Khamis, 27 Ogos 2009
Al-Fatihah buat Prof. Dr. Ismail Md Saleh
Hari ini, negara menyaksikan pemergian seorang negarawan tatkala ambang kemerdekaan baru mahu menjengah.
Pakar ekonomi Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh meninggal dunia semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura awal hari ini.
Menurut pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Prof Dr Ismail disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Singapura sebaik tiba di hospital itu pada kira-kira pukul 8 pagi. Allahyarham Dr Ismail, mencipta sejarah sebagai senator pertama yang dilantik daripada kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dan cacat penglihatan di Malaysia.Beliau juga ialah bekas timbalan ketua pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS).
Bapa kepada enam orang anak itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech.
Beliau dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 2 Sept, 1947 dan pernah mendapat pelbagai anugerah atas kecemerlangannya di bidang pengajian, antaranya, anugerah Guiness Book of Records sebagai orang cacat penglihatan pertama di dunia mendapat ijazah Doktor Falsafah.Negara sudah pastinya tidak akan dapat melupakan detik bersejarah tanggal 18 Disember 2007, iaitu hari Selasa, Prof. Datuk Dr. Ismail, dengan segala susah-payah dan sedaya-upayanya, melafazkan sumpah dan ikrar taat setia beliau. Dengan tangan kanan yang biasa digunakanmembaca braille diangkat separas bahu, tapak tangan dihalakan ke depan, layaknya seperti yang dilakukan oleh orang yang berikrar, tangan kirinya pula merayap-rayap membaca teks sumpah dan ikrar dalam tulisan braille, tersekat-sekat tetapi dengan penuh keharuan dan semangat yang berkobar-kobar, lafaz sumpah dan ikrar taat setia tersebut dilafazkan.
Perlantikan Profesor Datuk Dr. Ismail Md. Salleh sebagai senator membuka lembaran baru kepada lanskap sejarah Malaysia memandangkan beliau adalah orang kurang upaya (OKU) pertama dilantik ke jawatan itu dan Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang memiliki senator di kalangan OKU.
Pemilihan beliau sebagai senator memperlihatkan betapa golongan OKU diberikan perhatian, pembelaan dan layanan yang begitu istimewa oleh kerajaan melihat kepada sumbangan golongan ini kepada pembangunan masyarakat dan negara. Ini adalah jawatan tertinggi bagi mewakili golongan OKU di Malaysia dan merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada seramai 2.6 juta OKU di negara kita. Kini terdapat hampir 650 juta OKU seluruh dunia.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 10 peratus daripada rakyat sesebuah negara adalah terdiri daripada OKU. Bagaimanapun, jumlah OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga akhir 2006 ialah 197,519 sahaja yang terdiri dari 66,250 cacat anggota; penglihatan (18,258); pendengaran (29,522); masalah pembelajaran (76,619) dan lain-lain seramai 5,983 orang.
Menurut perangkaan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sehingga September 2006 menunjukkan pekerja OKU yang diterima bekerja di sektor awam ialah seramai 325 membabaitkan mereka yang cacat penglihatan, anggota dan pekak dipelbagai kumpulan pekerjaan termasuklah profesional, dan kumpulan sokongan, manakala di sektor swasta pula seramai 6,691. Daripada 10 permohonan yang diterima di kalangan OKU, tiga daripada mereka layak bekerja.
Mungkin secara kebetulan ketika Rang Undang-Undang OKU 2007 diluluskan Dewan Rakyat, Dewan Negara pula menyaksikan perlantikan senator pertama di kalangan OKU. Di samping Dr. Ismail, negara juga memiliki seorang peguam yang cacat penglihatan bernama Mah Hassan yang juga bertanggungjawab dalam merangka rang undang-undang tersebut. Beliau merupakan orang buta pertama di Malaysia diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya.
Bagi saya, beliau merupakan manusia luar biasa yang membuktikan kepada kita, segala yang mustahil, mampu jadi kenyataan asalkan kita yakin dan memberi iltizam yang kuat. Bangga saya katakan, beliau adalah antara inspirasi saya untuk terus kuat berada dalam perjuangan dan seterusnya memajukan diri sebagai pendokong gerakan Islam. Jika OKU kita biasanya fikirkan adalah mustahil untuk memimpin dengn baik, beliau telah berjaya membuktikan sebaliknya. Maka tidak mustahil juga gerakan mahasiswa Islam di sesetengah buah kampus yang merasakan mereka tidak mampu sama laju dengan kampus lain, mampu melangkah kepada medan perubahan. Begitu juga dengan rakyat yang tidak meyakini Pakatan Rakyat atau PAS. Kuncinya, yakin, usaha dan bekerja kuat.
Ada pepatah berbunyi - kita akan terus gagal sekiranya tidak mencuba namun jika beranikan diri untuk mencuba maka kita telah membuka sekurangnya 1 peratus peluang untuk berjaya.
Biasakan diri kita dengan mengkritik seiring membina, bukan mengutuk dan meruntuh.
Mungkin kata-kata Presiden Amerika Syarikat ke 32 bboleh dijadikan renungan - great minds discuss ideas, average minds discuss events, and small minds discuss people
Menginjak usia ke 52 kemerdekaan, pemuda pemudi negara apatah lagi gerakan mahasiswa perlu membebaskan diri daripada penjajahan minda "berjiwa kecil".
Bersetuju saya dengan sebuah pandangan - tanpa kesediaan untuk mengubah dan menganjak pemikiran, sukar dilakukan apa jua usaha untuk menambahbaikkan keadaan.
Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada beliau. Mudah-mudahan di bulan yang mulia ini roh beliau dicucuri rahmat daripada Yang Esa.
Sumber: http://mawarmunawwarah.blogspot.com/
Nota: Alangkah terkejutnya saya apabila sampai satu mesej yang mengatakan Us. Ismail Kamus kembali ke rahmatullah. Rupa-rupanya sahabat saya tersilap orang. Berhati-hati dalam memforward mesej.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan