Memaparkan catatan dengan label kanvas perjuangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kanvas perjuangan. Papar semua catatan

Sabtu, 7 Ogos 2010

Himpunan Kisah Serikandi Nusantara (2): Shamsiah Fakeh Wanita Melayu Revolusioner

"Sebenarnya aku bukanlah pemimpin wanita Parti Komunis Malaya atau seorang tokoh wanita yang terkemuka. Aku hanya seorang pejuang wanita yang berjuang melawan British untuk kemerdekaan tanahair dan untuk emansipasi (kebebasan) wanita.”
Memoir of Shamsiah Fakeh

Kampung Gemuruh atau lebih dikenali sebagai Kampung Parit terletak satu kilometer dari pekan Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Berlatar belakangkan tahun 1924 kampung yang indah ini dikelilingi bukit bukau yang menghijau dan hamparan sawah padi yang menjadi mata pencarian utama masyarakatnya. Disinilah suatu detik bersejarah telah dirakamkan apabila seorang bayi perempuan dilahirkan. Kelahiran puteri kepada Sutan bin Sulaiman dan Saamah bte Nonggok itu disambut dengan penuh kesyukuran dan dinamakan Shamsiah. Masyarakat yang mengamalkan Adat Perpateh itu sudah pasti mengandaikan bahawa anak ini akan dididik dengan ciri-ciri wanita Melayu yang lemah lembut tutur kata dan budi pekertinya serta membesar menjadi seorang suri rumah yang baik. Namun begitu tiada sesiapapun yang menjangka bahawa bayi yang lebih dikenali sebagai Shamsiah Fakeh itu kelak akan mengegarkan dunia politik dan rimba Tanah Melayu pada tahun-tahun mendatang.

Meninjau sejenak latar belakangnya, bapa beliau yang lebih dikenali sebagai Fakeh Sutan (Fakeh Godang oleh masyarakat setempat) nyata mempunyai ciri-ciri yang kontras dalam majoriti masyarakat ketika itu. Beliau menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di Pekan Kuala Pilah dan mempunyai asas pendidikan agama yang kuat. Bapa Shamsiah telah menyiapkan anaknya itu dengan ilmu pengetahuan. Ketika kanak-kanak lain masih bermain pondok-pondok, Shamsiah telah dimasukkan ke Sekolah Melayu Kampong Parit dan seterusnya ke Sekolah Melayu Bandar Kuala Pilah sehingga darjah lima, namun begitu, pendidikan yang disediakan di sekolah Melayu ketika itu hanya setakat untuk menjadikan anak Melayu yang lebih baik daripada nenek moyang mereka iaitu sebagai petani dan nelayan yang boleh dijadikan seperti kerbau dicucuk hidung. Oleh itu bapa Shamsiah telah meghantarnya ke Sekolah Agama Rahmah Al-Yunusiah di Sumatera dimana benih semangat nasionalisma mula disemai.

Sememangnya sifat beliau seperti kepetahan berpidato dan berhujah dijiwai daripada ayahnya kerana sejak kecil lagi beliau sukakan ilmu dan sentiasa berbahas dengan bapanya dalam hal agama. Bapanya sangat suka apabila Shamsiah berbahas menggunakan dalil-dalil daripada Al-Qur'an dan hadits. Pada tahun 1939, beliau dibawa kembali keTanah Melayu, beliau melanjutkan pelajaran pula di Madrasah Aliyah Islamiyah, Pelangai, Kuala Pilah yang didirikan oleh Maulana Maadah Bin Layang dan sekolah pondok ini amat terkenal diwaktu itu. Disitu beliau diperkenalkan dengan pelajaran Menterjemah Al-Qur'an secara Harfiyah sehingga beliau mampu menafsir 30 juz Al-Qur'an.

Fakih Sutan sendiri juga dikenali sebagai pendakwah ditempatnya. Dengan pendidikan agama yang berlandaskan Al-Qur'an dan Hadits, beliau amat peka dalam hal-hal yang berkaitan dengan Ibadah. Beliau menekankan tentang keperluan untuk meninggalkan Khurafat dan Bid'ah yang membelenggu masyarakat ketika itu. Amalan sesuatu ibadah itu hendaklah dengan dalilnya, menegakkan yang haq dan mencegah kemungkaran. Ajaran yang dipelopori oleh golongan reformis di Timur Tengah itu sememangnya menentang arus golomgan Tua sehingga ajaran ini digelar sebagai Kaum Muda. Namun tidak dapat dinafikan dalam sejarah bahawa pengaruh Kaum Muda inilah yang mula menyuburi fikiran pejuang pejuang kemerdekaan dari Maghreb ke Tanah Melayu dan turut dihayati oleh Shamsiah Fakeh. Hal inilah yang membezakan Shamsiah Fakeh dengan wanita Melayu yang lain iaitu semangat revolusioner beliau dalam usaha untuk memerdekakan tanah air.

Namun, pengalaman hidup beliau apabila terpaksa berkahwin dalam usia yang muda bertentangan dengan apa yang dipelajarinya di Madrasah madrasah tersebut. Pengalaman yang ditindas oleh lelaki dalam beberapa kegagalan perkahwinannya telah menyediakan asas keteguhan Shamsiah Fakeh dalam perjuangannya menegakkan emansipasi wanita dan kemerdekaan negara. Sikap beliau yang tidak suka dieksploitasi muncul daripada kesedaran melalui penghayatan terhadap pelajaran agama dan pengalaman hidup yang dilalui. Seluruh hidup beliau digembeling dalam perjuangan menentang imperialis British, kuasa penjajah yang mendominasi lanskap politik dunia pada waktu itu.

Perjalanan beliau dalam perjuangan menentang penjajah bermula dari tahun 1945 apabila beliau mula menyertai PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) sebuah parti Melayu revolusioner. Berkat kepimpinan dan kelantangan beliau dikagumi oleh kepimpinan PKMM dan dilantik menjadi Ketua Bahagian Wanita PKMM yang lebih dikenali sebagai AWAS (Angkatan Wanita Sedar). Beliau telah menjelajah keserata pelosok tanah air dan membakar semangat rakyat yang ketika itu masih jahil dalam mainan politik penjajah. Apabila PKMM diharamkan, beliau telah menyertai perjuangan bersenjata dan meredah rimba Tanah Melayu bagi menghalau British.

Sesungguhnya, bagi mereka yang mula berjinak-jinak dalam perjuangan haruslah mencontohi kekuatan semangat dan keteguhan pendirian wanita ini. Kekentalan semangat dan keteguhan pendirian ini bukanlah boleh diperolehi dalam sekelip mata, tetapi melalui pengalaman dan pegangan terhadap sesuatu prinsip yang diperjuangkan. Sikap tidak mengenal putus asa haruslah dicontohi oleh golongan reformis. Hanya mereka yang menghargai wira bangsanya meletakkan Shamsiah Fakeh di tempat yang sesuai, sebaris dengan tokoh-tokoh kemerdekaan negara. Hal lain biarlah sejarah mengadilinya.

Nota: dipetik daripada sini

Khamis, 14 Januari 2010

Di Birai Makam Syuhada'

Pemandangan Masjid Ja'afar dari luar

Pemandangan di sekitar masjid yang terletak di Mazar, Karak.

Papan tanda berbahasa Melayu?




Di hadapan masjid (tempat terletaknya makam sahabat)

Makam Ja'afar bin Abi Thalib atau digelar Ja'far at-Thoyyar (yang memiliki dua sayap)


Makam Zaid bin Harithah

Di birai makam Zaid

Kini ku di sini,

Perlahan membisik salam,

Syukur di rafa’,

Makammu akhirnya ketemu,

Ringan sudah beban rindu.


Di birai makam syuhada’,

Cemburuku membara,

Di bumi jasad kalian bersemadi,

Di syurga firdausi roh kalian menanti,

Lantas membenar firman Ilahi.

Langsung tidak sia mengorban diri,

Demi sebuah kehidupan abadi.


Perlahanku menghirup,

Ibrah kawafatan kalian,

Lipatan sirah pernah berperi,

Dataran ini pernah bersaksi,

Kalian membukti iman di hati,

Tidak hanya menanti kurniaan Ilahi,

Jatuh bergolek di kaki,

Bahkan berebut- rebut menyambut panji,

Bahkan bergilir-gilir merangkul mati,

Mengejar janji Ilahi,

Akhir ‘Syahid’ kemuliaan diperolehi,

Lantas membenar sabda Nabi.


Zaid, Ja’afar dan Abdullah,

Kalian sesekali tidak meredhai,

Pantang kalimah Allah diinjaki,

Lantas dari Madinah ke Mu’tah,

Menuntut bela darah saudara,

Walau kalian hanya minoriti,

Namun kental iman dan hamasah lebih mengatasi,

Mengajar musuh erti menghormati,

Menjulang Islam ke makan yang tertinggi.


Tahukah kalian ummat Islam tika ini?

Bergelar generasi di akhir zaman,

Walau majoriti tidak memadai,

Kerna iman ternyata kontang,

Hibah dicabut,

Izzah menghilang,

Gembira musuh bukan kepalang,

Makin berani melanggar sempadan,

Kalimah Allah tidak lagi terpandang.


Lantas,

Pinjamkan kami baju iman,

Supaya kental manghadap tekanan ,

Pinjamkan kami baju hamasah,

Supaya semangat sentiasa basah,

Pinjamkan kami baju syaja’ah,

Supaya tegar menegak yang haq,

Bekalkan kami baju thabat,

Supaya hadam derita perjuangan.


Langkahkan terus diorak,

Demi menjejak perjuangan syuhada'!


Bayt Hamlatul Quran

Mu'tah, Karak.

10 p.m


Nota: Beroleh ilham setelah menziarahi makam syuhada' ketika mencari 'bekal kekuatan' untuk menghadapi imtiham nihaie. Dokan anak-anak Malaysia di Jordan yang masih berperang dengan imtihan nihaie ketika ini.

Rabu, 2 September 2009

TAQWA
JATI DIRI SEORANG PEJUANG


Wahai orang – orang yang beriman , diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas orang – orang sebelum kamu , semoga kamu bertaqwa ( kepada Allah swt. )

( Surah Al Baqarah : Ayat 183 )

Saudara Muslimin dan Muslimat yang dihormati sekelian.

Ayat ini menjadi tema yang perlu difahami dan dihayati tatkala memasuki gerbang University of Ramadhan. Ianya merupakan satu penegasan Ilahi , bukan sahaja terhadap hukum berpuasa di bulan Ramadhan tetapi juga merupakan satu penegasan terhadap ‘kesan langsung’ dari ibadah puasa yang dilaksanakan.

Ayat ini tidak sahaja menjadi dalil wajibnya ibadah puasa dengan perkataan كُتِبَ yang bermaksud فُرِضَ , tetapi turut melampirkan objektif utama yang semestinya dicapai setelah melalui proses ibadah puasa . Objektif tersebut ialah at - Taqwa dengan kalimahلعلكم تتقون .

Professor Doktor Wahbah Az Zuhaili ketika menafsirkan ayat di atas menyebut bahawa Ibadah puasa melahirkan ketaqwaan kepada Allah swt. melalui beberapa faktor :
[1]

Puasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah swt. dalam keadaan sembunyi atau terbuka . Lantaran tiada siapa yang memantau atau memerhati orang yang berpuasa melainkan Allah swt. ( Seseorang boleh makan lalu berpura – pura lapar dihadapan manusia tetapi tidak dihadapan Allah swt. Justeru Allah swt adalah Tuhan yang Maha Mengetahui .)

Mengekang keterlanjuran syahwah dan meringankan pengaruh serta penguasaannya. ( lantaran puasa melemahkan gelora nafsu .)

Mencetus naluri yang peka ( sensitive ) dan bersifat belas simpati terhadap insan yang lain . ( Lapar sewaktu berpuasa adalah mengingatkan kita kepada mereka yang miskin dan tidak bernasib baik )

Ibadah puasa memahamkan kita pengertian persamaan kedudukan taraf orang – orang kaya dan miskin .( di sisi Allah swt.)

Meletakkan kehidupan Insan dan pengurusannya di atas system ( yang benar dan menepati fitrah ) dan mendisiplinkannya.

Memulihkan struktur dalaman tubuh , menguatkan kesihatan dan membebaskan jasad dari sebarang unsur yang memudharatkan jasad .

Definisi Taqwa.

Kalimah ‘Taqwa’ asal maknanya adalah mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan.

Menurut Syara’, ‘Taqwa’ bererti : “Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat”.
[2]

Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda :

أَنْ يُطَاَع فَلا يُعْصَى وَ أَنْ يُذْكَرَ فَلا يُنْسَى وَ أَنْ يُشْكَرَ فَلا يُكْفَرَ

“Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya”.

( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha. )
[3]

Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : “Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri ? Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”.

Jawab Umar : “Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati”. Balas Ubai : “Itulah yang dikatakan taqwa”.
[4]

Menurut Ibnu Abbas r.a. : “Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta’atiNya”.[5]

Menurut Hasan al-Basri : “Orang-orang bertaqwa ialah orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka”.[6]

Berkata Abu Yazid al-Bustami : “Orang bertaqwa ialah seorang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila ia beramal, ia beramal kerana Allah”.[7]

Martabat Taqwa .

Menurut Al-‘Allamah Mustafa al-Khairi al-Manshuri, taqwa ini mempunyai tiga martabat;[8]

Martabat pertama : Membebaskan diri dari kekufuran .

Inilah yang diisyaratkan oleh Allah dengan “Kalimat at-Taqwa” dalam firmanNya :

“…lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mu'min dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa …”.

( Surah Al-Fath . Ayat : 26 )

Maksud kalimah at-Taqwa dalam ayat di atas ialah kalimah : “لا إله إلا الله محمد رسول الله” atau dua kalimah syahadah. Kalimah ini merupakan kalimah iman yang menjadi asas atau punca kepada taqwa.
[9]

Martabat kedua : menjauhkan diri dari segala perkara yang membawa kepada dosa.

Martabat ketiga : Membersihkan batin (hati) dari segala yang menyibukkan atau melalaikan diri dari Allah swt.

Martabat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah;

“ Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah swt ).”

( Surah Ali Imran. Ayat : 102 )

Muslim yang Berjuang dan Bertaqwa .

Merentasi era peradaban modern yang menyaksikan keruntuhan akhlak , moral dan aqidah ummah kini di paras bahaya , memerlukan kuasa taqwa yang tinggi untuk kembali membina struktur asas ummat Islam yang kian runtuh .

Taqwa adalah formula tepat untuk memproses penawar bagi memulihkan kecederaan iman yang sangat parah dewasa kini, khasnya dikalangan mereka yang mengaku muslim .

Kecederaan teruk di bahagian iman inilah yang meletakkan ummat Islam turut terjebak dalam kancah perlecehan akhlak , moral dan aqidah.

Saksikanlah , bagaimana dunia kini amnya dan Negara kita khasnya dilanda kehancuran peradaban Insaniyyah , sehingga hilang peri kemanusiaan sebaliknya peri kebinatangan menguasai minda sebahagian besar ummat manusia .

Menyedari reality dunia dan ummah hari ini , marilah kita mengambil kesempatan daripada ibadah puasa yang dijalani sebulan di bulan Ramadhan untuk membina syakhsiyyah muslim yang berjuang dan bertaqwa dengan mendidik jiwa , minda dan seluruh pancaindera agar tunduk dan patuh kepada Allah swt. serta siap untuk menjunjung tinggi segala tanggungjawab mempertahan dan memperjuangkan Islam di persada alam ini .

Kitalah selayaknya memikul tanggungjawab sebagai pejuang untuk menyelamatkan diri , dunia dan ummah dari bahana syahwah yang menyimpang jauh dari Manhaj Ilahi .

Pejuang yang dilengkapi sifat taqwa yang mantap sebagai alat keselamatan dan asas kekuatan diri demi memenangi pertembungan antara iman dan kufur , hak dan bhatil serta islam dan jahiliyyah .

Kurniaan Allah kepada Pejuang yang Bertaqwa

1. Pejuang yang bertaqwa akan mendapat kejayaan dunia dan akhirat

Pejuang bertaqwa akan dikurniakan kejayaan, kebahagiaan dan kemenangan oleh Allah di dunia ini dan juga di akhirat nanti.

“….maka bertaqwalah kepada Allah hai orang-orang berakal, agar kamu beroleh kejayaan”.

( Surah Al – Maidah. Ayat : 100 )

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa mendapat kemenangan”.

( Surah An-Naba’: Ayat 31 )

Kejayaan yang dimaksudkan itu ialah kehidupan mereka akan dilimpahi berkat oleh Allah dan terbukalah pintu rezki seluas-luasnya kepada mereka serta terhasillah kepada mereka segala sebab yang membawa kebahagiaan dan ketenteraman hidup biarpun kehidupannya sebagai seorang pejuang sering dihalang dan diganggu gugat oleh musuh – musuh Allah swt.

Renungkanlah firman Allah ini :

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya”.

( Surah Al-A’raf : Ayat 96 )

Menurut para mufassirin , yang dimaksudkan dengan keberkatan dari langit ialah turunnya hujan dan keberkatan dari bumi pula ialah tumbuhnya tanam-tanaman dan buah-buahan.

Termasuklah keberkatan tersebut segala macam nikmat dan rezki, begitu pula segala perkara yang menyebabkan wujudnya kesejahteraan dan keamanan di atas bumi . Adalah menjadi dasar yang diakui oleh al-Quran bahawa adanya keimanan yang sejati dan agama yang benar akan menyebabkan pula wujudnya kebahagiaan di dunia. Kebahagiaan di dunia itulah yang dinikmati oleh orang-orang yang mahu beriman dan bertaqwa kepada Allah.
[10]

Kemuncak kejayaan dan kebahagiaan bagi orang-orang bertaqwa ialah di akhirat iaitu mereka akan dikurniakan kenikmatan syurga oleh Allah. Bahkan syurga itu sendiri sememangnya disediakan Allah untuk mereka yang bertaqwa sebagaimana firmanNya:

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa”.

( Surah Aali Imran : Ayat 133 )

“Dan sekiranya Ahli Kitab beriman dan bertaqwa, tentulah Kami tutup (hapus) kesalahan-kesalahan mereka dan tentulah Kami masukkan mereka ke dalam surga yang penuh keni`matan”.

( Surah al-Maidah: Ayat 65 )

2. Pejuang yang bertaqwa dihapuskan kesalahan dan diampunkan dosa oleh Allah

Antara kurniaan Allah kepada orang-orang bertaqwa ialah pengampunan dosa. Kesalahan-kesalahan mereka akan dihapuskan oleh Allah dan dosa-dosa mereka akan diampunkanNya.

Ini adalah janji Allah yang termaktub di dalam al-Quran sebagaimana firmanNya:

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan kepadamu furqaan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar”.

(Surah al-Anfal: Ayat 29 )

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa menta`ati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar”.

( Surah Al-Ahzab: Ayat 71 )

Menurut Imam An-Nasafi : Kesalahan-kesalahan (السيئات) yang dihapuskan Allah dari orang-orang bertaqwa itu ialah dosa-dosa kecil mereka (الصغائر), dan adapun pengampunan yang Ia kurniakan kepada mereka ialah ke atas dosa-dosa besar (الكبائر).
[11]

Berkata Imam asy-Syaukani : “‘Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu’ maksudnya ialah Ia menutup kesalahan-kesalahan kamu sehingga tidak kelihatan (kepada orang lain) dan Ia mengampunkan dosa-dosa yang kamu lakukan.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan ‘kesalahan-kesalahan’ (السيئات) ialah dosa-dosa kecil dan yang dimaksudkan dengan ‘dosa-dosa’ (الذنوب) ialah dosa-dosa besar.

Menurut Imam Ibnu Kathir; “Allah berjanji kepada mereka (yakni orang-orang bertaqwa) bahawa ia akan mengislahkan amalan-amalan mereka (yakni memberi taufik kepada mereka untuk melakukan amal-amal soleh) dan Ia akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang lalu dan adapun dosa yang dilakukan oleh mereka pada masa hadapan, Ia akan mengilhamkan kepada mereka taubat”.
[12]

Muslimin dan Muslimat yang dihormati sekelian.

3. Pejuang yang bertaqwa sentiasa akan mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah

Orang-orang bertaqwa akan senantiasa dikurniakan hidayah dan petunjuk oleh Allah. Mereka senantiasa berada di atas jalan yang benar dan terhindar dari kesesatan atau membuat pilihan yang salah dalam urusan hidup mereka. Firman Allah;

“Wahai orang-orang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (pertunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah…”.

( Surah Al-Anfal: Ayat 29 )

“Hai orang-orang yang beriman (kepada para rasul), bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, niscaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bagian, dan menjadikan untukmu cahaya (yakni hidayah dan pertunjuk) yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

( Surah Al-Hadid: Ayat 28 )

Kata Imam Ibnu Kathir; “Orang yang bertaqwa kepada Allah dengan melaksanakan arahan-arahanNya dan meninggalkan tegahan-tegahanNya, ia akan diberi taufik (pertunjuk) oleh Allah untuk mengenal yang hak dari yang batil.

Inilah yang menjadi punca ia beroleh kemenangan, keselamatan dan jalan keluar (yakni jalan penyelesaian) dalam urusan-urusan duniawinya serta menjadi punca kebahagiaannya di akhirat, jua punca pelupusan segala dosa-dosanya dan punca ia beroleh pahala yang besar dari Allah”.
[13]

Kitab al-Quran yang diturunkan Allah hanya orang-orang bertaqwa sahaja yang dapat mengambil petunjuk darinya. Ini kerana hanya mereka sahaja yang menyedari betapa tingginya nilai al-Quran dan bagaimana untuk mengambil manfaat dari ajaran dan hukum-hakamnya.[14]

“Kitab (Al Qur'an) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa”.

( Surah al-Baqarah: Ayat 2 )

“(Al Qur'an) ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertaqwa”.

( Surah Aali Imran: Ayat 138 )

Muslimin dan Muslimat yang dihormati sekelian.

4. Pejuang yang bertaqwa akan sentiasa dibantu dan diberi pertolongan oleh Allah

Orang-orang bertaqwa adalah kekasih Allah. Allah Ta’ala sentiasa bersama dengan mereka; membimbing, menjaga, memelihara dan membantu mereka.

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa”.

( Surah At-Taubah : Ayat 4)

“…dan ketahuilah bahwasanya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa”.

( Surah At-Taubah : Ayat 36 )

Orang yang menjadi kekasih Allah, ia tidak akan diabaikan Allah. Apabila ia berada dalam kesusahan atau kesempitan, Allah akan mengurniakan pertolongan kepadanya dan membuka jalan penyelesaian yang terbaik bagi masalah yang dihadapinya.

Bahkan orang-orang bertaqwa dikurniakan rezki oleh Allah dari jalan-jalan yang tidak disangkanya.

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya) niscaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”.

( Surah Ath-Thalaq: Ayat 2-3 )

“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Yaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa”.

( Surah Yunus : Ayat 62-63 )

Kata Ibnu Abbas; “Orang yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan menyelamatkannya dari segala bala dan kesusahan dunia dan akhirat”.

Menurut Abu ‘Aliyah; “Orang yang bertaqwa , Allah akan bukakan untuknya jalan keluar (yakni jalan penyelesaian) bagi segala macam kepayahan/kesusahan yang dihadapinya”.
[15]

Apabila berhadapan dengan musuh, orang-orang bertaqwa akan sentiasa dinaungi dan dijaga oleh Allah sehingga perancangan jahat dan tipu-daya musuh-musuh mereka tidak akan mampu memudaratkan mereka sedikitpun.

“Jika kamu bersabar dan bertakwa, niscaya tipu daya mereka sedikitpun tidak mendatangkan kemudharatan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan”.

( Surah Aali Imran: Ayat 120 )

[1] تفسير المنير : الأستاذ الدكتور وهبة الزحيلي . رئيس قسم الفقه الإسلامي و مذاهبة في جامعة دمشق . الجزء الثاني \ ص 130 \ طبعة دار الفكر دمشق .
[2] Mempertajam Mata Hati, Ibnu Athoillah As-Sakandari (Penggubah; Abu Jihaduddin Rifqi Al-Hanif), hlm. 76.
[3] Lihat hadis ini dalam Tafsir al-Qurthubi : ayat 102, surah Ali Imran dan kitab Raudhatul Muttaqin , Syarah kitab Riyadhus Salihin , jilid. 1, bab at-Takwa.
[4] Tafsir al-Qurthubi : ayat 2 , surah al-Baqarah .
[5] Tafsir Ibnu Kathir (ayat 2, surah al-Baqarah).
[6] Tafsir Ibnu Kathir (ayat 2, surah al-Baqarah).
[7] Tafsir al-Qurthubi (ayat 2, surah al-Baqarah).
[8] Al-Muqthathaf min ‘Uyun at-Tafasir, karangan al-Allamah Mustafa al-Khairi, hal. 27.
[9] Lihat tafsir al-Jalalain.
[10] Tafsir ‘Abrul Athir, Ahmad Sonhadji Mohamad, juz 9, hlm. 29-30.
[11] Tafsir an-Nasafi, Imam Abi al-Barakat Abdullah bin Ahmad an-Nasafi (surah al-Anfal, ayat 29).
[12] Tafsir Ibnu Kathir (Surah al-Ahzab, ayat 70)
[13] Tafsir Ibnu Kathir (surah al-Anfal, ayat 29)
[14] Al-Muqtathaf min ‘Uyun at-Tafasir (surah al-Baqarah, ayat 2)
[15] Radhatul Muttaqiin (Syarah Riyadhus Salihin), jil 1, bab at-Takwa, hal. 113.

Jumaat, 24 Julai 2009

Semut dan Pengebom Berani Mati

Salam ukhuwwah,

Tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; Sesungguhnya
Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."
(QS. Al-Baqarah, 2:32)



Tatkala mencoret posting ini, terbit perasaan 'geram' di hati ini pada makhluk Allah yang kecil yang bernama semut. Mana tidaknya, hampir setiap sudut teratak saya 'ditawan' oleh serangga daripada keluarga Formisidae ini. Pantang sahaja ada sesuatu yang boleh dijadikan makanan, terus sahaja dikerahkan 'bala tentera' mereka menyerangnya. Nampaknya saya perlu melancarkan satu hari untuk 'operasi pembersihan besar-besaran' koloni mereka bagi memastikan teratak saya tidak terus dijelajahi mereka.

Namun kekadang, leka juga memerhati 'pasukan pekerja' semut berderet keluar kerana ditugaskan untuk mengesan bahan yang boleh dijadikan makanan dan mengangkut bahan-bahan tersebut ke koloni mereka.

Oleh kerana mereka hanya berpandukan bau yang ditinggalkan oleh kawan mereka sebagai jejak, sesekali sengaja saya menghilangkan bau tersebut dengan menyapu bekas laluan sehingga berteraburan saf mereka..:-) tetapi hanya sebentar sahaja, mereka sememangnya makhluk yang cekap, pantas dan tidak mengenal erti berputus asa.

Belajar dari semut

Walaupun begitu, banyak perkara yang kita perlu pelajari daripada haiwan kecil yang berjiwa besar. Tentu banyak hikmahnya sehingga terdapat kisah semut dalam al-Quran bahkan namanya turut menjadi salah satu daripada nama surah iaitu surah -al-Naml.

Semut adalah haiwan yang hidup dalam satu komuniti, seperti manusia yang hidup bermasyarakat. Sehingga kini, pengkaji semut merasa sangat kagum dengan sistem sosial mereka. Daripada sistem jaringan komunikasi yang maju, hierarki yang rasional dan cerdik, mempunyai sifat tadhiyah dan disiplin yang tinggi hinggalah kepada strategi peperangan mereka semuanya menjadi bahan kajian dan menimbulkan takjub yang tidak sedikit.

Semua itu membuktikan kekuasaan Allah yang berkuasa mencipta dan menyusun atur kehidupan makhluk serta mengurniakan ilham kepada makhlukNya.

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih ber-gantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Mahasuci Engkau. Maka, peliharalah kami dari siksa neraka." (QS. Ali 'Imran, 3: 190-191) !

Cuma di dalam posting kali ini, suka saya berkongsi fakta menarik yang saya temui dalam buku Harun Yahya mengenai keajaiban semut bab sistem peperangan dan pertahanan:

Pengorbanan terbesar yang dilakukan semut demi koloninya adalah menghancurkan koloni musuh dengan cara bunuh diri untuk membela koloninya. Banyak jenis semut siap melakukan teknik kamikaze ini, tetapi yang paling dramatis adalah semut pekerja dari spesies Camponotous dari kelompok saundersi yang hidup di hutan hujan Malaysia.

Semut Camponotous pertama kali ditemukan pada tahun 1970 oleh dua orang ahli entomologi. Secara anatomi dan tingkah laku, semut ini diprogram untuk menjadi bom berjalan. Mereka memiliki dua kelenjar raksasa yang mengeluarkan racun. Kedua kelenjar ini berada dari pangkal rahang bawah sampai ujung belakang tubuh. Ketika semut terdesak selagi bertempur, baik oleh semut lawan atau oleh pemangsa yang menyerang, otot perutnya berkontraksi secara cepat, membuat dinding tubuhnya meledak, dan menyemprotkan sekresinya ke arah musuh[1].

Petikan ini jelas menggambarkan daya juang dan pengorbanan yang cukup tinggi. Masya Allah wa Subhanallah! Rupanya semut yang penuh misteri sehingga ke hari ini turut mempunyai 'skuad askar elit' yang sanggup 'syahid' demi mempertahankan koloninya daripada ditawan musuh. Namun tindakan itu hanya dilakukan setelah mereka berada dalam keadaan benar-benar terdesak dan merupakan jalan yang terakhir setelah segala strategi yang digunapakai tidak berkesan. Mungkin semut juga boleh dinobatkan sebagai pejuang sejati yang 'bermaruah'.

Antara 'Amaliyyah Istisyhadiyyah' dan pengeboman hotel di Jakarta

Menyebut kisah pengebom berani mati, saya teringat pada satu istilah di dalam Islam dalam bab jihad yang disebut 'amaliyyah istisyhadiyyah' (operasi memburu syahid) yang popular lewat gerakan Intifadha di Palestin atau dari segi istilahnya didefinisikan sebagai:

"Operasi jihad memerangi musuh-musuh Islam dengan menggunakan suatu kaedah atau dalam keadaan yang pada adatnya, pelaksana operasi tidak mungkin selamat. Ia dilakukan dengan niat untuk membunuh musuh-musuh Allah dan untuk mendapatkan syahid."[2]

Di Barat mereka menterjemahkan Amaliyyah Istisyhadiyyah sebagai 'operasi berani mati' dan menyamakannya dengan tindakan berani mati tentera Jepun (Kamikaze) ketika berhadapan dengan pasukan tentera bersekutu dalam Perang Dunia Kedua. Walhal sebenarnya kedua-dua itu perkara yang jauh berbeza.

Apa yang ingin diulas bukanlah mengenai operasi ini tetapi mengenai mainan yang dimainkan oleh Barat untuk mencetuskan islamphobia di kalangan masyarakat dengan meyandarkan segala siri-siri pengeboman yang telah berlaku kepada umat Islam. Mereka cuba mengaitkannya dengan amalan 'amaliyyah istisyhadiyyah. Jua memberi gambaran kepada masyarakat bukan Islam betapa 'terorist'nya umat Islam.

Peristiwa-peristiwa seperti tragedi 11 September, pengeboman di Bali serta banyak lagi siri pengeboman yang berlaku dan terbaru di Jakarta memaparkan kepada kita modus operandi yang sama telah mereka gunakan. Senang sahaja, lemparkan batu sembunyi tangan atau lemparkan sahaja bom kemudian carilah pesalahnya di kalangan umat Islam. Tambahan lagi mereka menggelarkan diri mereka sebagai 'polis dunia'. Mudah sahaja berbuat apa yang mereka kehendaki. Lihat sahaja pengeboman hotel di Jakarta, belum pun siasatan terperinci dijalankankan nama Nordin Mat Top sudah menjadi top!

Saya yakin dan percaya Islam sama sekali tidak menganjurkan keganasan. Sama sekali tidak!

Sama-samalah kita berdoa. Mudah-mudahan Allah memelihara Islam dan para pejuangnya!

Rujukan: [1] http://www.harunyahya.com/indo/buku/semut01.htm
[2] Nostalgia Syuhada' Palestin, Ibnu Ismail (2003)

Ahad, 12 Julai 2009

Dr. Marwa El-Sherbini- Syahidah Mempertahan Hijab


Salam juang,

Dua hari lepas saya terkejut mendapat satu mesej. Hati saya bagai disiat-siat. Sudahlah sebelum ini dilaporkan pembantaian terhadap umat Islam di Thailand dan Urumqi. Namun tidak dapat mensahihkan berita tersebut gara-gara terdapat gangguan internet di rumah. Kata bonda, internet di rumah selalu ada gangguan setiap kali menjelang pilihanraya kecil. Mengapa? Wallahua'lam.

Mesej berkenaan adalah berkenaan dengan tragedi pembunuhan seorang wanita mesir, Dr. Marwa Sherbini yang menetap di Jerman. Sesiapa yang tidak mengenali Dr. Marwa el-Sherbini sila tonton video ini. Beliau telah dibunuh oleh Alex W, seorang yang berbangsa Jerman, di hadapan anaknya berumur tiga tahun awal Julai yang lalu dalam dewan perbicaraan Dresdan, Jerman. Dr. Marwa, 32,ketika itu sedang hamil tiga bulan telah ditikam sebanyak 18 kali ketika menanti untuk memberi keterangan. Suaminya di tembak di kaki ketika percubaan polis meleraikan pergaduhan dengan alasan 'tersilap sangka'(?).

Dilaporkan Dr. Marwa di bunuh gara-gara mempertahankan hijab. Kurang setahun yang lalu, di Dresdan Park, tempat permainan kanak-kanak, Dr. Marwa telah dimarahi oleh seorang lelaki Jerman yang tidak membenarkan beliau meletakkan anaknya di buaian. Lalu lelaki tersebut mengejek-ejek dengan gelaran 'terorist' dan cuba menarik hijab yang dipakai oleh beliau. Perbuatan tersebut dibawa ke mahkamah dan ternyata beliau menang dalam kes tersebut. Mungkin inilah yang menyebabkan lelaki tersebut naik angin lalu menikam beliau berkali-kali.

Dukacitanya kedutaan Jerman melaporkan kes tersebut hanyalah sebagai kes jenayah dan bukannya penindasan terhadap Islam. Tidak dapat dipastikan apakah hukuman yang dikenakan terhadap pembunuh tersebut.

Persoalannya, siapakah sebenarnya yang bergelar 'terorist'? Adakah Dr. Marwa yang disifatkan oleh abangnya seorang yang patuh oleh agama atau si pembunuh yang menikam beliau yang sedang hamil sebanyak 18 kali? Mengapakah begitu longgar pengawasan keselamatan terhadap mahkamah di Jerman sehingga mudah sahaja senjata di seludup masuk ke dalam mahkamah?

Sesungguhnya inilah salah satu diskriminasi terhadap umat Islam. Siapakah yang akan bangkit menuntut bela terhadap arwah Dr. Marwa?

Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Al-Fatihah buat as-syahidah Dr. Marwa el-Sherbini. Mudah-mudahan roh beliau ditempatkan di kalangan para syuhada', syahid dalam membela salah satu daripada syiar Islam.

Lihat berita selanjutnya rujuk di sini, al-Jazeera English dan CNN.

Jumaat, 1 Mei 2009

Bagaimana mewujudkan sebuah organisasi yang baik?

Wasilah kepada penghasilan kerja yang sempurna dan memuaskan bermula daripada kewujudan satu organisasi yang mantap, kukuh dan berfungsi. Usaha untuk mewujudkan organisasi sedemikian mesti diambil berat dan serius oleh semua ahli harakah. Mengabaikan perkara tersebut menjadikan pencapaian cita-cita perjuangan hanya sebagai angan-angan dan mimpi indah. Usaha-usaha mesti dijalankan diantaranya:

1) Kaedah dasar dalam urusan organisasi ialah berikan kepada yang layak. Setiap ahli dalam gerakan mestilah berpendirian tegas iaitu apabila hendak meletakkan sesuatu tugas atau tanggungjawab mestilah ditujukan kepada anggota yang paling layak di kalangan mereka. Ini dapat dilakukan dengan menolak sikap pilih kasih ataupun membuat penilaian kelayakan berdasarkan kriteria yang tidak munasabah.

2) Anggota gerakan yang diamanahkan untuk sesuatu tanggungjawab mestilah menerimanya dengan ikhlas dan mesti memahami bidang tugas dan tanggungjawab yang dipegang. Hendaklah berusaha meningkatkan pestasi amal haraki dari masa ke semasa melalui keazaman, kecekapan dan kesanggupan bekerja.

3) Usaha untuk meningkatkan prestasi amal haraki boleh dilakukan dengan cara belajar dari pengalaman orang lain.

4) Sika berlapang dada dan sanggup ditegur harus ada pada setiap anggota organisasi yang memegang amanah kepimpinan.

5) Amal harakah adalah kerja yang memerlukan ramai pembantu. Jadi hendaklah diberikan keutamaan untuk mewujudkan pasukan petugas (working team) bagi meaksanakan sesuatu program organisasi.

6) Organisasi mesti mengenal pasti setiap anggotanya mempunyai peranan dan tugas mengikut bidang kemahiran masing-masing. Kesibukan menjalankan tugas akan mengurangkan peluang untuk pertikaian dan kritikan.

7) Elakkan sedaya mungkin dari berlakunya kejadian 'mengambil alih tugas' orang lain. Jika ini berlaku, kesannya negatif untuk organisasi.

8) Pimpinan yang lebih tinggi hendaklah menjauhkan dari sikap 'harap ada, percaya tidak' kepada anggota organisasi pimpinannya. Sikap sedemikian boleh menyebabkan petugas hilang keyakinan dan lain-lain kesan yang tidak baik kepada gerakan.

9) Suatu bahaya yang besar ialah kecenderungan melibatkan perbalahan peribadi dengan organisasi. Perbalahan peribadi dijadikan alasan untuk tidak berkhidmat dengan baik dan boleh melemahkan organisasi. Kecendurungan sebegini mesti dibasmi dengan segera.

10) Arahan-arahan gerakan mestilah difahami dengan baik supaya terbina satu arahan rantaian dari satu peringkat organisasi dengan peringkat yang lain. Rantaian arahan yang jelas akan menghasilkan program yang tepat seperti yang diarahkan.

11) Kerja-kerja dalam organisasi bukanlah satu kerja yang bersifat irtijali. Ia mesti dimulakan dengan satu perancangan rapi dan mempunyai penjadualan kerja yang tersusun dan berencana. Perkembangan dilakukan dari tahap ke tahap.

12) Kerja-kerja dalam organisasi menuntut penglibatan semua pihak. Sesuatu kerja organisasi sekiranya dilakukan oleh individu-individu tertentu sahaja tidak dinamakan organisasi. Tanggungjawab terhadap kesan kerja tersebut mesti dipikul oleh organisasi bukan oleh orang perseorangan.

13) Mesti mencari jalan untuk memilih anasir-anasir yang terbaik dan dipertingkatkan bakat dan kemampuan yang berbeza supaya layak untuk memimpin (melahirkan pimpinan pelapis).

Dipetik daripada risalah: "Kecemerlangan organisasi"

Isnin, 23 Februari 2009

CABARAN ULAMA' MUDA DALAM PERJUANGAN ISLAM

Ustaz Idris Haji Ahmad
Timbalan Ketua DPP Pusat/AJK PAS Pusat 2005-2007


Sebenarnya tidak ada istilah ulama’ muda atau ulama’ tua. Yang ada ialah ulama’ akhirat dan ulama’ su’. Ulama’ ialah mereka yang mempunyai ilmu dan takut kepada Allah SWT. Walaubagaimanapun, tajuk kita pada hari ini akan memfokuskan kepada ulama’ yang terdiri daripada kalangan orang muda. Alhamdulillah, Allah telah menganugerahkan kepada mereka ilmu sehingga mereka mampu untuk menggerakkan jamaah dan perjuangan. Di antara cabaran yang dihadapi oleh ulama’ muda ialah:

1. Cabaran Kebendaan

Oleh kerana nama pun ulama’ muda, maka sudah tentulah kita berada dalam suasana lingkungan pengaruh kebendaan yang kuat yang merantai kehidupan kita pada hari ini. Panggilan dan tarikan dunia menyebabkan kadang-kadang kita malas untuk bersama dengan perjuangan. Lebih-lebih lagi kawan-kawan yang seangkatan dengan kita dilihat lebih senang dan mewah apabila mereka tidak bersama dengan perjuangan Islam.Allah mengingatkan kita dalam Al-Quran:

“Katakanlah (wahai Muhammad): harta benda yang menjadi kesenangan di dunia adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya)”

(An-Nisa’ 4:77)

2. Keluarga (Ibu bapa dan saudara mara)

Keluarga juga memberi cabaran kepada ulama’ muda untuk melibatkan diri dalam perjuangan. Ada keluarga yang memang menentang perjuangan Islam dan ada juga yang memang menyokong perjuangan PAS. Namun, perkara ini juga memberi hambatan kepada para ulama’ muda untuk bergerak aktif walaupun latar belakang keluarga bersama dengan PAS. Mereka menganggap cukup hanya dengan sokong sahaja, tidak perlu berjuang bermati-matian. Oleh sebab itu, banyak dilihat anak-anak aktivis parti yang tidak terlibat dalam perjuangan PAS. Kegemilangan hanya pada zaman ayahnya tidak menurun kepada anaknya. Manakala keluarga yang UMNO, mereka menentang habis-habisan sehingga ada yang tidak mengaku anak.

3. Isteri
Inilah yang diletakkan oleh Ustaz Fathi Yakan bahawa halangan pertama pada pendakwah ialah wanita. Bagi yang belum berkahwin, cabarannya juga wanita yang menggoda ulama’. Bagi yang sudah berkahwin, maka kerenah isteri yang tidak faham dengan tabiat perjuangan Islam. Ada yang mampu lawan, ada yang tertewas dengan isteri. Lebih-lebih lagi apabila isteri tidak faham dengan perjuangan Islam dan perkahwinan pula bukan di atas jalan dakwah. Tetapi kerana harta, cantik, akhirnya ulama’ muda kecundang di pertengahan jalan. Peringatan Allah dalam Al-Quran perlu dirujuk:

“Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan , anak-anak, harta benda berbentuk emas dan perak, kuda pilihan dan haiwan ternak dan sawah lading. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik” (Al-Imran 3:14)

4. Kejahilan Umat
Umat Islam tidak memahami tasawwur Islam yang sebenar. Mereka hanya memahami Islam dalam bentuk fahaman yang sempit. Fahaman yang menolak bahawa dalam Islam ada politik dan urusan keduniaan. Otak yang mereka faham mengenai Islam hanya berkaitan dengan mati sahaja. Urusan dunia, terpulanglah kepada manusia, asalkan nampak senang, halal haram belakang kira. Mereka menolak Islam dalam keadaan jahil. Ulama’ yang tidak tahan dengan kerenah ini akan lari daripada medan.

