Isnin, 12 Julai 2010

Ikhlaskan Niat

Bismillahirrahmanirrahim,

Asslamualaikum w.b.t.

Sebut tentang ikhlas, ingatan saya melayang-layang kepada susuk tua yang bernama Hajah Fatimah atau panggilan manjanya Mok Su. Sesiapa yang pernah menuntut di DQ Rusila, pasti mengenali susuk tua ini. Umurnya lebih kurang sebaya dengan Tun Dr. Mahathir. Istimewanya beliau, pernah menjadi suri hidup mantan MB Terengganu yang pertama iaitu allayarham Daud bin Abdul Samad. Pada tahun 1959, selepas merdeka, telah berlaku pilihanraya umum pertama yang telah menyaksikan Pas berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Kelantan dan juga Terengganu.

Muafakat longgar antara PAS-Parti Negara menyaksikan Kerajaan Negeri Terengganu ditubuhkan dengan pimpinan YB Daud Abdul Samad. DUN Negeri Terengganu pada ketika itu mempunyai 24 kerusi dengan pecahan Pas 13 kerusi; Parti Negara 4 kerusi dan Perikatan 7 kerusi.

Apa yang berlaku ialah 3 ADUN Parti Negara berjaya ‘dibeli’ Perikatan manakala seorang ADUN Parti Negara bertindak menyertai Pas. Kemudiannya 2 ADUN Pas ‘diculik’ yang akhirnya membawa kepada kedudukan 12-12 di dalam DUN Terengganu pada ketika itu. Berikutan satu undi tidak percaya yang terhasil daripada strategi jahat ini, maka tumbanglah Kerajaan PAS-Parti Negara pada 30 Oktober 1961.

Kenangan yang masih segar bersama Moksu adalah dikejar dengan batang penyapu kerana menelefon pada waktu yang tidak dibenarkan. Pada masa itu, satu-satunya tiang telefon awam tunggal berada di hadapan kawasan rumahnya, yang juga berada dalam kawasan asrama banat. Walaupun beliau sudah lanjut usia, masih lagi dapat 'racing' ketika memandu kereta tuanya dan masih dikurniakan badan yang sihat untuk berkebun dan dikurniakan ingatan yang kuat terutama tentang sejarah-sejarah yang terdahulu.

Panjang pula cerita tentang Moksu, mungkin lepas ini boleh ditulis entri khas mengenai insan istimewa ini. Apa yang ingin dipetik adalah kata-kata Moksu ketika memberi nasihat kepada kami pimpinan pengawas pada masa itu tentang ikhlas.

Beliau telah mengumpamakan ikhlas itu ibarat PENAPIS TEH.

Kenapa penapis teh yang dipilih beliau?

Kata beliau, air teh itu ibarat amalan kita dan penapis itu adalah ikhlas. Jika kita menapis air teh, pasti yang terlekat pada penapis itu adalah hampas-hampas teh atau serbuk-serbuk teh yang tidak ingin kita minum. Hasilnya, akan keluar selepas ditapis air teh yang benar-benar berkualiti dan tidak mengandungi habuk-habuk teh yang kita tidak perlukan. Seumpama itu juga amalan kita, perlu ditapis agar amalan yang terhasil benar-benar berkualiti dan tidak mengandungi unsur-unsur yang hampeh seperti riya’, ujub, dan lain-lain. Ikhlas itu yang menapis amalan kita dan menentukan samada lepas atau tidak amalan kita untuk dihisab dihadapan Allah s.w.t.

Sepanjang minggu lepas, minggu pertama pengajian musim soifi, saya telah mengambil 4 subjek iaitu tilawah 1, dirasat hadis fi sohihaian, maqasid syar’yyah dan fiqh aiman. Apa yang paling menyentuh hati saya, sangat berkebetulan sepanjang seminggu itu, persoalan niat itu telah ditimbulkan dalam keempat-empat subjek yang diambil. Dalam kelas tilawahnya telah ditimbulkan tentang niat bertilawah, kemudian dalam kelas dirasat hadis belajar mengenai hadis pertama dalam matan arba’in iaitu hadis “Innama a’malu binniyyat”. Masuk pula kelas maqasid belajar muqaddimah maqasid iaitu pengenalan maqasid, dari sudut lughahnya adalah tujuan atau ada kena mengena dengan niat. Di dalam kelas fiqh aiman pun belajar tentang niat, yang menentukan kesahihan sumpah. Betapa pentingnya niat hingga dikaitkan dalam keempat-empat kelas tersebut..

Niat dan amalan kita hanya tergantung pada satu perkara iaitu ikhlas. Ikhlaslah kriteria yang diambil kira samada amalan tersebut diterima oleh Allah atau tidak. NIatlah yang menentukan samada amalan kita menjadi adat atau ibadat. Oleh itu, bertepatan dengan permulaan sem soifi ini, sama-sama kita merefresh niat semata-mata kerana Allah s.w.t, di samping menghilang jahil pada diri dan masyarakat.



Akhir kata, meminjam trademark Aisyah harun, senior saya di DQ dan berkebetulan jodoh kami panjang, turut menjadi senior saya di Jordan “Tajdid niat, tajdid amal & muhasabah diri”

Nota: Tahniah dan takziah kepada kepimpinan baru PERMATA yang diterajui oleh gandingan mantap Ustaz Hussin dan Ustazah Al-Farhaian, berhati-hati mengemudi bahtera, kami anak-anak kapal sedia memberi khidmat. Tajdidkan niat, jadikan PERMATA satu jalan shortcut untuk melipatgandakan lagi amalan kebaikan dan meraih mardhotillah.

-Mode imtihan awal –tilawah 1 dan maqosid hari Rabu ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan