Rabu, 25 Mac 2009

Ramai guru sakit jiwa? Apa yang tidak kena pada sistem pendidikan di Malaysia?


Dengan nama Allah yang Maha Pengasihani..

Salam ketemu kembali.

Sekitar dunia pendidikan...

Satu demi satu masalah yang melanda sistem pendidikan di Malaysia. Nampaknya bukan sahaja para pelajar menjadi mangsa, bahkan juga segelintir golongan guru..

Dipetik daripada KOSMO!:

BEBANAN kerja sebagai guru semakin kompleks kerana selain mengajar, mereka juga terpaksa menyediakan soalan-soalan peperiksaan dari semasa ke semasa, mengisi buku kedatangan, buku disiplin dan ringkasan mengajar, borang kesihatan dan rekod kemajuan murid, kelab dan persatuan, serta mengendalikan persiapan hari sukan.

Justeru, guru-guru dikatakan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan sehingga boleh membawa kepada penyakit mental yang serius seperti bipolar, kebimbangan melampau dan kemurungan.

Kajian oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendapati 70 peratus daripada 9,000 guru di seluruh negara tertekan bukan sahaja kerana beban tugas tetapi juga terpaksa berdepan dengan kerenah pengetua, kerani, ibu bapa dan juga pelajar.

Bacaan lanjut :http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Penulis berpendapat, sistem pendidikan yang lebih berorientasikan peperiksaan banyak mendatangkan tekanan samada kepada para pelajar mahupun para guru. Semuanya berlumba-lumba ingin men'score'kan sebanyak mana 'A' yang diperolehi, sedangkan itu semua masih belum mencukupi untuk menghadapi realiti sekarang yang lebih mencabar!


# Wahai Hisyamuddin, sekarang bukan masa bermain keris. PPSMI, kes jenayah juvana dan bermacam-macam lagi menuntut untuk diselesaikan! Usahlah berpolitik sehingga memusnahkan nasib anak bangsa.. Masa depan mereka bukan untuk diperjudikan.

Ahad, 15 Mac 2009

Sang pendidik..

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih..

Alhamdulillah, berjuta kesyukuran dipanjatkan kepadaNya atas limpahan nikmat yang tidak pernah putus-putus..

Lama tidak meng'update' blog ni. Baru sahaja berkesempatan sempena musim cuti sekolah ini. Sebenarnya sudah tiga minggu saya bertugas sebagai seorang pendidik di sebuah sekolah kebangsaan menggantikan tempat ibu saudara yang dapat menyambung pengajian secara jarak jauh..

Seputar tiga minggu ini, rupanya banyak sekali pengalaman yang telah diperoleh.. Teruja dengan ragam dan karenah para pelajar. Nampak sekali di raut wajah mereka yang bukan sahaja dahagakan ilmu bahkan contoh dan teladan yang praktikal daripada 'sang pemberi ilmu'. Berdepan dengan pelajar yang berbilang kaum dan agama jua memberiku pengalaman dan cabaran baru. Yang pasti tugas 'memanusiakan manusia' bukan tugas yang mudah untuk dipikul. Tambahan pula mendidik generasi muda yang bakal mencorak negara di masa hadapan.

Ya, semestinya bukan mudah. Ramai orang boleh menjadi mu'allim (sang pengajar), namun yang berjiwa murabbi (sang pendidik) hanya sebahagian yang mengerti tanggungjawab dan amanah mereka sahaja. Teringatku akan kebenaran kata-kata seorang murabbi, us Yahya Othman yang pernah mensyarahkan perbezaan mu'allim dan murabbi sewaktu aku bertamrin di bumi Nilam Puri. Mu'allim hanya mencurahkan maklumat tanpa membimbing pelajar, namun murabbi memberi ilmu serta mendidik dan membimbing pelajar mengamalkan ilmu tersebut. Tentu sahaja seorang guru yang memukul pelajar sehingga berbirat gara-gara bising di luar kelas seperti dalam akhbar metro dua hari yang lepas tidak layak digelar murabbi bahkan mereka ini yang mencalar nama 'gah' bagi guru.
Pastinya Rasulullah adalah murabbi yang terbaik. Pengajarannya penuh hikmah, kasih sayang, lemah lembut dan penuh kesabaran. Hasilnya baginda berupaya membentuk generasi al-Quran yang tiada taranya sehingga ke hari ini. Mudah-mudahan saya mampu mencontohi baginda.

Apa pun, jiwa saya sudah meronta-ronta untuk menjadi sang pendidik! Walaupun hanya sebentar, doakan saya bisa meneruskan amanah dan tanggungjawab ini...

Isnin, 2 Mac 2009

Puisi Keranda 152

keranda 152 sedang diusung




Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi
Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah
Sebelum lidahmu jadi bisu

- Usman Awang -