Selasa, 29 Disember 2009

Ilmu Jalan Taqwa.

"Ya Allah, kurniakanku ilmu yang bermanfaat"

“(Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): ‘Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka’,"
(Ali Imran: 191)
Salam bahagia,

Tiadalah saat yang paling menggembirakan selain tenggelam dalam lautan ilmu yang maha luas. Sungguh ilmu itu makin dihirup, makin terasa dahaga. Ibarat dahaga sang musafir tatkala berada di tengah kegersangan sahara. Semakin digali semakin sukar menjumpai penghujungnya. Ibarat tiada nokhtah, sedang ilmu yang ada di bumi langsung tidak berupaya menyamai setitis ilmu Allah s.wt. (Justeru siapalah kita untuk berasa sombong, angkuh, ego, u'jub, riak, takabbur dan yang sewaktu dengannya kepada Tuhan pencipta qalam? Huh sedarlah diri yang hina)

Sedar tidak sedar sudah tiga bulan saya berkelana di bumi Mu'tah. Tanah tumpah darah syuhada'. Terima kasih Ya Allah atas kurniaan nikmatMu yang tidak putus-putus. Hanya Kau sebaik-baik tempat pergantungan.

Khusyu' menekuni mutiara-mutiara ilmu yang tidak terhingga banyaknya sehingga terkadang tamak menguasai diri untuk merebut sebanyak mungkin ilmu-ilmu yang ada. Apakan daya kudrat yang ada cukup terhad.
Namun peluang yang ada tidak mungkin dilepaskan begitu sahaja. Sangatlah rugi terutama bagi penuntut ilmu yang tidak merebut peluang menuntut ilmu yang terbentang luas di hadapan. Kelak pasti akan mengundang penyesalan yang tidak terhingga.

Ibarat mutiara kata yang terluncur dari bibir Saidina Umar:

[تَزَوَّدُوا قَبل أن تَسَوَّدُوا]

"Jadilah kamu sang pemburu sebelum kamu diburu" / " Bekalkanlah dirimu dengan ilmu sebelum kamu menjadi pemimpin" (terjemahan mengikut kefahaman penulis).

Justeru, suka saya mengingatkan diri yang hina ini dan sahabat-sahabat yang masih berada di alam pengajian supaya merebut kesempatan yang ada semaksimum yang mungkin sebelum disibukkan dengan taklifat-taklifat yang lebih berat di kemudian hari.

Perkongsian: Kelebihan Ilmu

Jika ingin membahaskan tentang kepentingan ilmu pasti tidak berpenghujung kerana begitu banyak kelebihan-kelebihan yang terdapat padanya. Satu hari Dr. Jamal Abu Rumman (salah seorang pensyarah di Universiti Mu'tah yang mengajar penulis subjek Ulum Quran) telah mengupas perkaitan (ilmu munasabat) antara ayat pertama yang diturunkan (iaitu lima ayat daripada surah al-Iqra') dan jua ayat terakhir yang diturunkan (ayat 281 surah al-Baqarah).

Jika dilihat ayat pertama yang diturunkan menyeru manusia kepada ilmu apabila Allah berfirman:

"Bacalah (wahai Muhammad)dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah- Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan- Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya".
(al-Alaq:1-5)

Manakala ayat yang terakhir adalah perihal taqwa sebagaimana firman Allah yang berbunyi:

"Dan peliharalah dirimu dari (azab yang terjadi pada) hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian masing-masing diri diberi balasan yang sempurna terhadap apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya (dirugikan)."
(al-Baqarah: 281)

Justeru dapat dilihat, ayat pertama yang diturunkan menyeru kepada membaca. Sedang membaca merupakan kunci kepada penerokaan ilmu yang lebih luas. Manakala ayat yang terakhir menyentuh tentang taqwa sebagaimana permulaan ayat digunakan lafaz "wattaqu" iaitu 'bertaqwalah' sebagai bekalan sebelum kembalinya manusia kepada Allah s.w.t.


Perkaitan ini menunjukkan bahawa untuk mencapai taqwa, tidak mungkin dapat dicapai tanpa melalui jalan ilmu. Sebagaimana kapal perlu melalui jalan laut, kapal terbang melalui jalan udara dan kenderaan di darat yang melalui jalan darat. Begitu juga taqwa perlu melalui jalan ilmu untuk menggapainya.

