Khamis, 22 Julai 2010

Tanya Sama Hati

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamua'laikum w.b.t.

Tanya sama pokok,
Apa sebab goyang,
Nanti jawab pokok,
Sebab angin yang goncang.

Tanya sama hati,
Apa sebab resah,
Nanti jawab hati,
Kerana ada berbuat salah.


Salam pagi Jumaat.

Hari Jumaat pernah diwartakan sebagai Hari Ilmu di Terengganu dan Kelantan. Mengimbau kenangan di DQ, pagi-pagi begini kami akan bersiap-siap untuk keluar ke pasar Jumaat di perkarangan Masjid Rusila. Meriah sungguh suasananya. Kelihatan lautan manusia berbondong-bondong ke pasar ini. Pasar yang sangat unik.

Namun yang menyebabkan kedatangan ramai rakyat Terengganu, saya percaya bukan kerana kekuatan pasarnya yang unik, tetapi kerana dahagakan ilmu pengetahuan. Setiap pagi Jumaat akan diadakan pengajian tidak formal di Masjid ini yang disampaikan oleh seorang tokoh yang tidak asing lagi, iaitu Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Hj. Awang. Selalunya masjid tidak dapat menampung kehadiran lautan manusia yang hadir bahkan melimpah-limpah sehingga hampir sekampung penuh dengan manusia. Jika anda tidak percaya, silalah melawat Kampung Rusila di pagi Jumaat:)

Semasa berada di KIAS pula, kami bersiap-siap untuk mendengar kuliah pagi Jumaat yang disampaikan oleh tokoh yang sangat disegani lawan dan kawan iaitu Tuan Guru Dato' Hj. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat di pekan Kota Bharu. Juga terletak di dataran ilmu yang berada dicelah-celah pasar Siti Khadijah dan shopping compleks jua berhampiran Masjid Muhammadi.

Saya kira usaha pencerahan ilmu yang dilakukan oleh kedua-dua tokoh ulama' ini menyumbang kepada kecelikan masyarakat terhadap agama. Usaha yang dilakukan tanpa jemu semenjak dahulu lagi untuk membebaskan masyarakat daripada belenggu kejahilan. Hanya ilmu yang dapat membentuk masyarakat yang lebih bertamadun.

Panjang pula cerita tentang pagi Jumaat.

Sebenarnya di pagi yang ceria ini, suka saya berkongsi dengan kalian sepotong hadis yang dikeluarkan oleh Imam Muslim, daripada al-Nawwa bin Sim'an r.a daripada Rasulullah s.a.w sabdanya:

"Kebaikan itu adalah elok budi pekerti sedang dosa itu ialah apa yang bergetar di dalam diri engkau dan engkau benci dilihat oleh manusia kepadanya"

Di dalam riwayat yang lain iaitu dikeluarkan oleh Imam Ahmad dan Imam Darimi, dalam musnadnya daripada Wabisah bin Ma'bad r.a. katanya:

Aku telah datang kepada Rasulullah s.a.w lalu baginda bertanya: "Engkau datang untuk bertanyakan tentang kebaikan?"

Aku menjawab: "Ya"

Lalu baginda bersabda: "Mintalah fatwa hati engkau. Kebaikan itu ialah apa yang mententeramkan diri engkau kepadanya dan mententeramkan juga kepadanya hati, sedang dosa itu ialah apa yang bergetar dalam diri dan ragu dalam dada sekalipun berfatwa kepada engkau oleh manusia dan mereka telah berfatwa dengan menyalahinya"
[Hadis Hasan]


Nabi mengajar kepada kita jika ingin mengetahui perkara tersebut adalah satu dosa atau pahala. tanya saja pada iman di dalam hati. Secara fitrahnya, manusia sememangnya akan berasa tenteram hati mereka jika berada di dalam kebaikan dan jika sebaliknya akan berasa dalam keadaan tidak tenang atau pun gelisah.

Perkara yang sudah terang lagi bersuluh mempunyai nas atau dalil yang jelas pengharaman dan penghalalannya sudah tentu tidak termasuk dalam hadis ini.

Hadis ini lebih memfokuskan kepada perkara yang tidak mempunyai nas yang terang samada halal atau haram iaitulah perkara yang syubhah.

Kebaikan itu apa?

Rasulullah telah mengajarkan kepada kita, kebaikan itu adalah keelokan budi pekerti dan perkara yang jika dilakukan dapat mententeramkan jiwa. Justeru, tenteram dan tenang itu hanya menghuni pada hati-hati yang sentiasa melazimi diri dengan perkara-perkara kebaikan. Suka saya memetik kata-kata seorang ulama' yang berbunyi:

" Ketenangan jiwa itu adalah hembusan dari langit, diturunkan ke dalam hati orang yang beriman dari penduduk bumi, supaya mereka berhati teguh dikala banyak orang mengalami kegoncangan, mereka yakin ketika banyak orang penuh keraguan, mereka sabar ketika banyak orang telah berkeluh kesah dan mereka berlapang dada ketika banyak orang menjadi panik."

Ketenangan itu hakikatnya adalah kebahagiaan yang diburu manusia. Ramai yang menyangka akan tenang lantas berasa bahagia jika berumah besar, berduit banyak, dan lain-lain lagi kemewahan dunia. Oleh itu ada yang sanggup melakukan apa sahaja sehingga melanggar syara' seperti membunuh, merompak dan sebagainya untuk mengejar kemewahan atau kekayaan dunia. Apabila perasaan tamak itu timbul maka manusia gagal untuk membezakan antara kaca dan permata.

Perkara kejahatan itu, tidak pernah menenangkan hati manusia. Kebaikanlah kunci yang menjadikan hati sentiasa tenang. Jiwa dan hati yang tenang berupaya menukarkan rumah yang kecil menjadi 'istana' sedang jiwa dan perasaan yang bergolak menukarkan istana menjadi sangkar atau penjara.

Dosa itu apa?

Soalan ini saya pernah lontarkan kepada murid darjah lima di sebuah sekolah yang saya pernah mengajar dahulu.

Macam-macam jawapan yang saya dapat. Rata-rata jawapan yang saya dapat, mereka meyatakan dosa-dosa itu hanyalah yang terdiri daripada dosa-dosa besar seperti mencuri, meragut, berzina dan lain-lain. Mereka tidak nampak bahawa tidak mentaati ibu bapa, ponteng kelas, berkelakuan tidak baik itu sebagai dosa.

Dosa itu merangkumi segala perkara yang kita lakukan bertentangan dengan perintah Allah dan RasulNya atau nama lainnya maksiat.

Rupanya di dalam diri kita sudah ada penggera jika kita melakukan kesalahan. Tandanya adalah kita hilang ketenangan dan sentiasa berada dalam keadaan gelisah. Kita juga akan merasa malu jika perkara tersebut diketahui oleh orang ramai.

Penggera itu adalah hati kecil kita yang masih setia mengingatkan. Cuma tinggal lagi samada kita mahu menurutinya atau tidak.

Cumanya penggera ini hanya ada di dalam hati-hati mereka yang masih tidak dicemari oleh dosa-dosa besar atau tidak sentiasa melakukan dosa-dosa kecil. Hal ini kerana, jika kita sudah biasa melakukan dosa-dosa tersebut maka sensitiviti itu akan terhakis kerana sifatnya yang tersangat halus.

Jadi tidak hairanlah, jika kita melihat senario pada hari ini, terdapat segolongan manusia yang merasa bangga dengan dosa yang dilakukan dan tidak segan-segan mempertontonkannya di khalayak ramai. Hal ini kerana sensitiviti mereka telah terhakis dengan lambakan dosa-dosa yang dilakukan sehingga tertutup pintu hati mereka untuk menerima kebenaran.

Mohon Allah jauhkan kita daripada hati berasa senang dan berbangga dengan kemungkaran yang dilakukan.

Penutup.

Kembalilah wahai hati kepada fitrah. Fitrah manusia adalah kebaikan. Jika ragu-ragu terhadap sesuatu perkara sama ada dosa atau tidak, tanyalah sama hati kamu.

Nota: Hanya dengan mengingatiNya hati akan tenang. Sukarnya berbicara tentang hati.

2 ulasan:

  1. slm.. k.ngah, ana ni kalu benda betul pn akan rasa berdebar dan resah.. mcmne pulak tu ya??

    BalasPadam
  2. wslm,

    Berdebar? tu dah lain macam.. hu3..
    Dosa itu menghilangkan ketenangan di jiwa..
    Ask urself..:)

    BalasPadam