Khamis, 12 November 2009

Khabar dari Jordan 1: Khabar ringkas buat teman.


"Jadilah seperti spring, semakin kuat tekanan semakin tinggi lonjakan"

Sudah lama saya tidak mengirim berita, kasihan buat teman-teman yang sering tertanya-tanya khabar saya di sini. Maafkan saya, sebenarnya baru minggu ini rumah bayt Hamlatul Quran mendapat sambungan 'wireless'. Sebelum ini, boleh sahaja menulis namun idea yang sering sahaja pergi tanpa mengucapkan selamat tinggal telah membantutkan mood saya. Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga saya memujuk idea supaya mampir di sisi dan memaksa jari-jemari yang sudah liat untuk menulis sedikit coretan.

Alhamdulillah, sedar tidak sedar usai dua bulan tempoh saya berkelana untuk mencari bekal ilmu di dataran syam. Syukur juga otak saya masih boleh berfungsi dengan baik walaupun sudah hampir setahun berehat daripada medan pengajian secara formal.

Mahu berkongsi apa ya dengan kalian?

Saya tidak punya cerita yang menarik berkenaan tempat-tempat bersejarah di sini kerana sehingga ke saat ini saya masih belum berkesempatan menjejakkan kaki ke sana. Tunggulah jika saatnya tiba, pasti akan saya kirimkan berita buat kalian.

15 September 2009

Tarikh ini saya berangkat ke bumi Jordan. Masih terngiang-ngiang harapan yang diberikan oleh bonda & ayahanda, para murabbi dan para pimpinan setempat. Saya menjejakkan kaki di Mu'tah pada petang 16 September tatkala azan maghrib berkumandang yang menandakan telah tiba waktu berbuka puasa . Perasaan syukur, gembira, sedih, gementar dan terharu berpadu menjadi satu. Apa pun saya sangat bersyukur kerana dipermudahkan Allah jalan menuntut ilmu dan bergelar pemburu ilmu di tanah anbiya'.

Lima hari kemudian, buat pertama kali dalam hidup, saya menyambut hari lebaran tanpa keluarga tercinta. Kami menyambut takbir raya beramai-ramai kemudian menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Abdul Aziz bin Baz.

Masjid Abdul Aziz bin Baz (pelajar Malaysia merupakan imam di masjid ini )


Seminggu selepas itu, saya berpeluang menemani sahabat baik (suaminya merupakan imam di Masjid Abdul Aziz) yang kebetulan melahirkan puteri sulungnya pada 26 September 2009 di hospital Karak.

Si manis Nur Humazatul Iman bt Miqdad
(Puteri sulong bagi pasangan Hidayah Hambali & Miqdad Zakaria)

Pada 27 September 2009, bermulalah pengajian saya sebagai mahasiswi tahun pertama di Fakulti Syariah (takhasus Fiqh Wa Usul), Universiti Mu'tah, Karak, Jordan.


Bangunan Fakulti Syariah, Universiti Mu'tah

Kata Us. Sulaiman, Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (JPM) sewaktu merasmikan Minggu Haluan Siswa, seluruh negara Jordan merupakan bilik darjah kerana suasana di sini sangat sesuai untuk pembelajaran terutama dari sudut pertuturan bahasa Arab. Hal ini kerana, loghat @ lahjat ammi (dialek tempatan) di Jordan masih tidak jauh berbeza dengan bahasa Arab fushah (bahasa baku) jika dibandingkan dengan negara-negara Arab lain yang menggunakan dialek tempatan yang lebih pekat.

Kemasukan mahasiswa/wi Malaysia ke Universiti Mu'tah pada tahun ini juga bertambah tiga kali ganda daripada kemasukan lepas (iaitu seramai 124 orang). Mudah-mudahan kuantiti setanding dengan kualiti.

Rasanya, setakat ini sahaja coretan ringkas yang pertama dari bumi Jordan. Doakan mudah-mudahan jemari saya lebih lincah mencoret khabar untuk kalian.

2 ulasan:

  1. Salam

    asif, nak tanya sikit...

    pelajar malaysia yang jadi imam kat masjid abdul aziz bin baz tu nama dia Abdul fatah ke?

    BalasPadam
  2. wslm,

    maaf baru perasan ade ulasan:)

    Namanya imam kat masjid abd. aziz bin baz, us miqdad zakaria. Pelajar tahun 3 takhasus usuludin.

    BalasPadam