Isnin, 6 Disember 2010

Salam Hijrah

“(Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): ‘Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka’," (Ali Imran: 191).

Festival of Islamic Conference 2009 (FISCO 09) telah melabuhkan tirainya. Sangat bersesuaian tarikh FiSCo jatuh pada awal bulan Muharram. Bulan hijrah dan bulan perubahan. Dengan tema “Kesedaran Ilmuan Pemangkin Kegemilangan Tamadun” FISCO 09 telah berakhir dengan beberapa resolusi yang sangat penting kepada mahasiswa khususnya yang berada di Mu’tah.

Tema tersebut membawa pengertian yang sangat mendalam terhadap terutama kita selaku mahasiswa yang memegang amanah ilmu.

Jika dicermati, ‘turning point’ yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dalam peristiwa hijrah telah membawa perubahan yang sangat besar dalam sejarah peradaban tamadun manusia. Itulah jua titik tolak kepada kegemilangan tamadun Islam. Besarnya pengajaran yang terdapat dalam peristiwa hijrah sehingga Saidina Umar memutuskan hijrah sebagai tarikh permulaan tahun baru bagi Islam. Intisari dakwah baginda adalah menyeru manusia melepaskan diri daripada perhambaan manusia kepada manusia kepada pengabdian yang mutlak kepada Allah s.w.t.

Bagaimana Rasulullah s.a.w berjaya mengubah kekaratan paradigma masyarakat jahiliyyah?

Bagaimana Rasullullah berjaya mengubati masyarakat arab yang terkenal dengan kebobrokan akhlak dan kepada akhlak Islamiyyah yang lebih bertamadun?

Bagaimana Rasulullah berupaya menyatukan masyarakat arab yang terkenal dengan keta’asuban kepada kabilah kepada persaudaraan islam?

Bagaimana Rasulullah meletakkan batu asas kepada peradaban manusia?

Kuncinya adalah ilmu.

Ilmu yang menumbuhbuah Iman dan taqwa.

Ilmuan : Bagaimana mencetus SEDAR?

Dr. syuies pernah berkata ketika mengupas tentang kepentingan ilmu fiqh: “ Manusia berhajat kepada ulama’ seperti mana manusia berhajat kepada makanan dan minuman”

Kata-kata beliau menunjukkan keperluan golongan Ilmuan terutama yang mempelajari ilmu-ilmu Islam merupakan suatu keperluan yang bukan sahaja hajiyyat bahkan sudah menjadi dharuri dalam masyarakat hari ini.

Ketika ini, dunia sedang sibuk mencari penawar yang mujarab bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang sedang membarah samada dari sudut sosial, ekonomi, dan lain-lain. Teori sosialis, kapitalis, komunis dan lain-lain sudah menampakkan kegagalan. Sedang hanya Islam sahajalah jalan keluar yang terbaik bagi segala permasalahan.

Namun, siapa lagi yang akan menunjukkan penyelesaian secara Islam jika tidak kita yang menyandang tugas sebagai ilmuan Islam. Peranan kita bukan sekadar bergelar guru J-QAF dan lain-lain apabila bergraduan nanti bahkan kitalah doktor dan arkitek yang akan menyelesaikan pelbagai masalah yang melanda Malaysia pada hari ini.

Sedari hakikat ini, kita selaku mahasiswa yang memegang tanggungjawab ilmu perlu mengubah sikap daripada sikap suka bermalas-malasan, suka bertangguh, tidak gemar berusaha kepada usaha dengan lebih tekun. Bersungguh-sungguhlah menguasai disiplin ilmu yang sedang dipelajari sehingga berupaya menjadi pakar rujuk. Bukan hanya berpuas hati apabila bisa meraih sijil semata. Lakukan anjakan paradigma samada dari sudut pemikiran dan akhlak demi mengembalikan kegemilangan tamadun Islam. Usah kerana kita tamadun Islam itu mati!

Selaku agen perubah masyarakat, sekarang bukan masa untuk berbicara soal ‘kita’ semata-mata bahkan inilah saat untuk kita turut sama berpencak dan turun padang berfikir untuk menyelesaikan masalah umat dengan menghidangkan ISLAM sebagai formula penyelesaian.

Akhirnya sama-sama kita menyambut moto PERMATA pada sesi ini, MAHASISWA MATANG,PERMATA GEMILANG.

Ayuh lengkapkan diri dengan ilmu yang mantap, pemikiran yang matang, berfikirlah seperti seorang negarawan, matanglah dalam tindakan dan seterusnya akan menimbulkan gelombang perubahan dalam masyarakat.

Soalnya, bersediakah anda untuk berubah?

Nota: Membelek-belek tulisan lama, terjumpa artikel yang ditulis untuk e-Fikrah pada tahun lepas. Salam Maal Hijrah:)

Bunga Agama

“Di mana ayahmu?” garau suara lelaki tersebut bertanya kasar.

“Aku tidak tahu”, jawab perempuan tersebut dengan tegas dan tegar.

Berkali-kali soalan itu diulang. Namun jawapan yang sama juga diulang. Ternyata tindakan wanita yang sedang mengandung itu mengundang kemarahan lelaki tersebut. Lantas berkali-kali tamparan hinggap ke pipi mulusnya. Dihadiahi tangan kasar lelaki tersebut kerana wanita tersebut enggan bekerjasama. Kemudian didatangnya pula ugutan dan ancaman untuk menakut-nakutkan wanita itu dengan harapan berupaya mendesak wanita itu memberitahu ke mana ayahandanya berada.

Tamparan tersebut mengundang kepedihan di pipinya. Jika hendak diceritakan sakit memang tidak terperi. Tamparan tersebut telah membuatkannya jatuh tersungkur. Anting-antingnya terpelanting. Pedih dirasa menjalar hingga ke telinga, namun lisannya tetap dikunci rapat-rapat. Sesekali dia tidak akan membocorkan rahsia penting itu.

Rahsia yang perlu dijaga serapi mungkin, jika tidak pasti akan membawa kehancuran yang tidak sedikit. Kesannya bukan sahaja hari itu, namun jua melibatkan generasi yang akan datang, bahkan sehingga hari kiamat.

Bayangkan sejauh manalah kudrat seorang wanita yang lemah ditambah dengan keadaannya yang sedang berbadan dua untuk menanggung keseksaan itu.

Seksa. Sakit. Namun sesekali tidak mampu mengubah pendiriannya. Ternyata, cekal sekali perempuan tersebut

Dialah Asma’ puteri Abu Bakar.

Peranan yang dimainkan oleh beliau bukan sedikit dalam menjayakan peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. Beliau juga bisa memanjat bukit yang curam semata-mata ingin membekalkan makanan buat ayahanda tercinta jua bagainda s.a.w. di puncak gunung Thur . Hatta digelar ‘zatul niqatain’ perempuan yang memiliki dua tali pinggang kerana tali pinggangnya dibahagi dua untuk buat mengikat bekalan makanan. Walau ketika itu dalam keadaan hamil namun jiwanya besar dalam menanggung amanah yang berat daripada ayahandanya dan baginda Rasululah s.a.w. . Bukannya dia tidak sedar bahaya yang menunggunya jika tugas itu diketahui orang kafir.

Di sinilah bukti keberanian seorang perempuan dalam melawan tentangan alam atau manusia dalam misi mengembangkan ajaran Islam tercinta.

Meneladani keberanian dan kecerdikan Asma’.

Menekuni kisah penghijrahan Rasulullah daripada Mekah ke Madinah, maka kita akan mendapati wanita turut tidak terkecuali memberi sumbangan terhadap keberjayaan hijrah baginda. Kisah di atas hanya salah satu contoh daripada sumbangan wanita. Terdapat ramai lagi yang memberi sumbangan hingga tertegaknya sebuah pemerintahan Islam di Madinah.

Ya, wanita yang dahulunya pada zaman jahiliyyah telah dinafikan hak mereka. Namun kedatangan Islam telah meletakkan kembali wanita pada tempatnya.

Wajar sekali kita selaku mahasiswi Islam menekuni ‘ibrah di sebalik kejadian tersebut. Kisah Asma’ seorang yang jitu dalam mempertahankan amanah, cerdik dan tinggi pengorbananya.

Bagaimana tubuhnya yang kecil ditambah dengan keadaannya yang hamil mampu mendaki bukit yang curam dan membekalkan makanan kepada ayahandanya di gua Thur?

Tambahan pula beliau perlu cerdik merencana strategi supaya jejaknya tidak dapat dijejaki oleh kaum kafir Quraisy yang sedang memburu dua insan yang sangat-sangat dikehendaki. Jika gagal, bukan sahaja beliau tertangkap, bahkan hancur musnah segala perancangan yang diatur baginda Rasulullah. Yang lebih besar dari itu, syariat Islam tidak mungkin akan sampai kepada kita pada hari ini!

Kuasa apakah yang mendorong beliau begitu cekal dan tabah?

Tidak lain dan tidak bukan adalah kuasa IMAN.

Kepercayaan dan keimanannya kepada Allah dan Rasul telah menggerakkan fizikalnya sehingga mampu mendaki bukit.

Kesedaran dan kefahaman membuatkan beliau tetap teguh walaupun diancam dengan ugutan daripada Abu Jahal.

Membina generasi muslimah yang berjiwa besar.

Wajar sekali kita meneladani teladan yang dibawa oleh Asma’. Hijrah merupakan suatu bentuk uslub siasi. Perpindahan yang bukan untuk melarikan diri, tetapi untuk memastikan Islam dapat berkuasa di muka bumi. Penghijrahan sudah tentu bukan semata dari sudut geografi, tetapi jua dari sudut spiritual. Hijrah daripada perkara yang jahiliyyah kepada mentauhidkan Allah dalam segala aspek kehidupan.

Kisah Asma’ menunjukkan betapa pentingnya peranan wanita bukan terhad kepada mengasuh anak-anak menjadi generasi pembela Islam. Bukan jua sekadar menguruskan hal ehwal rumahtangga. Namun turut juga terfokus dalam membantu perjuangan Islam melalui siasah untuk mengembalikan kekuasaan Islam di muka bumi.

Kekuatan, keberanian, semangat yang kuat, jiwa yang besar serta pengobanan seperti itu sesekali kita tidak akan dapat mencapainya melainkan dengan keIMANan yang tinggi kepada Allah s.w.t.

Sebelum melangkah ke tahun baru, ayuh bersama koreksi peribadi, berupayakan kita meneladani sifat Asma atau masih lagi mahu lena akibat dibius racun-racun musuh?

Bangkitlah serikandiku, kerna kau bunga agama!

Nota: Artikel ini pernah tersiar dalam majalah As-soff setahun yang lepas.

Isnin, 29 November 2010

Cerita berniaga 1

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalaumua'laikum w.b.t.

Kecik-kecik dahulu, saya pernah bercita-cita menjadi usahawan.

Nabi Junjungan besar pun seorang usahawan. Isteri baginda Siti Khadijah yang merupakan tulang belakang baginda juga seorang usahawan besar, malahan bos besar kepada baginda. Al-kisah Saidatina Khadijah berkenan kepada Rasulallah pun kerana amanah baginda menguruskan urusan perniagaan:)

Walaupun saya bukan anak seorang tauke perniagaan, rupanya menurut riwayat yang dinaqalkan oleh bonda, moyang saya seorang peniaga.

Secara jujurnya, saya tidak pandai berniaga, namun tidak tahu mengapa, kehidupan saya semacam kearah itu. Darjah satu lagi dah berjinak-jinak dengan menjual jadual kelas kepada rakan-rakan. Masa itu penggunaan komputer masih belum meluas, jadi saya menaip jadual tersebut kemudian menjualnya. Di samping itu juga, menjual kacang-kacang, asam masin dan makanan ringan yang lain di dalam bas sekolah. Sebelah petang juga, jika bonda mendapat tempahan kuih, sayalah yang akan menghantar kuih-kuih tersebut kepada jiran-jiran yang membuat pesanan.

Kenangan yang tidak dapat dilupa, bermula dengan berkongsi bekal nasi lemak yang disediakan bonda, menjadi modal untuk berniaga setelah kawan-kawan mula berpesan supaya saya membawa bungkusan yang sama kepada mereka. Semenjak itu bermulalah adegan menjadi pembekal nasi lemak ke sekolah. Daripada kurang dari lima bungkus sehinggalah jualan tersebut meningkat sebanyak dua plastik besar kiri dan kanan. Waktu itu, saya darjah empat jika tidak silap. Bayangkan bagaimana saya menjinjit plastik beg sebesar itu ke sekolah kiri dan kanan dengan menaiki bas sekolah. Kelakar juga jika ingin dikenang kembali. Gara-gara berat, saya akan menawarkan sebungkus nasi lemak kepada sesiapa yang menolong mengangkat beg plastik tersebut. Al-hasilnya, ramai juga yang membantu saya mengangkatnya sehingga ke kelas.

Jualan tersebut kekadang turut mendapat perhatian daripada guru-guru praktikal yang bertugas di sekolah. Mereka turut menempah nasi tersebut.

Akhirnya, sepandai-pandai tupai melompat, jualan saya dihidu oleh makcik kantin (kantoi3), lalu mereka mengadu kepada Cikgu Hamzah yang ketika itu merupakan guru disiplin yang paling ditakuti pelajar kerana ke'bekengan'nya (hatta abang saya pun pernah terkucil lantaran ketakutan yang teramat sangat). Lalu, apalagi, saya mendapat 'warning' daripada beliau yang sememangnya mengetahui kegiatan saya itu. Tapi nasib saya baik kerana beliau tidak mengharamkan terus, tetapi menasihati supaya saya berniaga di dalam kelas sahaja. (sebelum ni menjaja nasi lemak di luar kelas:))

Sebetulnya, saya bukan ingin berniaga sangat, tetapi kebetulan mendapat tempahan yang banyak daripada kawan-kawan. Saya sekadar membantu mereka sahaja.

Ketika di Darul Quran pula, kami bercuti Ramadhan selama sebulan:) Bonda saya seorang yang suka memasak. Sebut sahaja menu apa, semuanya mampu disediakan. Maka untuk mengisi cuti tersebut, bonda mencadangkan supaya kami mengambil gerai di pasar ramadhan. Maka, bergilir-gilirlah saya dan abang-abang menjaga gerai yang menjual kuih-muih. Oleh kerana bonda bukan anak jati Terengganu, kuih-muih yang dijual adalah kuih muih dari pantai barat. Kebetulan, ramai pekerja-pekerja luar Terengganu yang bermusafir mencari nafkah di situ, maka jualan gerai ramadhan amat memberangsangkan sehingga memiliki pelanggan tetap.

Macam-macam juga karenah orang Melayu ketika berniaga yang tidak ingin disebutkan di sini.

Cumanya menjadi peniaga memerlukan modal, kesabaran, sikap berani melabur dan mencuba serta teknik memikat hati pelanggan.

Bersambung...

Khamis, 21 Oktober 2010

Kuiz: Sensitiviti

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Jom uji sensitiviti kita di tahap mana.

1) Apakah perasaan anda apabila melakukan dosa-dosa kecil?

A: Tidak menganggapnya perkara yang besar dan ingin mengulanginya lagi
B: Biasa-biasa saja
C: Rasa gelisah
D: Sangat menyesal dan terus bertaubat

2) Apakah yang anda akan lakukan apabila melihat Nabi Muhammad s.a.w dipersendakan dalam bentuk kartun yang tidak selayaknya buat baginda?

A: Tidak merasa apa-apa, menganggapnya kebebasan individu untuk melakukan perkara yang disukai selagi tidak mengganggu hidup anda.
B:Biasa-biasa sahaja
C: Membenci di dalam hati
D: Menyatakan bantahan dengan apa jua cara seperti menyertai perarakan membantah perbuatan kartunis tersebut dan lain-lain.

3) Apakah tindakan anda apabila mendapat tahu artis seperti Adam Lambert dijemput hadir ke konsert di tanah air sendiri?

A: Biarkan dengan urusan dia kerana tiada kena mengena dengan urusan hidup anda.
B: Biasa-biasa sahaja
C: Meluat dengan sikap Adam Lambert dan pihak penganjur yang menjemputnya
D: Menyatakan bantahan dengan pelbagai cara dan wasilah yang ada.

4) Apakah perasaan anda apabila mendapat tahu terdapat pertunjukan fesyen yang dinisbahkan kepada Islam namun peragaannya menunjukkan perkara yang mempersendakan Islam dengan memakai pakaian yang mendedahkan aurat dan sebagainya?

A:Tidak menganggapnya sesuatu yang salah dalam dunia yang serba moden ini
B:Tidak berbuat apa-apa
C:Hanya mampu membenci di dalam hati
D: Menyatakan bantahan dalam apa sahaja bentuk yang mampu

Apakah perasaan anda apabila membaca berita pembunuhanumat Islam yang berlaku setiap hari di Palestin di dada-dada akhbar?