5. Merasa diri sudah berada dengan kerja amal Islami

Anggap bahawa mereka sudah berada dalam amal Islami. Sudah cukup dengan hanya mengajar masyarakat di sekolah atau di masjid. Cukup sekadar itu sahaja. Mereka merasa ini satu sumbangan yang telah mereka beri untuk Islam. Kita tidak menafikan bahawa kerja ini adalah sebahagian daripada amal Islami. Tetapi jika anggapan seperti ini sudah cukup, amat malang bagi ummah yang mengharapkan kepada mereka untuk memimpin masyarakat.Firman Allah SWT:

“Alif Laam Miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan “kami telah beriman” sedangkan mereka tidak lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka. Maka sesungguhnya, Allah mengetahui orang-orang yang benar-benar beriman dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta”. (Al-Ankabut: 1-3)

6. Hendak membina Profesion masing-masing

Cabaran madiyyah yang melanda menyebabkan ada di kalangan ulama’ muda hendak membina profesion dalam bidang kerja sehingga lupa kepada tanggungjawab kepada ummah dan jamaah. Mereka telah menjadi golongan yang gugur dalam perjuangan. Ada yang menyatakan; “kami hendak dapat professor dahulu, baru hendak berjuang”. Ada yang berazam akan berjuang setelah kukuh ekonomi. Ada yang mendakwa hendak berjuang setelah kukuh dalam jawatan. Apa kata sebelum dapat professor, dia mati? Apakah jawapan yang boleh mereka berikan kepada Allah SWT? Ini bukan bermakna kita mengarahkan mereka meletakkan jawatan, tetapi sekurang-kurangnya berilah sumbangan yang boleh untuk jamaah terus maju. Kebanyakan mereka ini bukan hendak beri tenaga, malahan wang ringgit pun sukar. Walaupun gaji mereka berpuluh ribu.

7. Gangguan dari gerakan lain

Selain daripada menghadapi cabaran daripada gerakan sekular, ulama’ juga menghadapi cabaran daripada kalangan golongan yang mendakwa bahawa kita tidak perlu bersama dengan PAS kerana PAS ialah jamaah centric (menyeru manusia taksub kepada jemaah, bukan kepada Islam). Mereka menyeru supaya kita bekerja dalam bentuk Ummah centric (bukan kepada jamaah tapi kepada Islam). Kalau kita bersama dengan jamaah, bermakna kita hanya berfikiran dalam lingkungan puak kita sahaja. Dakwaan golongan ini, kalau UMNO sekalipun tidak mengapa, asalkan ia juga membincangkan masalah kebaikan ummah. PAS bukan gerakan Islam yang tertua. Tidak perlu berjamaah, nanti mati, Allah tidak tanya apa jamaah yang kamu ikut. Gerakan ini sekarang sedang menular di pusat-pusat pengajian tinggi.Saranan mereka supaya dalam kerja dakwah ini tidak perlu kepada berjemaah, kerana boleh dibuat secara seorang diri. Tidak perlu dengar mana-mana arahan jamaah. Mempertikaikan mengenai bai’ah dalam gerakan Islam. Tidak perlu bai’ah kerana bai’ah hanya pada zaman Nabi SAW sahaja. Pemikiran ini cuba diterapkan oleh majalah “I” keluaran Krangkraf. Di antara yang mempopularkan idea ini ialah Ustaz Maszlee Malik (Lulusan Jordan, Exco JIM Pusat/Pensyarah Matrikulasi UIA), Hafiz Firdaus (Pilot). Justeru itu, ulama’ muda perlu mesti peka dengan hal ini. Mereka mesti menangkis dakyah ini. Adakah benar dakwaan ini? Ulama’ mesti menjawab dengan nas untuk menolak fahaman ini.

8. Menganggap Tidak berdosa

Apabila menganggap tidak ada apa-apa musibah yang menimpa walaupun kita meninggalkan kerja jihad. Ia merasakan tidak berdosa walaupun tidak berjihad di jalan Allah SWT. Akhirnya, realiti di dalam PAS, ramai pengikut tetapi tidak ramai yang hendak menggerakkan jamaah. Mereka mesti ingat bahawa meninggalkan gerak kerja jamaah adalah satu dosa terutama bila kita membiarkan maksiat berleluasa, kemungkaran di sana sini.

9. Tidak sensitif dengan masyarakat yang sedang sakit

Jika diperhatikan pada hari ini, masyarakat sedang sakit rohani, bukan fizikal. Keadaan masyarakat hari ini yang rosak dari segi akhlak dan moral seperti gejala dadah, dedah, aids, lepak, buang anak, pertandingan ratu cantik, lakonan filem yang mengghairahkan, bohsia bohjan dan banyak lagi wabak-wabak lain. Malahan, masyarakat yang kontang rohani ini turut jahil dalam memahami agama.Penyakit pada hari ini bukan sahaja pada bidang tertentu malah meliputi seluruh bidang kehidupan. Keyakinan hari ini adalah ekonomi Islam tidak sesuai untuk diamalkan, politik mesti dipisahkan daripada agama. Amalan sosial Islam sudah dinyahkan daripada masyarakat sebaliknya mengaut apa yang ditiru daripada barat. Dalam bidang aqidah, telah berlaku krisis keyakinan kepada kesempurnaan hukum Allah SWT yang mampu memberi kesejahteraan kepada manusia.Gejala-gejala di atas tidak disedari oleh ulama’ tentang betapa perlu mereka melibatkan diri dalam perjuangan Islam. Sepatutnya mereka mesti berasa terpanggil untuk mengubatnya. Oleh kerana mereka tidak merasakan ini satu penyakit, maka mereka buat tidak kisah dengan apa yang berlaku.

10. Tidak merasakan ini satu Amanah Allah

Setelah agama Allah ini sempurna dengan kewafatan junjungan besar Nabi SAW, maka ia menjadi amanah Allah yang mesti dipikul oleh setiap manusia yang beriman terutamanya golongan ulama’. Sekiranya kita tidak berjihad mempertahankan agama Allah, maka kita akan menerima balasan daripada Allah SWT. Amanah ini mesti dipikul oleh seluruh manusia kerana agama ini adalah untuk menyedarkan seluruh manusia bermula daripada diri sendiri, kaum keluarga dan orang ramai. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah Kami kepada kepada langit dan bumi, serta gunung-ganang untuk memikulnya. Maka mereka enggan memikulnya dan bimbang kerana tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. Ingatlah! Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”.(Surah Al-Ahzab, 33:72)

Ada di kalangan ulama’ yang tidak merasakan diri mereka wajib berjuang. Sedangkan amanah ini adalah yang paling utama memikulnya adalah ulama’. Apabila perasaan ini tidak ada maka kemungkaran berleluasa, kejahilan di kalangan umat merata.

Dipetik daripada: