bising bertanyakan coretan terbaru. Rupanya khabar saya masih lagi diambil berat oleh mereka. Jadi sukalah saya mencoretkan sedikit coretan untuk tatapan mereka.

1) Bayt Fuqaihah keputusan talian internet pada awal tahun dan berlanjutan hingga ke akhir bulan 2. Mungkin akibat bersedih kerana kehilangan dua orang ahli rumah yang terpaksa menangguhkan pengajian. Bendahari rumah, dinda Hidayah menjadi salah seorang daripada mangsa 'Revolusi di Mesir'. Niat asalnya ingin mengembara di bumi kinanah bertukar menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Mujurlah dia masih berada dalam pemeliharaanNya. Akhirnya mengambil peluang untuk pulang bersama pelajar-pelajar Mesir yang dihantar ke
Malaysia.

Manakala ahli bayt yang kedua, dinda Fatimah pula diuji dengan kepulangan ayahandaNya yang tersayang. Dia juga turut mengambil keputusan menangguhkan pengajian sehingga semester pertama 2011/2012 setelah mengambil kira kesihatan bondanya. Moga Allah membalas kesedihan dinda Fatimah dengan kegembiraan yang kekal abadi di akhirat kelak. Al-Fatihah buat ayahanda Fatimah.

Lama juga Bayt Fuqaihah mengalami kemurungan, nasib baiklah ramai juga adik beradik HELWANIS PERMATA yang rajin datang memeriahkan bayt kami.

Kami di Fuqaihah sangat merindukan kalian. Mudah-mudahan kalian kuat menghadapi ujian. Innallaha ma'ana.

2) Apabila talian internet kembali diakses, 'mujahid' saya pula buat hal. Terdapat sedikit kerosakan yang masih belum sempat dibaiki. Maka laptop ahli bayt saya yang menjadi mangsa. Terima kasih dinda Sya'wanah dan dinda Ateh Aziah kerana sudi meminjamkan laptop mereka. Insya Allah akan cuba membaikinya dalam masa terdekat.

3) Memulakan pengajian semester dua dengan keadaan bumi arab yang sedang bergolak, pendaftaran universiti pun pada awalnya tergendala seminggu dengan mogok yang dilakukan oleh pekerja-pekerja universiti yang meminta gaji mereka dinaikkan. Tanpa disangka, Kerajaan Ben Ali dan Mubarak akhirnya tumbang setelah bertahun-tahun menindas hak rakyat jelata. Di Jordan, pergolakan masih terkawal kerana sistem beraja yang diamalkan di bawah pemerintahan Raja Abdullah Thani. Isu revolusi rakyat turut menarik perhatian PERMATA melalui program KARIM untuk mengadakan diskusi berkenaan isu ini. Terbaru, revolusi rakyat turut merebak ke jiran sebelah Jordan iaitu Syiria. Kuasa rakyat memang tidak dapat dinafikan. Tidak sabar menunggu tarikh PRU di Malaysia untuk sama-sama melakukan perubahan. Jika diberikan pilihan untuk pulang berhari raya atau pilihanraya, sudah pasti saya memilih pulang beraya di hari pilihanraya;)

4) Semester ini lebih selesa bagi saya berbanding semester lepas yang terpaksa 'rush' untuk menghabiskan 21 jam kredit. Namun, baru sahaja merasai kenikmatan menghadam ilmu daripada para ulama', semester dua sudah hampir sampai ke penghujung, bahang imtihan nihaie semakin terasa. Semester ini, saya berkesempatan menghadam 6 subjek bersamaan 18 jam kredit.

Antara subjek teras adalah subjek Fiqh Kehakiman. Pada awalnya didaftarkan bersama syu'bah Dr. Syuesyh, namun ditakdirkan subjek ini turun bersama Dr. Faris yang saya gelarkan sebagai ensiklopedia bergerak. Walaupun di usia emas, kekuatan memorinya sangat menakjubkan. Saya sangat mengesyorkan subjek ini kepada Dato' Eskay yang sangat mudah melafazkan sumpah laknat itu.

Seterusnya subjek Fiqh Muamalat Maliah Mua'soroh adalah berkenaan sistem ekonomi semasa di dalam Islam. Diajar oleh Dr. Hammad Azzam yang tidak dapat disangkal kepakarannya dalam bidang ekonomi Islam. Mempelajari subjek ini membuatkan kita semakin memahami hikmah pengharaman riba. InsyaAllah akan dibuat posting khas mengenai bahaya riba.

