Isnin, 2 Ogos 2010

Terima kasih sang murabbi...

"Mursyid yang baik prasyarat menjadi mukmin yang bertaqwa"

Assalamu'alaikum w.b.t.

Dengan nama Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, lantas dengan kasih sayangNya mengutus utusan pembawa rahmat. Iaitu Junjungan Besar Muhammad s.a.w. nabi yang terakhir dan penutup para anbia'. Selawat dan salam kepada baginda, murabbi teragung dan terulung. Jua kepada para sahabat, tabi'n dan seluruhnya.

Alhamdulillah beroleh kesempatan untuk bertemu dengan kalian semua. Apa khabar kalian semua? Sihatkah iman dan taqwa? Mudah-mudahan tidak pernah lepas dari rahmat dan petunjuk Ilahi.


Bahang panas di Mu'tah tika ini memarakkan ingatan saya terhadap murabbi dan pendidik yang tidak pernah lelah mengerahkan seluruh kudrat mereka untuk mengajarkan kita tentang harga nilai setitis ilmu daripada ilmu-ilmu Allah ta'ala.


Saya teringatkan pendidik saya di pusat asuhan Islam sewaktu berumur lima dan enam tahun. Cikgu Zah dan Cikgu Mah. Mereka berdua meninggalkan kesan yang tidak sedikit kepada saya. Percayakah kalian, saya masih terbayang-bayang gaya Cikgu Zah melukis di papan hitam sambil menerangkan kisah peperangan Uhud. Bagai tergambar kesedihan nabi yang tercabut giginya kerana para sahabat tidak mengikut arahannya. Kata orang, bicara yang datang daripada hati pasti jatuh ke hati. Jua kesabaran Cikgu Mah melayan telatah anak muridnya yang bermacam-macam karenah. Tanpa imbuhan yang banyak, mereka dengan tenang dan gembira mengajarkan kami mengenal Tuhan yang Maha Mencipta dan tekun menerangkan susuk peribadi kekasihNya Muhammad s.a.w. serta ilmu-ilmu asas yang lain. Tanpa ketekunan mereka mengajar daripada aliff hingga yaa, A hingga Z masakan mungkin saya mampu berbicara dengan kalian di alam maya ini:)

Ya Allah limpahilah mereka rahmat, hamparilah mereka maghfirah dan keampunanmu, letakkan mereka sebaris dengan barisan para anbiya', auliya', syuhada' dan para solihin.

Ingatan saya jua melayang mengingati pendidik saya di sebuah sekolah yang tempat letaknya menghadap pantai. Berjiran dengan masjid dan rumah ulama' yang tersohor. Sekolah agama tersebut adalah pilihan saya walau asalnya ditentang oleh keluarga kerana keputusan saya yang baik dalam UPSR melayakkan saya ke sekolah berasrama yang lebih baik. Tetapi sehingga hari ini, saya tidak pernah menyesal dengan keputusan tersebut. Saya berasa sangat beruntung kerana mempunyai murabbi-murabbi yang begitu ikhlas mendidik anak didiknya. Imbuhan yang diterima, bagi saya, langsung tidak berbaloi dengan kelayakan mereka. Namun, meraka sanggup bekerja untuk melahirkan penerus kesinambungan perjuangan Islam.

Selepas menamatkan persekolahan di sekolah rendah, saya menghabiskan masa tujuh tahun di bumi Rusila. Tujuh tahun bukan waktu yang sekejap. Di situlah zaman remaja saya dihabiskan sehingga hampir menginjak dewasa. Selama itu juga, saya diserahkan kepada murabbi-murabbi di situ untuk dicorakkan. Merekalah pengganti ayahbonda yang mengambil alih tugas mendidik dan mentarbiyyah.

Sekalung penghargaan buat Ayahanda Ustaz Rusli (mudah-mudahan sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik), Ustaz Hamzah Ngah, Ustaz Yasin, Abuya, Ustaz Kamaruzzaman, Ustaz Jusoh, Ustaz Mat Rani, Ustaz Razman, Ustaz Tarmizi, Ustaz Sofi, Ustaz Rozi, Ayah Su Nu'man, Ustaz Zakaria, Ustaz Ismail, Ustaz Zulyadain, Ustaz Mat Sarir.

Moksu, Ustazah Halimah, Ustazah Rasyidah, Ustazah Nik Noradzlina, Ustazah Zubaidah, Ustazah Hasyimah, Teacher Pah, Ustazah Hafizatunnisa', Ustazah Zaleha, Teacher Rozita, Ustazah Zuriati, Ustazah Maznah, Ustazah Aidah, Ustazah Maimunah, ustazah Wan Nadzrah dan seluruh murabbi DQ.

Al-Fatihah buat allahyarhamah Ustazah Hindun, allahyarhamah Ustazah Wan Asmaria dan Allahyarham Ustaz Mat Sulung yang telah kembali kerahmatullah. Mudah-mudahan Allah merahmati roh mereka.

Tanpa mereka, tidak mungkin saya mampu berdiri seperti hari ini.

Seterusnya ingatan saya singgah di sebuah kolej yang terletak berhampiran masjid yang tertua di Asia iaitu Masjid Kampung Laut.

Nilam puri, telah diwartakan sebagai zon ilmu oleh kerajaan negeri Kelantan. Bumi itu sangat subur dengan ilmu dan tarbiyyah.

Walaupun keputusan 'last minit' dibuat untuk mendaftarkan diri di sana, namun saya tidak pernah menyesal dengan keputusan yang dibuat. Saya dan sahabat-sahabat dari DQ merupakan generasi perintis (dan juga penutup) mendaftarkan diri di sana. Pelbagai kisah suka dan duka telah kami tempuhi seterusnya menjadikan kami seperti hari ini.

Esok, 3hbOgas, akan menyaksikan sejumlah graduan menerima penghargaan di Majlis Konvokesyen KIAS di Balai Islam Lundang. Mudah-mudahan produk-produk yang dilahirkan mampu menjadi Duta menyampaikan misi dakwah di serata dunia.

Kepada Poksu Li, Mama Shahnun, Ustazah Akma, Ustaz Zahari, Ustaz Ramizu, Ustaz Nasron, Ustaz Hisyamuddin, Ustaz Tuan Safwan, Ustaz Safwan, Ustaz Fadhli Sya'ari, Ustaz Rahim, Ustaz Wazi, Dr. Johari, Dr. Hilal, Dr. Zack, Dr. Ya'akub, Madam2 dan seluruh warga pendidik KIAS, terima kasih yang tidak terhingga atas didikan dan sumbangan yang telah kalian berikan. Saya berbangga punya pendidik seperti kalian:)

Penutup

Sebesar mana pun kejayaan yang telah kita kecapi hakikatnya bukan hasil jerih perih kita semata-mata, tetapi kejayaan itu juga terhasil atas keringat pelbagai pihak yang tidak pernah jemu-jemu memberi yang terbaik untuk melahirkan generasi berilmu yang mampu membentuk dunia ke arah yang lebih baik.

Saya dedikasikan sekali lagi ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak terutama para pendidik yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan dokongan untuk melangkah jauh ke hadapan.


Nota: Setulus doa dan ingatan buat sang murabbi di seluruh dunia, moga lebih giat mendidik anak bangsa.

: (Ayahbonda murabbi terbaik:))

Tiada ulasan:

Catat Ulasan