Khamis, 28 Februari 2013

Habibie dan Ainun

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum wrt. wbrt.


Sedang berjalan-jalan membaca berita negaraku tercinta Malaysia yang sedang menghadapi musim tengkujuh serta berita keangkuhan pemimpin negara yang sampai sekarang masih belum mengumumkan tarikh pilihanraya, sempat lagi bertemu dengan nukilan sajak ini. Sangat terkesan dengan ayatnya yang ringkas namun cukup untuk menggambarkan lubuk sanubari seorang suami yang tulus ikhlas menyayangi isterinya.


Mana Mungkin Aku Setia… 

Sebenarnya ini bukan tentang kematianmu, bukan itu. 
Karena, aku tahu bahwa semua yang ada pasti menjadi tiada pada akhirnya, 
dan kematian adalah sesuatu yang pasti, 
dan kali ini adalah giliranmu untuk pergi, aku sangat tahu itu. 

Tapi yang membuatku tersentak sedemikian hebat, 
adalah kenyataan bahwa kematian benar-benar dapat memutuskan 
kebahagiaan dalam diri seseorang, sekejap saja, lalu rasanya mampu membuatku menjadi 
nelangsa setengah mati, hatiku seperti tak di tempatnya, dan tubuhku serasa kosong melompong, 
hilang isi.

Kau tahu sayang, rasanya seperti angin yang tiba-tiba hilang berganti kemarau gersang. 
Pada airmata yang jatuh kali ini, aku selipkan salam perpisahan 
panjang, pada kesetiaan yang telah kau ukir, pada kenangan pahit manis selama kau ada. 

“Aku bukan hendak mengeluh, tapi rasanya terlalu sebentar kau disini.” 

Mereka mengira aku lah kekasih yang baik bagimu sayang, tanpa mereka sadari, bahwa kaulah 
yang  menjadikan aku kekasih yang baik.  
Mana mungkin aku setia padahal memang  kecenderunganku adalah mendua, tapi kau ajarkan 
aku kesetiaan, sehingga aku setia, kau 
ajarkan aku arti cinta,sehingga aku mampu mencintaimu seperti ini. 


Selamat jalan, Kau dari-Nya, dan kembali pada-Nya,kau dulu tiada untukku, dan sekarang kembali tiada.Selamat jalan sayang, cahaya mataku, penyejuk jiwaku,Selamat jalan, calon bidadari surgaku ….



Kebetulan baru sahaja menonton filem Habibie dan Ainun yang diadaptasikan daripada buku biografi mantan Presiden Indonesia yang terkenal dengan reformisnya, bertajuk Habibie dan Ainun. Kehilangan Ibu Ainun yang begitu mendalam kesannya bagi Pak Habibie menyebabkan beliau perlu menjalani rawatan psikologi, salah satunya adalah terapi menulis, sehingga terhasillah buku ini.

Kisah Pak Habibie ternyata menginspirasikan. Tidak hairan jika Alif Fikri (watak utama dalam novel Negeri 5 Menara) menjadikan beliau sebagai idola. Seorang yang berwawasan dan berfikiran jauh kehadapan. Kemahiran beliau sebagai seorang jurutera dalam industri pesawat terbang mendapat pengiktirafan daripada negara tempat beliau menyelesaikan pelajarannya hingga ke peringkat Doktor Falsafah, Jerman.

Keinginan untuk mencurahkan tenaga di tanah air tercinta membuatkan beliau terbang pulang ke Indonesia dengan cita-cita mencipta sebuah kapal terbang buatan Indonesia yang pertama dan impian beliau tercapai setelah lebih 20 tahun.

Terlibat juga dalam pembangunan masyarakat Indonesia sebagai ahli politik dan hingga diangkat ke peringkat yang tertinggi iaitu Presiden Indonesia.

Paling mengesankan, paparan kisah suka duka kehidupan berumahtangga beliau. Rumahtangga yang dibina hampir setengah abad iaitu selama 48 tahun 10 hari bertahan utuh sehinggalah maut yang memisahkan. Babak yang paling menyedihkan tatkala ibu Ainun diserang penyakit jantung, namun disembunyikan daripada Pak Habibie, sehinggalah diketahuinya apabila sudah tamat perkhidmatan sebagai Presiden. Kesetiaan beliau terbukti apabila sanggup menjaga Ibu Ainun yang sakit selama 10 tahun sehingga nyawa bercerai dari jasad.

Kisah realiti yang wajar sekali diteladani. Peribadi ibu Ainun yang sangat mengujakan, menjadi teman yang tidak mudah merungut bahkan sabar dihimpit kesusahan, pengingat di waktu kemuncak kemasyhuran.