Jua perkaitan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa matlamat ilmu bukan untuk menjadi pandai semata-mata namun adalah membawa manusia kembali tunduk dan menyerah diri kepada Tuhan. Taqwa itu buah kepada ilmu.

Sebagaimana firman Allah s.w.t lagi"

"Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?"
(az-zumar: 9)

Hanya manusia yang berilmu berupaya mengetahui kewujudan dan kebesaran Allah s.w.t seterusnya beriman dan bertaqwa kepada Allah.

Namun ilmu yang bagaimana?

Falsafah ilmu menetapkan bahawa syarat ilmu mestilah memberi manfaat kepada pemiliknya dan mendatangkan kebaikan.

Hadis Rasulullah s.a.w :

"من يرد الله به خيراً فليفقهه في الدين"

Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah baginya kebaikan nescaya akan diberinya kefahaman dalam bidang agama"

Orang yang berilmu pasti mengikut resmi padi, semakin berisi semakin menunduk.
Bukan seperti lalang yang hakikatnya kosong walau tinggi meliar.

Ilmunya membawa hati lebih tunduk kepada Yang Memiliki Ilmu.

Ilmunya membawa hatinya lebih khusyu', jauh daripada sombong dan takabbur kepada Tuhan.

Ilmunya menuntun jiwanya ke arah kebaikan.

Yang lebih penting, ilmunya mencelikkan mata hati, menemukannya kepada pemilik hati.

Sedang Ilmu yang tidak bermanfaat membawa pemiliknya jauh daripada Tuhan. Semakin bijak, semakin takabbur, menyombong pada Tuhan. Pandai namun tidak memberi manfaat kepada Islam dan masyarakat.

Bersamalah berdoa supaya dilindungi Allah dari ilmu yang tidak bermanfaat sebagaimana yang diajari Junjungan besar kita:

[اللهم إنِّي أًعُوذُبِكَ مِن عِلمٍ لا يَنْفَعْ]

"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung padaMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat"

Nota: Tahniah kepada dindaku Yasirah atas kejayaannya dalam PMR09. Semoga dikurniakan ilmu yang bermanfaat dan beroleh 'keberkatan' dalam menuntut ilmu.

Rabu, 16 Disember 2009

Salam Maal Hijrah

Merenung jauh.. Memandang masa depan Islam..

Salam Ma'al Hijrah,
Salam Pengorbanan,
Salam Perubahan..

Nota: Tiba-tiba rasa ingin mencoret sesuatu. Mencuri masa sebentar untuk mem'posting' sesuatu sebagai peringatan kita bersama. Muhasabah di ambang Muharam (doakan saya najah dalam imtihan esok:))

Suka saya mengajak sahabat sekalian merenung i'brah yang terdapat dalam peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. Banyak sekali pengajaran penting yang dapat dipetik, daripada peristiwa sebelum hijrah sehinggalah kepada kesan daripada hijrah iaitu mendirikan pemerintahan Islam di kota Madinah.

Apa yang ingin menjadi kunci perkongsian pada hari ini adalah soal sikap positif Rasulullah s.a.w. serta para sahabat.

Jika kita mengintai tabir sebelum hijrah nescaya kita akan mendapati Islam telah mendapat tentangan yang sangat dahsyat dari segenap sudut. Samada dari kiri, kanan, bawah, atas, tepi dan lain-lain. Setiap sudut kaum muslimin diasak dengan sangat teruk. Darihal penyiksaaan hinggalah saat pemulauan, segalanya ditempuhi oleh mereka. Sebut sahaja apa jua bentuk penyiksaan semuanya ditelan bulat-bulat oleh mereka.

Namun sangat menghairankan, segala dugaan yang mereka hadapi sedikit pun tidak mencalarkan keimanan mereka bahkan makin bertambah keIMANan mereka kepada Allah.

Perkara ini sangat menghairankan kaum kafir Quraisy.

Sudah gila ke pengikut Muhammad?

Mengapa tersangat ta'asub kepada ajaran Islam?

Sehingga mereka pun tidak dapat berfikir bagaimana kaum muslimin boleh bertahan sebegitu rupa.

Kalian pula bagaimana? Apa kunci 'positif thinking' Rasululah dan para sahabat?

Mengapa mereka tidak menyerah walau diasak sedemikian rupa?