Subjek Fiqh U'qubat 1 pula berkenaan undang-undang Hudud di dalam Islam. Walaupun kuliahnya berada di waktu petang iaitu waktu istirehat, namun dengan pengajaran Dr. Hamid Majali, semua pelajar mengambil perhatian kerana pembelajarannya berbentuk dua hala. Menarik dapat mempelajari keadilan undang-undang Islam yang masih lagi dinafikan haknya. Mudah-mudahan undang-undang ini dapat dilaksanakan di negara-negara Islam.

Dalam subjek Asalib Bahas (Penulisan Ilmiah) yang dibimbing oleh Dr. Ali Fawwaz pula, saya memilih untuk menulis penulisan ilmiah berkenaan Kepimpinan Ratu Saba'. Kajian di dalam surah an-Naml ayat 22-40. Kajian masih di peringkat mengumpul bahan dan maklumat. Masih berbaki beberapa minggu lagi sebelum tamat tarikh akhirnya. Moga berjaya disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Juga berkesempatan mempelajari subjek selektif iaitu Al-Quds. Mempelajari sejarah bagi tanah yang terletaknya kiblat pertama umat Islam. Bersama Dr. Subhi Azzam menelusuri sejarah bumi yang tidak pernah sunyi daripada pergolakan dan perebutan tiga agama terbesar dunia. Mudah-mudahan bumi Isra' ini juga berjaya ditawan kembali oleh umat ISLAM.

5) Semalam, program Hari Keluarga PERMATA menutup tirai kepimpinan PERMATA kali ini. Dengan peneraju utama, Ustaz Mohammad Hussin bin Mohd Fauzi dan Ustazah Nur al-Farhain binti Kamaruzzaman, PERMATA yang berusia 12 tahun semakin pantas berlari. Tidak dinafikan, masih banyak lagi yang perlu diperbaiki.. Namun saya memberikan kredit kepada kepimpinan kali ini dalam usaha membawa perubahan-perubahan sepanjang kepimpinan mereka.

6) Bahang PRK di Jordan semakin terasa, sedang berlangsung sekarang adalah Pilihanraya MPPM yang melibatkan pemilihan pimpinan peringkat Jordan. Terdahulu pilihanraya PZ PERMAI mendahului seluruh PRK PZ pada 29 April. Disusuli dengan PRISMA di Mafraq dan PERMATA pada 3 Mei 2011. Tidak pasti tarikh bagi PPMA. Manakala bagi BKAN, KMKJ mendahului BKAN-BKAN lain pada 13 Mei ini. Jika punya kesempatan saya akan memposting artikel khusus tentang kepimpinan.

7) Sepanjang minggu lepas, dataran syuhada' dikunjungi oleh para ulama' mu'tabar. Antaranya kedatangan al-fadhil Habib Umar ke Masjid Mazar untuk menyampaikan khutbah Jumaat. Kemudian, perkongsian ilmu dari Al-Fadhil Sohibul Samahah mantan mufti Iraq Dr. Malik Sa'adi (senior-senior meriwayatkan ba, bayt fuqaihah dahulunya rumah sewa dr. malik sebelum beliau bertukar ke Amman) dan adiknya Dr. Razak Sa'adi dalam slot penutup Ideal Muslim Campaign (IMC). Tanpa disangka-sangka Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang juga berkunjung ke Mu'tah dalam rangka lawatannya ke Jordan. Alhamdulillah, tiada yang paling membahagiakan selain dapat menatap wajah-wajah tenang para ulama' serta menadah segala mutiara kata yang terluncur dari mulut mereka. Jadikanlah kami Ya Allah, dalam kalangan mereka!

8) Malaysia tetap di hati. (bunyi macam kena pulang sahaja tahun ini..hu3). Saya sudah berusaha memakai baju 'kalis rindu' tetapi kerinduan itu terbit jua setelah dua tahun di perantauan. Saya akhirnya terpaksa mengakui pepatah "Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri!". Tidak sabar-sabar pulang untuk berbakti pada tanah air. (Mode: patriotik). Doakan saya dapat menempuh imtihan nihaie dengan jayanya. Saya perlu belajar dengan lebih tekun kerana masa masih berbaki 13 bulan untuk menggali mutiara di tanah syuhada'.