A: Menganggap cerita tersebut seperti berita kematian biasa, langsung tidak memberi kesan di hati anda
B: Menggeleng-geleng kepala sambil menyelak muka surat yang lain
C: Hanya mampu mngutuk kekejaman tentera Israel
D:Menyatakan bantahan dengan segala wasilah yang ada sama ada melalui tulisan, pemboikotan dan sebagainya.

Jawapan:

Jika kebanyakannya adalah A:

Sila servis kembali iman anda kerana anda lansung tidak mempunyai sensitiviti terhadap agama.

Jika kebanyakannya B

Berhati-hati kerana tahap sensitiviti anda di tahap terendah, mungkin kerana sensitiviti anda telah terhakis disebabkan banyak faktor.

Jika kebanyakannya adalah C

Tahap sensitiviti anda perlu dipertingkatkan lagi kerana masih berada di tahap sederhana.

Jika kebanyakannya adalah D

Tahniah, anda adalah seorang yang sensitif dan prihatin terhadap isu-isu yang mengganggu ketenteraman agama Islam.

Nota: Soalan ini hanyalah rekaan penulis:). Ada kena mengena dengan realiti sekarang.

Oh Iman!


Iman ketika mula pandai merangkak-di perkarangan Masjid Umawi, Syiria.




Dr. Iman 2035




Si sunti Iman. Usia satu tahun.


Dengan nama Tuhan pemilik kerajaan langit dan bumi.

Assalamu'alaikum w.b.t.

Setelah lama tidak melakar sesuatu di kanvas ini, jari mula kaku, otak pun malu-malu untuk memerah idea memikirkan warna-warna yang perlu dipilih untuk mencorakkan kanvas ini dek kerana karatnya ia. Sangat-sangat diakui agak susah untuk menulis jika ketiadaan 'warden' untuk memantau 'disiplin' penulisan si penulis. Hanya motivasi dalaman yang tinggi sahaja dapat mendorong diri untuk terus menulis.

Maaf kepada teman-teman yang singgah di kanvasalsabila tanpa beroleh santapan. Jadi kali ini saya akan berusaha menghidangkan kepada anda, jika tidak makanan tengahari, sekurang-kurangnya hidangan petang berupa secawan kopi.

Jadi kali ini, entri ini bersifat lebih kepada perkongsian santai. Sekadar coretan ringkas warna-warni kehidupan di bumi Urdun.

Jika tahun lepas, saya menjejakkan kaki di tanah Syam kira-kira sembilan hari sebelum anak bulan Syawal dilahirkan. Rumah sahabat saya yang mutazawwijah menjadi tempat persinggahan sebelum menjumpai teratak buat meneduh diri dari angin, ribut dan hujan. Tatkala itu, sahabat saya sarat mengandungkan putri sulungnya. Sehari sebelum memulakan pengajian di jamiah atau kira-kira seminggu selepas syawal menjengah, saya sempat menemani sahabat melahirkan anaknya di hospital Karak. Bayi itu diberi nama Nur Hamizatul Iman. Pengalaman yang indah untuk dikenang kembali.

Kini Iman sudah mencecah usia setahun tatkala Syawal menjelang. Bermakna saya juga sudah setahun berada di bumi barakah ini. Hari ini, tiap kali Iman singgah ke teratak Fuqaihah, pasti setiap sudut rumah dijelajahinya, al- maklumlah baru sahaja mandapat 'kaki'. Keletah riangnya benar-benar menghilangkan kekusutan setelah seharian berada di jamiah.

Saya sempat menyaksikan tumbesaran Iman si kecil manis, dari saat dia dilahirkan, meniarap, merangkak hinggalah dia dikurniakan 'kaki'. Saat menyaksikan Iman membesar, saya sering beringat. Iman itu adalah ukuran usia saya di sini. Jika dia sudah pandai berlari ke hulu dan ke hilir, (kekadang tersungkur kerana terlampau gopoh berkejaran dengan ammah-ammah bayt fuqaihah), bermakna saya juga sepatutnya begitu. Tempoh setahun itu, jika diukur dengan ukuran Iman, saya sepatutnya sudah melepasi saat meniarap, merangkak dan bertatih. Seharusnya juga sudah dapat berlari pantas dalam menghadam pengajian di dalam dan luar bilik kuliah. Jatuh dan tersungkur itu adalah adat biasa agar lebih berhati-hati mengatur langkah.

Yang pasti,

Dalam kepenatan menyusuri detik-detik sukar, rupanya itulah ruang untuk kita merasai erti nikmat kerehatan.

Di saat diri dalam kesempitan dihimpit tekanan, rupanya itulah masa untuk mengintai cintaNya jua mengadu padaNya disepertiga malam.

Detik diri ditimpa satu keburukan dengan musibah yang tidak diundang, rupanya hanya ditarik satu daripada seribu nikmat kebaikan yang kita hampir-hampir tidak menyedarinya.

Di kala kita berduka, rupanya itulah ubat yang paling mujarab untuk penyembuh hati yang sentiasa lagha dari mengingatiNya.

Pohon padaMu, tetapkanlah hati-hati kami dalam ketaatan dan kebaikan sehingga ke akhirnya.

Nota: Iman perlu belajar menyesuaikan diri untuk menjadi kakak pada bulan Januari tahun depan:)

Sabtu, 11 September 2010

Salam Aidil Fitri


Salam Aidil Fitri,
Selamat kembali kepada fitrah,
Semoga sepanjang tahun kalian berada dalam kebaikan
dan dekat padaNya..

Nota: Hari ini 11 September 2010. Teringat peristiwa 11 September 2001, detik hitam bagi Islamiphobia. Dalam kegembiraan menyambut Aidil Fitri, jangan lupa tugas kita yang masih belum selesai.

Khamis, 9 September 2010

Pemergianmu dirindui


Assalamua'laikum w.b.t.

Bismillahirrahmanirrahim.

Malam ini semua sedang sibuk membuat persiapan menyambut kedatangan Syawal. Ramadhan ini, genap setahun saya di bumi Mu'tah. Begitu cepat masa berlalu. Alhamdulillah dipertemukan lagi dengan Ramadhan kali ini. Tahun lepas tidak sempat merasai suasana Ramadhan di sini lantaran sampai pada hari-hari terakhir Ramadhan.

Ramdhan kali ini disambut ketika fatrah imtihan nihaie bermula yang memakan masa hampir dua minggu. Sepanjang Ramadhan tidak berkesempatan mencoret sesuatu di blog ini. Maaflah kepada pengunjung-pengunjung yang hampa menanti khabar dari sini.

Awal Ramadhan, saya dikejutkan dengan berita kepulangan seorang adik junior KIAS, ukht Hidayah Ibrahim. Berita pemergiannya membuatkan saya terfikir, mungkinkah ini Ramadhan yang terakhir buat diri. Kematian yang tidak bertarikh sepatutnya membuatkan kita lebih bersedia untuk menghadapinya.

Yang pasti, Ramadhan kali ini zhouqnya sangat berbeza berbanding yang lepas. Mungkin kerana keberadaan di bumi Anbiya' yang penuh berkat. Terasa sangat ketenangan menghadapi Ramadhan di dataran syam. Tidak dapat saya gambarkan kepada kalian perasaan itu.

Berdasarkan pengalaman sahabat-sahabat saya yang pernah bermusafir di Mesir dan Syiria, kehangatan meyambut Ramadhan di sana lebih terasa kemeriahannya berbanding dengan Jordan. Persekitaran sememangnya memberi kesan yang tidak sedikit kepada kita. Di tanah Arab ini, kita akan terasa ingin berlumba-lumba melakukan amal ibadat kerana kedapatan begitu banyak sekali contoh di hadapan kita.

Namun, itu bukan alasan untuk tidak beribadah jika tidak berada di sini. Kedatangan Ramadhan umpama masa untuk mengecas cas-cas taqwa di dalam diri sebagai bekalan yang akan menemani kita pada 11 bulan yang akan datang.

Persoalannya, setelah sebulan melalui Universiti Ramadhan, adakah 'pengecasan' itu sudah cukup sebagai bekalan? Tepuk dada, tanya sama iman.


Ramadhan telah berlalu, berjayakah tarbiyah Ramadhan dapat kita saksikan natijahnya selepas ini. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang berjaya mendapat kunci taqwa dan keampunan daripadaNya.

Pemergianmu pasti kurindui. Mudah-mudahan punya rezeki untuk bertemu Ramadhan yang akan datang.

Di sini saya sertakan puisi indah Ranum Ramadhan daripada A. Samad Said:

Fajar harum, bermula salam dalam udara
yang mengkhusyukkan. Semuanya tiba
terdampar dalam sepi bermusim sabar:
Hati dan budi, didakap tulus oleh solat,
dalam gementar yang sentiasa syahdu.
Dalam nafas jerih bulan paling jernih,

amalan puasa mencabar dan mengajar.
Terlimpah sepadat makna yang perih;
kita belajar dari derita yang pedih;
dan dalam bulan ujian terlalu garang
kita masih boleh mengutip kesejahteraan.
Dongak ke angkasa rahsia mengkhayali

lapisan sfera, ke qalbu tersentuhnya
kita, digundahi kekaguman luar biasa:
Bumi anugerah Allah dan terpilih kita
khafilahnya, datang yang dianugerahi,
boleh memberi, boleh juga memungkiri,
terpulang santun memilih atau menafi.

Bulan ini memangnya saat bertafakur,
bersedia memurni diri jika bersyukur,
kerana puasa yang menguji, menjelang
Aidilfitri, nafas kudus menghening diri,
terbimbing ke batin lebih berhemah.
Terima kasih kita sepadu syahdu arah

yang memang datang seiring anugerah;
kerana manusianya kita, dan kerdilnya
di hadapan Allah, wajar bersyukurlah
setiap saat, sepurnama, penuh mekar
dalam debar, membaca setiap iktibar.
Kita beransur ranum dalam bulan mulia.

A. SAMAD SAID

Sabtu, 7 Ogos 2010

Himpunan Kisah Serikandi Nusantara (2): Shamsiah Fakeh Wanita Melayu Revolusioner

"Sebenarnya aku bukanlah pemimpin wanita Parti Komunis Malaya atau seorang tokoh wanita yang terkemuka. Aku hanya seorang pejuang wanita yang berjuang melawan British untuk kemerdekaan tanahair dan untuk emansipasi (kebebasan) wanita.”
Memoir of Shamsiah Fakeh

Kampung Gemuruh atau lebih dikenali sebagai Kampung Parit terletak satu kilometer dari pekan Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Berlatar belakangkan tahun 1924 kampung yang indah ini dikelilingi bukit bukau yang menghijau dan hamparan sawah padi yang menjadi mata pencarian utama masyarakatnya. Disinilah suatu detik bersejarah telah dirakamkan apabila seorang bayi perempuan dilahirkan. Kelahiran puteri kepada Sutan bin Sulaiman dan Saamah bte Nonggok itu disambut dengan penuh kesyukuran dan dinamakan Shamsiah. Masyarakat yang mengamalkan Adat Perpateh itu sudah pasti mengandaikan bahawa anak ini akan dididik dengan ciri-ciri wanita Melayu yang lemah lembut tutur kata dan budi pekertinya serta membesar menjadi seorang suri rumah yang baik. Namun begitu tiada sesiapapun yang menjangka bahawa bayi yang lebih dikenali sebagai Shamsiah Fakeh itu kelak akan mengegarkan dunia politik dan rimba Tanah Melayu pada tahun-tahun mendatang.

Meninjau sejenak latar belakangnya, bapa beliau yang lebih dikenali sebagai Fakeh Sutan (Fakeh Godang oleh masyarakat setempat) nyata mempunyai ciri-ciri yang kontras dalam majoriti masyarakat ketika itu. Beliau menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di Pekan Kuala Pilah dan mempunyai asas pendidikan agama yang kuat. Bapa Shamsiah telah menyiapkan anaknya itu dengan ilmu pengetahuan. Ketika kanak-kanak lain masih bermain pondok-pondok, Shamsiah telah dimasukkan ke Sekolah Melayu Kampong Parit dan seterusnya ke Sekolah Melayu Bandar Kuala Pilah sehingga darjah lima, namun begitu, pendidikan yang disediakan di sekolah Melayu ketika itu hanya setakat untuk menjadikan anak Melayu yang lebih baik daripada nenek moyang mereka iaitu sebagai petani dan nelayan yang boleh dijadikan seperti kerbau dicucuk hidung. Oleh itu bapa Shamsiah telah meghantarnya ke Sekolah Agama Rahmah Al-Yunusiah di Sumatera dimana benih semangat nasionalisma mula disemai.

Sememangnya sifat beliau seperti kepetahan berpidato dan berhujah dijiwai daripada ayahnya kerana sejak kecil lagi beliau sukakan ilmu dan sentiasa berbahas dengan bapanya dalam hal agama. Bapanya sangat suka apabila Shamsiah berbahas menggunakan dalil-dalil daripada Al-Qur'an dan hadits. Pada tahun 1939, beliau dibawa kembali keTanah Melayu, beliau melanjutkan pelajaran pula di Madrasah Aliyah Islamiyah, Pelangai, Kuala Pilah yang didirikan oleh Maulana Maadah Bin Layang dan sekolah pondok ini amat terkenal diwaktu itu. Disitu beliau diperkenalkan dengan pelajaran Menterjemah Al-Qur'an secara Harfiyah sehingga beliau mampu menafsir 30 juz Al-Qur'an.

Fakih Sutan sendiri juga dikenali sebagai pendakwah ditempatnya. Dengan pendidikan agama yang berlandaskan Al-Qur'an dan Hadits, beliau amat peka dalam hal-hal yang berkaitan dengan Ibadah. Beliau menekankan tentang keperluan untuk meninggalkan Khurafat dan Bid'ah yang membelenggu masyarakat ketika itu. Amalan sesuatu ibadah itu hendaklah dengan dalilnya, menegakkan yang haq dan mencegah kemungkaran. Ajaran yang dipelopori oleh golongan reformis di Timur Tengah itu sememangnya menentang arus golomgan Tua sehingga ajaran ini digelar sebagai Kaum Muda. Namun tidak dapat dinafikan dalam sejarah bahawa pengaruh Kaum Muda inilah yang mula menyuburi fikiran pejuang pejuang kemerdekaan dari Maghreb ke Tanah Melayu dan turut dihayati oleh Shamsiah Fakeh. Hal inilah yang membezakan Shamsiah Fakeh dengan wanita Melayu yang lain iaitu semangat revolusioner beliau dalam usaha untuk memerdekakan tanah air.

Namun, pengalaman hidup beliau apabila terpaksa berkahwin dalam usia yang muda bertentangan dengan apa yang dipelajarinya di Madrasah madrasah tersebut. Pengalaman yang ditindas oleh lelaki dalam beberapa kegagalan perkahwinannya telah menyediakan asas keteguhan Shamsiah Fakeh dalam perjuangannya menegakkan emansipasi wanita dan kemerdekaan negara. Sikap beliau yang tidak suka dieksploitasi muncul daripada kesedaran melalui penghayatan terhadap pelajaran agama dan pengalaman hidup yang dilalui. Seluruh hidup beliau digembeling dalam perjuangan menentang imperialis British, kuasa penjajah yang mendominasi lanskap politik dunia pada waktu itu.

Perjalanan beliau dalam perjuangan menentang penjajah bermula dari tahun 1945 apabila beliau mula menyertai PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) sebuah parti Melayu revolusioner. Berkat kepimpinan dan kelantangan beliau dikagumi oleh kepimpinan PKMM dan dilantik menjadi Ketua Bahagian Wanita PKMM yang lebih dikenali sebagai AWAS (Angkatan Wanita Sedar). Beliau telah menjelajah keserata pelosok tanah air dan membakar semangat rakyat yang ketika itu masih jahil dalam mainan politik penjajah. Apabila PKMM diharamkan, beliau telah menyertai perjuangan bersenjata dan meredah rimba Tanah Melayu bagi menghalau British.

Sesungguhnya, bagi mereka yang mula berjinak-jinak dalam perjuangan haruslah mencontohi kekuatan semangat dan keteguhan pendirian wanita ini. Kekentalan semangat dan keteguhan pendirian ini bukanlah boleh diperolehi dalam sekelip mata, tetapi melalui pengalaman dan pegangan terhadap sesuatu prinsip yang diperjuangkan. Sikap tidak mengenal putus asa haruslah dicontohi oleh golongan reformis. Hanya mereka yang menghargai wira bangsanya meletakkan Shamsiah Fakeh di tempat yang sesuai, sebaris dengan tokoh-tokoh kemerdekaan negara. Hal lain biarlah sejarah mengadilinya.

Nota: dipetik daripada sini