Isnin, 31 Ogos 2009

PERUTUSAN KHAS PRESIDEN PAS SEMPENA HARI KEMERDEKAAN KE-52


Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-52 Kemerdekaan Negara, bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) suka saya mengulangi bahawa pemimpin-pemimpin ulung PAS adalah golongan yang pertama melibatkan diri dengan perjuangan kemerdekaan negara ini.

Mereka menjadi mangsa kezaliman di zaman penjajah. Ketika itu, banyak di kalangan pemimpin negara kita (Umno) bersekongkol dengan penjajah menjadi pegawai-pegawai mereka.

Namun kita tidak menyerah kalah. Kita adalah yang pertama memperjuangkan kemerdekaan (yang) merupakan mata rantai perjuangan sejak kedatangan Islam yang membawa kemerdekaan sebenar.

Kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW ialah pembebasan manusia daripada mengabdikan diri kepada makhluk kepada hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT. Itulah makna kemerdekaan yang sebenar.

Oleh kerana itu, Nabi kita Muhamad SAW dalam perjuangannya yang pertama menentang jahiliah Arab. Bukan jahiliah bangsa lain sehingga berjihrah ke Madinah mendirikan Negara Islam.

Sebuah Negara yang berlandaskan kepada pengabdian diri kepada Allah Ta'ala yang membawa keadilan mutlak kepada seluruh manusia.

Bukan sahaja kepada penganut Islam bahkan, juga kepada penganut-penganut agama lain yang bernaung di bawah pemerintahan Islam. Selepas itu, Nabi kita Muhamad SAW datang ke Mekah untuk membebaskan Mekah daripada kuasa jahiliah.

Pembebasan Mekah bukan kerana dijajah oleh penjajah asing Rom dan Parsi. Tetapi dijajah oleh jahiliah Arab dari kalangan kaum keluarga Nabi SAW. Sehingga Mekah dibebaskan dan itulah kemerdekaan sebenar.

Dan 'obor' kemerdekaan inilah yang dibawa oleh Rubi'e bin Amer kepada Rostum iaitu panglima tentera Parsi dengan kenyataan Rub'ie yang terkenal.

Kata Rubi'e, "Kami mengajak sesiapa yang mahu kepada satu gagasan dasar dan konsep daripada mengabdikan diri kepada manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah. Daripada kezaliman ajaran pelbagai-bagai agama, teori dan pendekatan ciptaan manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT. Daripada dunia yang sempit kepada wawasan dunia sehingga hari akhirat".

Itulah kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW. Kemerdekaan inilah yang didokong oleh perjuangan Islam termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Kita menentang penjajah asing bukan kerana nama asingnya. Tetapi kerana mereka membawa satu fahaman yang mengabdikan diri kepada makhluk dan bukan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita halau mereka bukan kerana nama dia asing tetapi kerana mereka membawa suatu ajaran sesat yang menyeleweng dari petunjuk Allah SWT.

Walau pun, negara kita telah dikatakan mencapai kemerdekaan sejak 52 tahun tetapi warisan penjajah masih lagi wujud. Bertapak dan berakal umbi di dalam masyarakat kita.

Oleh kerana itu, kita menganggap isu perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai.

PAS akan terus berjuang untuk membawa kemerdekaan yang sebenarnya. Iaitu membebaskan diri manusia dari mengabdikan diri sesama manusia, sama ada berbentuk ideologi, teori dan sebagainya atau pun kepimpinan yang berlagak mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT.

Untuk mengajak mereka membebaskan diri daripada itu semua kepada Islam yang membawa kepada kemerdekaan yang sebenar dan itulah dasar serta konsep kemerdekaan yang kita bawa selama ini.

Sekian, Wassalam

Khamis, 27 Ogos 2009

Al-Fatihah buat Prof. Dr. Ismail Md Saleh


Hari ini, negara menyaksikan pemergian seorang negarawan tatkala ambang kemerdekaan baru mahu menjengah.

Pakar ekonomi Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh meninggal dunia semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura awal hari ini.

Menurut pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Prof Dr Ismail disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Singapura sebaik tiba di hospital itu pada kira-kira pukul 8 pagi. Allahyarham Dr Ismail, mencipta sejarah sebagai senator pertama yang dilantik daripada kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dan cacat penglihatan di Malaysia.Beliau juga ialah bekas timbalan ketua pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS).

Bapa kepada enam orang anak itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech.

Beliau dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 2 Sept, 1947 dan pernah mendapat pelbagai anugerah atas kecemerlangannya di bidang pengajian, antaranya, anugerah Guiness Book of Records sebagai orang cacat penglihatan pertama di dunia mendapat ijazah Doktor Falsafah.Negara sudah pastinya tidak akan dapat melupakan detik bersejarah tanggal 18 Disember 2007, iaitu hari Selasa, Prof. Datuk Dr. Ismail, dengan segala susah-payah dan sedaya-upayanya, melafazkan sumpah dan ikrar taat setia beliau. Dengan tangan kanan yang biasa digunakanmembaca braille diangkat separas bahu, tapak tangan dihalakan ke depan, layaknya seperti yang dilakukan oleh orang yang berikrar, tangan kirinya pula merayap-rayap membaca teks sumpah dan ikrar dalam tulisan braille, tersekat-sekat tetapi dengan penuh keharuan dan semangat yang berkobar-kobar, lafaz sumpah dan ikrar taat setia tersebut dilafazkan.

Perlantikan Profesor Datuk Dr. Ismail Md. Salleh sebagai senator membuka lembaran baru kepada lanskap sejarah Malaysia memandangkan beliau adalah orang kurang upaya (OKU) pertama dilantik ke jawatan itu dan Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang memiliki senator di kalangan OKU.

Pemilihan beliau sebagai senator memperlihatkan betapa golongan OKU diberikan perhatian, pembelaan dan layanan yang begitu istimewa oleh kerajaan melihat kepada sumbangan golongan ini kepada pembangunan masyarakat dan negara. Ini adalah jawatan tertinggi bagi mewakili golongan OKU di Malaysia dan merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada seramai 2.6 juta OKU di negara kita. Kini terdapat hampir 650 juta OKU seluruh dunia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 10 peratus daripada rakyat sesebuah negara adalah terdiri daripada OKU. Bagaimanapun, jumlah OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga akhir 2006 ialah 197,519 sahaja yang terdiri dari 66,250 cacat anggota; penglihatan (18,258); pendengaran (29,522); masalah pembelajaran (76,619) dan lain-lain seramai 5,983 orang.

Menurut perangkaan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sehingga September 2006 menunjukkan pekerja OKU yang diterima bekerja di sektor awam ialah seramai 325 membabaitkan mereka yang cacat penglihatan, anggota dan pekak dipelbagai kumpulan pekerjaan termasuklah profesional, dan kumpulan sokongan, manakala di sektor swasta pula seramai 6,691. Daripada 10 permohonan yang diterima di kalangan OKU, tiga daripada mereka layak bekerja.

Mungkin secara kebetulan ketika Rang Undang-Undang OKU 2007 diluluskan Dewan Rakyat, Dewan Negara pula menyaksikan perlantikan senator pertama di kalangan OKU. Di samping Dr. Ismail, negara juga memiliki seorang peguam yang cacat penglihatan bernama Mah Hassan yang juga bertanggungjawab dalam merangka rang undang-undang tersebut. Beliau merupakan orang buta pertama di Malaysia diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya.

Bagi saya, beliau merupakan manusia luar biasa yang membuktikan kepada kita, segala yang mustahil, mampu jadi kenyataan asalkan kita yakin dan memberi iltizam yang kuat. Bangga saya katakan, beliau adalah antara inspirasi saya untuk terus kuat berada dalam perjuangan dan seterusnya memajukan diri sebagai pendokong gerakan Islam. Jika OKU kita biasanya fikirkan adalah mustahil untuk memimpin dengn baik, beliau telah berjaya membuktikan sebaliknya. Maka tidak mustahil juga gerakan mahasiswa Islam di sesetengah buah kampus yang merasakan mereka tidak mampu sama laju dengan kampus lain, mampu melangkah kepada medan perubahan. Begitu juga dengan rakyat yang tidak meyakini Pakatan Rakyat atau PAS. Kuncinya, yakin, usaha dan bekerja kuat.

Ada pepatah berbunyi - kita akan terus gagal sekiranya tidak mencuba namun jika beranikan diri untuk mencuba maka kita telah membuka sekurangnya 1 peratus peluang untuk berjaya.

Biasakan diri kita dengan mengkritik seiring membina, bukan mengutuk dan meruntuh.
Mungkin kata-kata Presiden Amerika Syarikat ke 32 bboleh dijadikan renungan - great minds discuss ideas, average minds discuss events, and small minds discuss people

Menginjak usia ke 52 kemerdekaan, pemuda pemudi negara apatah lagi gerakan mahasiswa perlu membebaskan diri daripada penjajahan minda "berjiwa kecil".

Bersetuju saya dengan sebuah pandangan - tanpa kesediaan untuk mengubah dan menganjak pemikiran, sukar dilakukan apa jua usaha untuk menambahbaikkan keadaan.

Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada beliau. Mudah-mudahan di bulan yang mulia ini roh beliau dicucuri rahmat daripada Yang Esa.

Sumber: http://mawarmunawwarah.blogspot.com/


Nota: Alangkah terkejutnya saya apabila sampai satu mesej yang mengatakan Us. Ismail Kamus kembali ke rahmatullah. Rupa-rupanya sahabat saya tersilap orang. Berhati-hati dalam memforward mesej.

Isu Kartika: Kenyataan TG Hj. Hadi


Isu hukuman sebat kepada pesalah minum arak telah menarik perhatian pelbagai pihak untuk memberikan pandangan dan komen masing-masing. Hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (Pindaan) 1987 sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar. Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. Apabila asasnya adalah nas, maka ianya adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya – kerana ianya berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat.

Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 – 80 rotan jumlahnya. Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam, kerana mengikut Islam sebatan ini perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat. Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak. Sebatan juga tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.

Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi. Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan hukuman dalam undang-undang Islam. Ianya memerlukan pindaan supaya proses undang-undang Islam yang adil dapat dilaksanakan. Oleh yang demikian, kita meminta supaya pihak berkuasa tidak gopoh dalam pelaksanaan itu sehingga memberi gambaran salah mengikut syariat Islam. Dalam masa yang sama kita berharap supaya wanita yang disabitkan itu bertaubat kerana Allah Maha Pengampun dan Penyayang.

Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam. Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam. Haramnya arak adalah tidak mengira tempat – samada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri.
Menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya – adalah seumpama menghadapi nyamuk aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang membawa denggi !

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

sumber: http://presiden.pas.org.my

Nota: Betul3..(gaya upin dan ipin). Jika si peminum arak dikenakan hukuman sebat, maka pihak yang memberi lesen kepada kilang-kilang pengeluar arak dan pusat-pusat penjualan arak bagaimana pula ya? Sesungguhnya mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Ambillah iktibar daripada pengharaman khinzir dan wabak H1N1 (wabak 1Malaysia). Takkan sudah terantuk baru nak terngadah?

Selasa, 25 Ogos 2009

Aiman oh Aiman...

"Makcik, tolongla, Aiman tengah kompius sekarang," ujar Aiman sepupu saya yang berumur sembilan tahun sambil menggaru-garu kepalanya.

"Kompius? Kenapa?" makcik saya membalas. Dia memang seorang yang rajin melayan celoteh budak-budak.

" Semalamkan ibu ajar Aiman kat sekolah, pada hari kiamat nanti akan ada timbangan (mizan). Sape yang timbangan amalannya berat maka dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Sape yang timbangan amalannya ringan maka nerakala jawabnye," kebetulan ibu Aiman yang juga ibu saudara saya merupakan ustazah di sekolah Aiman.