Saya bukan pengulas yang baik, jadi sila saksikan sendiri filem ini, pasti anda akan mengakhirinya dengan air mata :)

Nota: Tidak dapat membayangkan kesedihan Baginda Rasulullah s.a.w sewaktu kehilangan jantung hati baginda s.a.w, Khadijah bt Khuwailid sehingga digelar tahun itu sebagai tahun kesedihan.




Khamis, 10 Mei 2012

Warna-warna Jordan: Cerita Fuqaihah 1

Bismillah.

Bunga ros kuning di halaman tangga Fuqaihah begitu mekar berkembang. Tanda musim bunga sudah menjengah bumi Urdun. Ceria. Sesekali melihatnya mendamaikan hati. Dedaun di pohon anggur juga galak menjalar, namun buahnya sama sekali kami tidak dapat memetik dan merasai kemanisannya pada musim ini. Kami? Sepatutnya hanya saya seorang sahaja yang perlu merasai kesedihan meninggalkan Fuqaihah tidak berapa lama lagi. Tetapi takdir Allah, dikurniakan teman-teman sebayt untuk sama-sama mengemas barang:) Al-kisahnya sohib bayt (tuan rumah) ingin menamatkan akad ijar (kontrak sewa) pada bulan depan. Bermakna hanya tinggal beberapa hari lagi berbaki.

Sepanjang menjejakkan kaki di sini, sudah tiga kali  saya berpindah randah. Semua perpindahan tersebut terjadi di awal tahun pengajian. Biasalah, adat pelajar baru yang baru belajar menyesuaikan diri. Ingin mencari rumah sewa yang benar-benar sesuai dengan jiwa di tanah arab ini agak sukar. Pasti ada sahaja yang tidak kena. Rumah yang pernah diduduki di syuqqah Mat'am Syuruq tempoh hari misalnya, sewa yang agak mahal dengan kemudahan yang kurang memuaskan. Bayangkan tangki air bagi setiap rumah di situ hanya satu meter padu untuk kegunaan seminggu! Jika hanya terpaksa bertolak ansur dengan harga bil elektrik dan perkhidmatan jurrah (Indah Water) yang mahal sahaja mungkin masih boleh bertahan. Ada enam buah rumah pelajar Malizi yang terdapat di Syuqqah Mat'am Syuruq ketika itu. Kesemuanya pelajar baru. Akhirnya setelah berbincang, kami bersetuju untuk berpindah keluar.

Alhamdulillah, setelah puas mencari, bagai bulan jatuh di riba, kami di'rekemen'kan Bayt Fuqaihah oleh suami sahabat yang pernah menjadi imam di Masjid Baz suatu ketika dahulu. Walaupun kedudukannya agak jauh dan di pinggir bandar Mu'tah, tapi saya senang dengannya. Bayt yang mustaqil (rumah sebuah dan tidak bersambung dengan mana-mana rumah lain) berbanding pelajar Malizi yang lain kebiasaannya akan menyewa di syuqqah bersama dengan a'ilah (keluarga arab). Rumah ini dahulunya pernah disewa oleh Dr. pensyarah Universiti Mu'tah. Mempunyai 4 buah bilik yang selesa, 2 ruang tamu yang luas, 2 bilik air dan 1 dapur yang besar. Yang penting, tangki airnya empat meter padu seminggu. Walaupun tidak dapat menandingi kemewahan air di tanah air, empat meter sudah dianggap agak lumayan oleh kami di sini. Bayaran sewa agak mahal jika dibandingkan dengan rumah-rumah sewa yang diduduki pelajar Malizi tetapi berbaloi dengan pembahagian bersama dengan enam lagi ahli bayt. 

Hampir tiga tahun juga kami berteduh di bumbung Fuqaihah. Pelbagai kisah manis, pahit yang dirasai bersama. Pernah dihuni oleh 7 orang gadis pingitan:) Kata saya pada ahli bayt, kisah kita ingin dirakam dalam bentuk tulisan. Doakan saya istiqamah menulis:)

Bersambung...


Selasa, 28 Februari 2012

Eastpirasi..

Bismillah..

Entry kali ni hendak berkongsi dengan kalian majalah yang diterbitkan secara online dari meja MPPMJ..

Jom membaca...

Memang best!

Sila klik di sini.

Majalah Eastpirasi

Rabu, 4 Januari 2012

Menulis, menulis dan menulis...

Salam Urdun Awwalan,

1. Sudah 4 bulan saya membiarkan blog ini sepi tanpa post terbaru. Perkembangan yang sangat tidak bagus untuk seorang pelajar seperti saya. Menulis bermakna berfikir dan menganalisa, berfikir bermakna perlu bahan-bahan untuk dianalisa, bermakna juga perlu banyakkan pembacaan. Sudah lama tidak menulis mungkinkah bermakna sudah lama tidak membaca dan berfikir. Oh, saya tidak boleh membenarkan blog ini bersawang kembali.

2. Permulaan saya menulis blog, saya memasang niat supaya blog ini boleh menjadi salah satu medan saya menyebarkan dakwah, salah satu usaha saya untuk Islam. Permulaan tahun Islam 1433H, harus saya menagmbil kesempatan untuk mentajdid kembali niat dan azam. memberi sumbangan dalam penulisan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Mampukah?

3. Menulis, menulis dan menulis. Terlalu lama tidak menulis menyebabkan tangan menjadi kaku menaip. Bukan disebabkan tiada isu, tetapi kegagalan fokus menyebabkan entry yang ingin dipost disimpan sahaja di dalam draft. Perlu mencontohi para ulama yang terdahulu tidak pernah jemu menulis untuk tatapan ummat.

4. Doakan saya terus kembali mengupdate blog ini.(^_^)..


Selasa, 26 Julai 2011

Kun Fayakun..

Bila Dia menitah 'kun',
Maka terjadilah 'fayakun'..

Sejauh mana kudrat selain DIA?
Mahu ingkar titahNya?

Hanya sekadar bergelar penguasa,
Bongkak, mendabik dada?
Sewenang memeras jelata?
Rakus menyalahguna kuasa?

Belajarlah hikayat Pak Firaun,
Bongkak bertitah.. "Ana Rabbukumul A'la"
Memaksa marhean mengakunya Tuhan,
Akhir tenggelam ditelan lautan.

Sedarilah diri hanya dari setitis air yang hina,
Lantas dimulia hanya jika akur padaNya..

Sekali lafaz keramat "kun" dititah,
Maka perintah terus di"Fayakun".

P/s: Jika seluruh manusia dan makhluk di langit dan bumi dikumpulkan untuk memberi kemudhratan kepadamu, nescaya tidak akan mampu memberi sedikit pun kemudharatan tanpa izinNya.

Nota: Mereka mampu mengugut, memeras, menghukum, mengazab di dunia. Di akhirat akan ditagih dan dituntut bela segala balasan atas perbuatan yang dilakukan.

Rabu, 13 Julai 2011

Puisi untuk Sahabat Seperjuangan

Salam sya'ban,

Kudedikasi Puisi ini khas buat sahabat.

Di saat melorong jalan,
Merintis laluan,
Menebang halangan,
Melakar harapan,
Membina landasan,
Generasi kemudian.

Layakkah jiwa,
Menjerit perit.
Merintih jerih,
Melirih letih,
Meluah lelah?

Sedang kaki baru melangkah,
Sedang usaha baru dikerah,
Sedang keringat baru diperah,
Bagaimana ingin menduga lautan yang dalam.

Simpan saja jeritan peritmu itu,
Telan saja jerih usahamu,
Tanggung aja keletihan itu,
Biarkan jiwa berhempas lelah,
Sebagai saksi menuntut istirehah,
Di akhir perjalanan menuju rabbah..
Perit itu hanya perasa,
Jerih pula penambah rencah,
Letih hanya penguat tekad,
Sedang lelah ubat mujarab,
Dalam diari hidup pejuang.

Sungguh kita baru di muara,
Belum pernah mencecah medan..

Ahad, 29 Mei 2011

Puisi Dari Sahabat

Tuhanku,
Usah biarkan aku,
Termanggu tanpa ehsanMu,
Terkaku tanpa rahmatMu,

Usah biarkan aku,
Tersesat di hutan buntu,
Tercampak di hutan malu,

Usah biarkan aku,
Terapung di lautan nafsu,
Hanyut tanpa hala tuju.

Tuhanku,
Sungguh aku hanya hamba,
Yang mudah dibuai alpa,
Dihijab tompokan dosa,
Dibutakan keasyikan dunia,
Ampunkan segala khilafku yang nyata.

Tuhanku,
Anugerahkanlah setitis hidayah dan rahmat,
Agar bisaku menjadi sebenar-benar hamba,
Untuk tetap thabat mengharungi,
UjianMu yang hebat,
demi meraih cinta dan syurgaMu di sana..

Nota: Puisi nan indah ini adalah hadiah seorang sahabat yang sering menjadi penguat ketika lemah, sering memimpin tika tersasar. Sungguh saya benar-benar bertuah memilikinya. Dia bakal mengakhiri zaman sendirinya beberapa jam sahaja lagi. Terkilan tidak dapat menemaninya di hari yang bersejarah namun doa sentiasa dikirim agar hidupnya sentiasa dilimpahi rahmatNya yang tidak putus-putus.