Jika kita di tempat mereka bagaimana ya?

Sedangkan,

Madu' mencemuh, melemparkan kata-kata keji dan nista, sudah berdesing telinga.
Madu' enggan mengikut kata setelah sekali berusaha sudah mematahkan semangat.
Mad'u bersikap endah tidak endah, sudah berapi hati.
Mad'u membangkang dakwah yang kita bawa, sudah rasa ingin futur dan lemah.
Mad'u semakin lama semakin ingin lari daripada kita, sudah membantutkan kemahuan kita untuk meneruskan usaha-usaha dakwah.

Walhal,

Pernahkah kita berada di tahap najis dilempar ke muka?
Pernahkah kita diletakkan batu di atas dada lantas dijemur di tengah panas?
Pernahkah kita dipulaukan berbulan-bulan lamanya hingga terputus bekalan makanan?
Pernahkah kita disiksa dengan teruk semata-mata kerana ditentang dakwah?
Pernahkah kita terancam nyawa, harta dan lain-lain kerana mempertahankan akidah?

Saya pun tidak tahu samada mampu bertahan jika berada di dalam situasi Rasulullah.dan para sahabat. (ingin bangun qiamullail di waktu dingin ini pun masih berperang dengan diri sendiri) Huh, masih jauh lagi rupanya kita jika hendak dibandingkan dengan para sahabat apatah lagi dengan junjungan besar Muhammad s.a.w.

Diceritakan saat baginda dalam perjalanan ke Madinah, telah dikejar oleh pahlawan Quraisy yang terkenal iaitu Suraqah bin Malik. Di saat yang genting itu, di saat yang masih tidak pasti samada baginda akan sampai ke Madinah atau tidak, baginda masih boleh menjanjikan gelang maharaja Farsi kepada Suraqah setelah percubaan Suraqah untuk membunuh baginda tidak menjadi. Walhal, pada masa itu bayangan Madinah pun kelihatan.

Begitulah gambaran cita-cita Rasulullah. Betapa 'positifnya' pemikiran Rasulullah, besarnya jiwa baginda, dan begitu tinggi motivasi yang ditunjukkan.

Sesekali tidak terguris dengan kesusahan yang melanda, bahkan dugaan yang datang makin menguatkan IMAN di dada.

Tekanan yang datang langsung tidak melemahkan. Bahkan baginda umpama spring yang makin tinggi lonjakan bilamana tekanan disuakan.

Ujian yang hadir malah berupaya menjadi aspirasi supaya lebih thabat di jalan ini.

Dugaan yang datang mengasak bertalu-talu bahkan disambut dengan syukur, bukankah semakin kuat dugaan bermakna semakin menghampirkan kita kepada Tuhan? Jua tanda diri masih disayangi Tuhan?

Kekadang bila diserang cabaran, usah sesekali mudah menyerah kalah. Usahakan diri untuk bangkit walau jatuh berkali-kali. Biar jatuh kaki bertongkat lutut, biar jatuh lutut bertongkat peha. Namun menyerah tidak sekali.

Demi Islam tercinta..

Rabu, 2 Disember 2009

Mekar si bunga..


Sampai saat,
Kelopakmu kembang mekar,
Lekas sebarkan harumanmu,
Wangikan taman-taman dunia.
Sungguh mekarmu hanya sebentar!

Pasti kala itu,
Mengundang mata,
Terpaku menyaksi keindahanmu,
Usah kau asyik,
Mekarmu hanya sementara!

Kerna kau bunga agama,
Kerna kau bunga bangsa,
Lantas tidak punya masa,
Untuk bersenda.

Tiba masa,
Jadikan madumu bekal si pejuang,
Bukan racun pembunuh senyap mujtama'!

Bayt Hamlatul Quran,
Mu'tah, Jordan.
2.45 a.m.

Nota: Entah mengapa malam ini susah benar mata dilelapkan. Mungkin untuk memaksa diriku yang berlumpur dosa supaya bermuhasabah sebelum melangkah ke hari 'esok'. Terima kasih Ya Tuhan masih memanjangkan usiaku, mudah-mudahan amalanku selama 23 tahun ini diterima olehMu. Terima kasih jua pada ayahbonda atas pengorbanan yang dicurah selama ini. Bersabarlah untuk 'memetik hasil' dari anakandamu ini.