"Jadi, ape yang kompiusnye?" Makcik bertanya lagi.

"Yang Aiman kompiusnye, cuba makcik bayangkan kalau timbangan tu same berat. Macam mane pula? Masuk syurga ke neraka?"

Makcik saya terkedu seketika lalu menjawab mudah:

"Takkan sama beratnye, mesti ade yang lebih berat"

Nota: Mungkin kebanyakan kanak-kanak sekarang tidak mudah menerima bulat-bulat sesuatu maklumat, lebih pintar dan berfikiran kritis berbanding dahulu. Buat ibu bapa dan guru-guru JQAF, layanilah mereka sebaiknya dengan memberikan jawapan-jawapan yang bernas serta boleh diterima akal mereka.

Pengumuman: Liqa' Eid Fitri Lepasan DQ05

Salam Ramadhan,

Perhatian kepada pelajar lepasan Darul Quran 05, InsyaAllah satu majlis reunion akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 4 Syawal 1430H / 23 September 2009

Masa: 8.30pagi

Tempat: Dewan Besar Darul Quran


* Sila respon kehadiran anda kepada unit perhubungan ukht Aimuni (013-9195932). Sebarang perubahan akan dimaklum kemudian.

Ayuh Sujud syukur! Pas kekal kemenangan di Permatang Pasir

: 9618
: 5067

MAJORITI
: 4551

JUMLAH UNDI ROSAK
: 83

Terkini: Iklan Jawatan Kosong sebagai Tukang Sebat Syariah!



Hukuman ditangguh hingga ada tukang sebat syariah


Ogos 25, 09 8:19pm

Hukuman sebat terhadap model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno kerana kesalahan minum arak akan ditangguhkan sehingga Kementerian Dalam Negeri mempunyai kepakaran untuk melaksanakan hukuman itu mengikut undang-undang syariah, kata Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, Jabatan Penjara tidak mempunyai tukang sebat yang berkemahiran untuk melaksanakan hukuman mengikut cara dan kaedah syariah.

"Saya kena akui kita tak ada pengalaman dalam kes ini. Dari segi tanggungjawab saya difahamkan bahawa di bawah akta negara, kita (KDN) dipertanggungjawabkan tapi tak mungkin akan saya benarkan kita laksanakan hukuman itu sekiranya tidak mempunyai kemahiran, kepakaran dan tidak ikut hukum dan cara yang ditetapkan," katanya.

Beliau memberitahu pemberita di Putrajaya hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat kepimpinan petunjuk bidang keberhasilan utama negara di ibu pejabat kementerian berkenaan hari ini. BERNAMA

Nota: Mana-mana graduan syariah yang memiliki kelayakan, kemahiran atau kepakaran sebagai tukang sebat digalakkan memohon kepada Jabatan Penjara supaya hukuman kepada Kartika dapat disegerakan..Keutamaan diberikan kepada yang berpengalaman..huhu...

Ahad, 23 Ogos 2009

Salam Ramadhan Kareem


Salam Ramadhan,

Pagi ini hujan turun lagi, membasahi bumi Paka. Setelah itu barulah mentari malu-malu memancarkan cahaya. Damai sekali pagi ini ditambah dengan puputan angin yang lembut dan awan berarak tenang. Seolah-olah alam turut sama mengucapkan 'ahlan ya Ramadhan'.

Marilah sama-sama kita merebut kesempatan madrasah tarbiah yang kaya dengan pelbagai ganjaran untuk meleburkan karat-karat dosa yang bersarang. Mengikis sifat-sifat mazmumah yang sering kali menghiasi diri. Meranapkan jiwa takabbur, riya', ujub hingga tiada tempat untuk merasa diri hamba. Merefresh kembali niat, merenew iman dan mudah-mudahan bisa melahirkan 'TAQWA'.

Akhir kalam, selamat menjalani ibadah puasa kepada semua pengunjung teratak kanvasalsabila. Moga ibadah puasa ini juga turut mengingatkan kita kepada penderitaan umat Islam di seluruh dunia.