Wasilah kepada penghasilan kerja yang sempurna dan memuaskan bermula daripada kewujudan satu organisasi yang mantap, kukuh dan berfungsi. Usaha untuk mewujudkan organisasi sedemikian mesti diambil berat dan serius oleh semua ahli harakah. Mengabaikan perkara tersebut menjadikan pencapaian cita-cita perjuangan hanya sebagai angan-angan dan mimpi indah. Usaha-usaha mesti dijalankan diantaranya:
1) Kaedah dasar dalam urusan organisasi ialah berikan kepada yang layak. Setiap ahli dalam gerakan mestilah berpendirian tegas iaitu apabila hendak meletakkan sesuatu tugas atau tanggungjawab mestilah ditujukan kepada anggota yang paling layak di kalangan mereka. Ini dapat dilakukan dengan menolak sikap pilih kasih ataupun membuat penilaian kelayakan berdasarkan kriteria yang tidak munasabah.
2) Anggota gerakan yang diamanahkan untuk sesuatu tanggungjawab mestilah menerimanya dengan ikhlas dan mesti memahami bidang tugas dan tanggungjawab yang dipegang. Hendaklah berusaha meningkatkan pestasi amal haraki dari masa ke semasa melalui keazaman, kecekapan dan kesanggupan bekerja.
3) Usaha untuk meningkatkan prestasi amal haraki boleh dilakukan dengan cara belajar dari pengalaman orang lain.
4) Sika berlapang dada dan sanggup ditegur harus ada pada setiap anggota organisasi yang memegang amanah kepimpinan.
5) Amal harakah adalah kerja yang memerlukan ramai pembantu. Jadi hendaklah diberikan keutamaan untuk mewujudkan pasukan petugas (working team) bagi meaksanakan sesuatu program organisasi.
6) Organisasi mesti mengenal pasti setiap anggotanya mempunyai peranan dan tugas mengikut bidang kemahiran masing-masing. Kesibukan menjalankan tugas akan mengurangkan peluang untuk pertikaian dan kritikan.
7) Elakkan sedaya mungkin dari berlakunya kejadian 'mengambil alih tugas' orang lain. Jika ini berlaku, kesannya negatif untuk organisasi.
8) Pimpinan yang lebih tinggi hendaklah menjauhkan dari sikap 'harap ada, percaya tidak' kepada anggota organisasi pimpinannya. Sikap sedemikian boleh menyebabkan petugas hilang keyakinan dan lain-lain kesan yang tidak baik kepada gerakan.
9) Suatu bahaya yang besar ialah kecenderungan melibatkan perbalahan peribadi dengan organisasi. Perbalahan peribadi dijadikan alasan untuk tidak berkhidmat dengan baik dan boleh melemahkan organisasi. Kecendurungan sebegini mesti dibasmi dengan segera.
10) Arahan-arahan gerakan mestilah difahami dengan baik supaya terbina satu arahan rantaian dari satu peringkat organisasi dengan peringkat yang lain. Rantaian arahan yang jelas akan menghasilkan program yang tepat seperti yang diarahkan.
11) Kerja-kerja dalam organisasi bukanlah satu kerja yang bersifat irtijali. Ia mesti dimulakan dengan satu perancangan rapi dan mempunyai penjadualan kerja yang tersusun dan berencana. Perkembangan dilakukan dari tahap ke tahap.
12) Kerja-kerja dalam organisasi menuntut penglibatan semua pihak. Sesuatu kerja organisasi sekiranya dilakukan oleh individu-individu tertentu sahaja tidak dinamakan organisasi. Tanggungjawab terhadap kesan kerja tersebut mesti dipikul oleh organisasi bukan oleh orang perseorangan.
13) Mesti mencari jalan untuk memilih anasir-anasir yang terbaik dan dipertingkatkan bakat dan kemampuan yang berbeza supaya layak untuk memimpin (melahirkan pimpinan pelapis).
Dipetik daripada risalah: "Kecemerlangan organisasi"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan