Sabtu, 12 September 2009

KUTUNGGU KEDATANGANMU & NANTIKAN KEDATANGANKU

Salam Ramadhan,

Beruntunglah barangsiapa yang beroleh petunjuk.

Beruntung juga barangsiapa yang menyucikan jiwanya..

Ramadhan telah 22 hari berlari pantas meninggalkan kita. Terasa bagai semalam sahaja melangkah ke gerbangnya. Mungkin kerana berada di akhir zaman yang dirasakan detik masanya semakin hari semakin cepat berlalu.

Pengunjung yang mudah-mudahan dirahmati Allah sekalian.

Bagaimana khabar kalian semua? Sihatkah rohani? Sihatkah jasmani?

Jika semuanya berada dalam keadaan a'fiah, alhamdulillah serta kesyukuran diucapkan kepada pemilik nyawa kita.

Sengaja ditanya khabar kalian kerana kita sudah berada di pusingan akhir ramadhan. Semestinya memerlukan stamina rohani dan jasmani yang lebih kuat untuk kita melipat gandakan lagi usaha supaya bisa meraih piala taqwa di akhirnya. Ya, piala yang penting untuk kita raih agar dapat menjadi perisai dalam jangka masa 11 bulan akan datang. Taqwa, itulah tempat jatuhnya pandangan Allah yang tidak memandang kaum, warna kulit, keturunan mahupun kekayaan. Bagaimana agaknya kita di sisi pandanganNya?

Kutunggu Kedatanganmu

Lailatul Qadar adalah waktu diturunkan al-Quran daripada Luh Mahfuz kepada baitul izzah secara sekaligus. Kemudian barulah diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. melalui perantara Jibril a.s. Malam itulah detik kebenaran dan cahaya bagi umat manusia.

Sesungguhnya kami telah turunkannya ( al-quran ) pada malam lailatul qadr.

Dan tahukah kamu apakah malam lailatul qadr itu?.

Iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Pada malam itu turun para malaikat dan ruh ( jibril ) dengan izin tuhan mereka untuk mengatur segala urusan.sejahteralah malam itu sehingga terbit fajar.

-surah al-Qadr-

Al-quran yang merupakan mukjizat nabi akhir zaman dituntut untuk diamalkan secara menyeluruh. Bukan sekadar menjadi dendangan halwa telinga.

Seperti saya dan kalian ketahui, dalam keadaan kritikal ini, Allah s.w.t telah menjanjikan kedatangan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan bersamaan 83 tahun lebih!! Wah, dalam banyak-banyak tawaran dalam bulan ramadhan ini, inilah tawaran terhebat sekali ditawarkan buat umat Nabi Muhammad. Mungkinkah umur kita mampu mencapai ke angka tersebut? Justeru selaku umat akhir zaman yang punya usia yang singkat berbanding umat-umat terdahulu wajar menghargai kurniaan dan hadiah daripada Allahs.w.t.

Marilah bersama kita menghidupkan malam-malam akhir ini dengan kekhusyukan beribadah kepada Allah s.w.t.

Hadirlah Lailatul Qadar, kutunggu kedatanganmu..

Nantikan Kedatanganku

Alhamdulillah, walaupun di luar perancangan awal, akhirnya saya diberi kesempatan untuk menjejakkan kaki di bumi syam pada akhir Ramadhan nanti. Maha besar kuasa Allah yang sebaik-baik rencana.

Jika diimbas kembali perjalanan mencari ilmu Allah s.w.t tidak selancar sahabat-sahabat yang lain. Impian di hati ingin menggali sebanyak mungkin mutiara ilmu yang bertaburan di perlembahan nil, namun saya dan sahabat-sahabat yang senasib menjadi mangsa sang penguasa yang rakus. Bagaimana mereka tergamak memusnahkan harapan anak bangsa mereka sendiri dengan membatalkan perjanjian MOU 3+1 kolej-kolej swasta dengan universiti yang tertua di dunia! Bangga sekali saya menjadi anak Malaysia!!

Namun mereka sama sekali lupa.

Kisah firaun telah mengajar kita bagaimana mimpi ngerinya yang ditafsirkan akan ada bayi lelaki yang dilahirkan bisa menggugat tahtanya. Ketakutan dan kegerunan firaun terhadap khabar tersebut hingga sanggup memerintahkan seluruh bayi lelaki yang dilahirkan pada waktu itu di bunuh hidup-hidup. Sangat kejam lagi tidak berperikemanusiaan.

Namun dalam kekalutan arahan itu dilaksana, Allah telah memakbulkan doa ibu nabi Musa. Siapa sangka, bayi yang paling dikehendaki disaksikan sendiri tumbesarannya oleh fir'aun di dalam istananya sendiri. Bahkan makan dan minum dijaga rapi. Siapa pun sama sekali tidak menyangka, nabi Allah Musa disusukan sendiri oleh ibunya dalam keadaan aman, damai dan tiada gangguan. Maha suci Allah yang Maha hebat perancangannya.

Segala-galanya telah diatur rapi oleh Allah. Yakinlah padaNya. Yang penting doa dan tawakkal kepada Allah. Jangan sesekali berhenti berharap. Usah sesekali serik berimpi. Usah jua jemu berusaha. Golongan yang benar pasti dikurniai kejayaan. Tinggal sama ada cepat atau lambat.

Beratnya menyandang amanah ummah. Doakan moga Allah mempermudahkan urusan musafir demi menimba sebanyak mungkin lautan ilmu di sana.

Bumi syam bagai melambai-lambai ke arahku. Bersabarlah, nantikan kedatanganku...

P/s: Mungkin ini entry yang terakhir sebelum berangkat. Terima kasih kepada semua pihak yang sudi menyumbang buat bekalan tika musafir. Moga Allah membalas jasa kalian dengan sebaik-baik pembalasan. Mohon maaf zahir dan batin. Dipanjangkan umur ketemu lagi.. Selamat memburu Lailatul Qadr.

Selasa, 8 September 2009

AL-FATIHAH BUAT ANAK TIMB. III PESURUHJAYA PAS TERENGGANU

Dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali..

Putera kepada Us. Saiful Bahari Mamat yang merupakan timbalan 3 pesuruhjaya PAS Terengganu bersama dua orang rakannya telah kembali ke rahmatullah.

Anaknya yang berumur sepuluh tahun bersama dua orang rakannya dikatakan lemas pada petang semalam ketika bermain di sungai yang terletak di belakang rumahnya.

Namun jasad anak Us Saiful dan seorang lagi rakannya hanya berjaya ditemui pada malam tadi setelah usaha pencarian dilakukan. Sementara jasad seorang lagi kanak-kanak masih tidak berjaya ditemui.

Jenazah kedua-dua kanak-kanak tersebut telah selamat dikebumikan pada malam tadi.

Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepada keluarga Ustaz Saiful, dan dua lagi keluarga yang telah kehilangan permata mereka.

Isnin, 7 September 2009

(Muhasabah Nuzul al-Quran) Golongan yang meninggalkan al-Quran

Al-Imam Ibnul Qayyim Rahimahullah menyatakan bahawa ada berbagai-bagai golongan yang dikira sebagai golongan yang meninggalkan Al-Quran:


  1. Golongan yang tidak beriman dengan Al-Quran.
  2. Golongan yang tidak bertadabbur dan memahami maksud Al-Quran.
  3. Golongan yang tidak beramal dengan isi kandungan Al-Quran.
  4. Golongan yang tidak berhukum dengan Al-Quran. (tidak menjadikan Al-Quran sebagai dasar dlm perundangan)
  5. Golongan yang tidak menjadikan Al-Quran sebagai penawar bagi hati.


Ulama-ulama yang lain seperti Ibnu Kathir dan lain-lainnya menambah beberapa golongan-golongan lain yang juga dikira meninggalkan Al-Quran iaitu:


  1. Golongan yang apabila dibacakan Al-Quran mereka berpaling kepada perkataan yang sia-sia seperti nyanyian dan lain-lain.
  2. Golongan yang tidak menghafal dan mempelajarinya.
  3. Golongan yang tidak membacanya.
  4. Golongan yang tidak mengulangkaji hafalannya.


Sekiranya kita masih tergolong di dalam salah satu golongan tersebut, bererti kita masih tidak menyempurnakan lagi tuntutan Al-Quran tersebut.


Muhasabah:


1. Adakah kita hanya menitik beratkan tentang bacaan seperti tajwid, tarannum, qiraat semata-mata, tetapi tidak berusaha untuk memahaminya, atau memperjuangkannya?


2. Adakah kita hanya bersunggguh-sungguh berjuang menegakkan hokum Al- Quran tetapi kita masih tidak betul bacaan fatihahnya dan tidak berusaha mempelajarinya (jauh sekali untuk membacanya dgn sebutan yang fasih)?


3. Adakah kita seorang hafiz Al-Quran yang sentiasa menjaga hafalannya, tetapi masih takutkan manusia untuk memberi sumbangan atau membantu perjuangan menegakkan Al-Quran?


4. Adakah kita hanya menjadikan Al-Quran sumber pendapatan kita semata-mata?


5. Sejauh manakah hubungan kita dengan Al-Quran?


6. Bandingkan antara surat khabar dengan Al-Quran, manakah yg sering kita dampingi?


7. Antara majlis ilmu kea rah memahami Al-Quran dengan majlis yang tidak berfaedah di sudut agama, yang manakah yang banyak kita sertai?


8. Antara lagu-lagu dan surah Al-Quran yang manakah kita lebih banyak menghafalnya?


9. Adakah kita telah bersama-sama dengan perjuangan menegakkan Al-Quran khususnya di bumi Malaysia ini?


Berusahalah menjadikan diri kita benar-benar pendokong dan pencinta Al-Quran. Ingatlah bahawa PEJUANG SEBENAR IALAH PEJUANG YG MENDAMPINGI AL-QURAN, DAN AHLI QURAN YANG SEBENAR IALAH MEREKA YANG BERJUANG, rosaklah perjuangan tanpa Al-Quran dan hinalah ahli Quran tanpa perjuangan.


Rujukan:

1. Al-Quran

2. Tafsir Ibnu Kathir Jld 3

3. Tafsir Munir, jzk 19, ms 61

4. Fi zhilalil Quran.

5. Tafsir Qurthub


Sumber: Abu Basyir al-Buqri

Nak Tahu Minit Mesyuarat Setan??

Syaitan telah mengadakan perjumpaan iblis-iblis sedunia. Di awal ucapannya, syaitan berkata:

"Kita tidak dapat menghalang umat Islam dari mendatangi masjid, kita tidak dapat menghalang mereka dari membaca al-Quran dan tahu akan perkara-perkara yang benar.

Malah kita tidak dapat menghalang mereka dari membentuk sebuah perhubungan intim dengan Allah.

Sebaik sahaja mereka dapat menjalin perhubungan tersebut maka pengaruh kita ke atas mereka akan terputus.

"Oleh itu biarkanlah mereka ke masjid-masjid mereka; biarkanlah mereka menikmati hidangan makan malam mereka yang tertudung,tetapi curilah waktu mereka, supaya mereka tidak mempunyai masa untuk membina perhubungan dengan Pencipta."

"Apa yang aku ingin kamu lakukan ialah" kata Syaitan:"

Lalaikan mereka dari berhubung dengan tuhan mereka dan mengekalkan perhubungan yang penting itu sepanjang hari."

"Bagaimana caranya?" jerit para iblis.

"Sibukkan mereka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah dalam kehidupan dan rekalah berbagai-bagai cara untuk memenuhi minda mereka, "

Jawabnya "Pengaruhi mereka untuk belanja, belanja, belanja dan hutang, hutang, hutang.

Pujuk isteri-isteri mereka untuk keluar bekerja buat jangka waktu yang panjang dan suami-suami mereka untuk bekerja 6 - 7 hari seminggu, 10 - 12 jam sehari, guna untuk membiayai gaya hidup mereka yang kosong itu."

"Halang mereka dari menghabiskan waktu dengan anak-anak mereka. Apabila keluarga mereka mula retak, tidak lama nanti, rumah mereka tidak lagi menawarkan ketenangan dari tekanan kerja."

"Rangsa minda mereka sehingga mereka tidak dapat lagi mendengar suara hati mereka. Umpan mereka untuk mendengar radio atau keset sewaktu memandu, biarkan TV, VCR, CD dan PC mereka sentiasa terpasang di rumah-rumah mereka dan pastikan setiap kedai dan restoran
di dunia ini sentiasa memainkan muzik yang tidak Islamik.

Ini akan membenakkan minda mereka dan memutuskan perhubungan dengan Allah."

"Penuhkan meja-meja mereka dengan majalah dan akhbar. Sumbatkan minda mereka dengan siaran berita 24 jam. Cerobohi saat memandu mereka dengan papan-papan iklan.

Penuhkan peti-peti surat mereka dengan mel remeh, katalog, sweepstakes dan segala jenis surat
berita dan promosi-promosi yang menyediakan barangan dan perkhidmatan percuma dan impian palsu."

"Masukkan gambar model-model yang cantik dan ramping di dalam majalah dan TV agar para suami berpendapat bahawa kecantikan luaranlah yang utama, dan mereka akan tidak berpuas hati dengan isteri- isteri mereka."

"Buatlah agar para isteri terlalu letih untuk bersama dengan suami mereka di malam hari. Tambahkan sekali dengan pening kepala!

Jika mereka tidak bersama seperti yang dikehendaki oleh suami mereka,suami akan meninjau-ninjau di tempat lain.

Ini akan memporak- perandakan keluarga mereka dengan pantas."

"Gembar gemburkan perayaan-perayaan penganut agama lain untuk melalaikan mereka dari mengajar anak-anak mereka makna Islam yang sebenar dan hari-hari perayaannya."

"Biarkan mereka berlebih-lebihan meskipun sewaktu berekreasi.

Buatlah sehingga mereka terlalu letih untuk berekreasi. Sibukkan mereka sehingga tidak sempat
untuk memerhatikan alam semulajadi dan memikirkan tentang ciptaan Allah.

Sebaliknya hantarlah mereka ke taman-taman hiburan, acara-acara sukan, pementasan, konsert dan panggung wayang."

"Jadikan mereka sibuk, sibuk, sibuk!"

"Dan apabila mereka bertemu untuk berbincang hal-hal kerohanian, libatkan mereka dengan
umpatan dan cakap-cakap kosong supaya hati mereka tidak tenang ketika bersurai."

"Lambakkan hidup mereka dengan kerja-kerja amal sehingga mereka tidak mempunyai kesempatan meminta pertolongan dari Allah.

Tidak lama selepas itu mereka akan melakukannya dengan kudrat mereka sendiri, mengorbankan kesihatan dan keluarga mereka untuk kerja-kerja amal tadi."

"Pasti berhasil! Pasti berhasil!" Bukan calang-calang perancangan ini!

Para iblis dengan tidak sabar-sabar memulakan tugasan mereka untuk menjadikan umat Islam di mana jua menjadi semakin sibuk dan semakin terkejar-kejar ke sana ke sini.

Hanya mempunyai sedikit masa sahaja untuk Tuhan mereka atau keluarga mereka.

Sumber daripada email yang diforwadkan.

Nota: Tambahan, minit mesyuarat yang latest (di ambang Ramadhan)..

"Alamak bos, habislah kita kali ini, Ramadhan dah hampir tiba, tak lama lagi semua operasi kita akan tergendala.."

"Jangan bimbang, aku dah buat MOU dengan sekutu rapat kita, hawa nafsu.. Mereka yang akan ambil alih tugas kita sepanjang. Sudah aku bilang pada mereka:

"Jadikan puasa anak adam hanya semata-mata menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi tidak mampu meningkatkan ketakwaan kepada Allah melainkan lapar dan dahaga sahaja"

"Jadikan anak adam tidak ghairah dan tidak sabar-sabar meninggalkan Ramadhan dan bergembira dengan kedatangan Syawal. Godalah hati mereka supaya merasa bosan untuk menunaikan ibadat terutama solat terawih yang panjang"

"Lekakanlah mereka dengan kemeriahan membuat persiapan menyambut Syawal (seperti membeli belah, dendangan lagu-lagu raya dan lain-lain) terutama di sepuluh malam terakhir supaya mereka terlepas mendapat kelebihan malam yang lebih baik daripada seribu malam iaitu Lailatul Qadar"

"Tapi bos, hawa nafsu tidak miliki power seperti kita. Bagaimana jika anak adam segelintir anak adam sentiasa membersihkan hatinya serta kuat pula imannya nescaya mudah sahaja hawa nafsu dikalahkan.

"Tidak mengapa, jika manusia itu kuat beribadah, nafsu bisa menghembuskan riya', ujub dan takabbur ke dalam hati mereka supaya mereka merasa cukup dengan amalan yang telah mereka lakukan. Aku yakin dengan kemampuan hawa nafsu, sudah berapa ramai para a'bid yang telah berjaya diperdayakan dengan modus operandi ini..."

"Licik betul bos, kami yakin kali ini pasti ramai teman kita di neraka. Kali ini tak perlulah kita khuatir, sekutu rapat kita pasti akan menjalankan tugasan mereka dengan baik"

Perjumpaan mereka berakhir dengan tawa yang panjang..

Rabu, 2 September 2009

TAQWA
JATI DIRI SEORANG PEJUANG


Wahai orang – orang yang beriman , diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas orang – orang sebelum kamu , semoga kamu bertaqwa ( kepada Allah swt. )

( Surah Al Baqarah : Ayat 183 )

Saudara Muslimin dan Muslimat yang dihormati sekelian.

Ayat ini menjadi tema yang perlu difahami dan dihayati tatkala memasuki gerbang University of Ramadhan. Ianya merupakan satu penegasan Ilahi , bukan sahaja terhadap hukum berpuasa di bulan Ramadhan tetapi juga merupakan satu penegasan terhadap ‘kesan langsung’ dari ibadah puasa yang dilaksanakan.

Ayat ini tidak sahaja menjadi dalil wajibnya ibadah puasa dengan perkataan كُتِبَ yang bermaksud فُرِضَ , tetapi turut melampirkan objektif utama yang semestinya dicapai setelah melalui proses ibadah puasa . Objektif tersebut ialah at - Taqwa dengan kalimahلعلكم تتقون .

Professor Doktor Wahbah Az Zuhaili ketika menafsirkan ayat di atas menyebut bahawa Ibadah puasa melahirkan ketaqwaan kepada Allah swt. melalui beberapa faktor :
[1]

Puasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah swt. dalam keadaan sembunyi atau terbuka . Lantaran tiada siapa yang memantau atau memerhati orang yang berpuasa melainkan Allah swt. ( Seseorang boleh makan lalu berpura – pura lapar dihadapan manusia tetapi tidak dihadapan Allah swt. Justeru Allah swt adalah Tuhan yang Maha Mengetahui .)

Mengekang keterlanjuran syahwah dan meringankan pengaruh serta penguasaannya. ( lantaran puasa melemahkan gelora nafsu .)

Mencetus naluri yang peka ( sensitive ) dan bersifat belas simpati terhadap insan yang lain . ( Lapar sewaktu berpuasa adalah mengingatkan kita kepada mereka yang miskin dan tidak bernasib baik )

Ibadah puasa memahamkan kita pengertian persamaan kedudukan taraf orang – orang kaya dan miskin .( di sisi Allah swt.)

Meletakkan kehidupan Insan dan pengurusannya di atas system ( yang benar dan menepati fitrah ) dan mendisiplinkannya.

Memulihkan struktur dalaman tubuh , menguatkan kesihatan dan membebaskan jasad dari sebarang unsur yang memudharatkan jasad .

Definisi Taqwa.

Kalimah ‘Taqwa’ asal maknanya adalah mengambil tindakan penjagaan dan memelihara dari sesuatu yang mengganggu dan memudaratkan.

Menurut Syara’, ‘Taqwa’ bererti : “Menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat”.
[2]

Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dengan sabda baginda :

أَنْ يُطَاَع فَلا يُعْصَى وَ أَنْ يُذْكَرَ فَلا يُنْسَى وَ أَنْ يُشْكَرَ فَلا يُكْفَرَ

“Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya”.

( Riwayat Imam Bukhari dari Abdullah bin Abbas rha. )
[3]

Saidina Umar r.a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. makna taqwa. Lalu Ubai bertanya kepada Umar : “Adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri ? Jawab Umar: “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan untuk melalui jalan tersebut?”.

Jawab Umar : “Aku melangkah dengan waspada dan berhati-hati”. Balas Ubai : “Itulah yang dikatakan taqwa”.
[4]

Menurut Ibnu Abbas r.a. : “Al-Muttaqin (yakni orang-orang bertaqwa) ialah orang-orang beriman yang memelihara diri mereka dari mensyirikkan Allah dan beramal menta’atiNya”.[5]

Menurut Hasan al-Basri : “Orang-orang bertaqwa ialah orang-orang yang memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang difardhukan Allah ke atas mereka”.[6]

Berkata Abu Yazid al-Bustami : “Orang bertaqwa ialah seorang yang apabila bercakap, ia bercakap kerana Allah dan apabila ia beramal, ia beramal kerana Allah”.[7]

Martabat Taqwa .

Menurut Al-‘Allamah Mustafa al-Khairi al-Manshuri, taqwa ini mempunyai tiga martabat;[8]

Martabat pertama : Membebaskan diri dari kekufuran .

Inilah yang diisyaratkan oleh Allah dengan “Kalimat at-Taqwa” dalam firmanNya :

“…lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mu'min dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa …”.

( Surah Al-Fath . Ayat : 26 )

Maksud kalimah at-Taqwa dalam ayat di atas ialah kalimah : “لا إله إلا الله محمد رسول الله” atau dua kalimah syahadah. Kalimah ini merupakan kalimah iman yang menjadi asas atau punca kepada taqwa.
[9]

Martabat kedua : menjauhkan diri dari segala perkara yang membawa kepada dosa.

Martabat ketiga : Membersihkan batin (hati) dari segala yang menyibukkan atau melalaikan diri dari Allah swt.

Martabat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah;

“ Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah swt ).”

( Surah Ali Imran. Ayat : 102 )

Muslim yang Berjuang dan Bertaqwa .

Merentasi era peradaban modern yang menyaksikan keruntuhan akhlak , moral dan aqidah ummah kini di paras bahaya , memerlukan kuasa taqwa yang tinggi untuk kembali membina struktur asas ummat Islam yang kian runtuh .

Taqwa adalah formula tepat untuk memproses penawar bagi memulihkan kecederaan iman yang sangat parah dewasa kini, khasnya dikalangan mereka yang mengaku muslim .

Kecederaan teruk di bahagian iman inilah yang meletakkan ummat Islam turut terjebak dalam kancah perlecehan akhlak , moral dan aqidah.

Saksikanlah , bagaimana dunia kini amnya dan Negara kita khasnya dilanda kehancuran peradaban Insaniyyah , sehingga hilang peri kemanusiaan sebaliknya peri kebinatangan menguasai minda sebahagian besar ummat manusia .

Menyedari reality dunia dan ummah hari ini , marilah kita mengambil kesempatan daripada ibadah puasa yang dijalani sebulan di bulan Ramadhan untuk membina syakhsiyyah muslim yang berjuang dan bertaqwa dengan mendidik jiwa , minda dan seluruh pancaindera agar tunduk dan patuh kepada Allah swt. serta siap untuk menjunjung tinggi segala tanggungjawab mempertahan dan memperjuangkan Islam di persada alam ini .

Kitalah selayaknya memikul tanggungjawab sebagai pejuang untuk menyelamatkan diri , dunia dan ummah dari bahana syahwah yang menyimpang jauh dari Manhaj Ilahi .

Pejuang yang dilengkapi sifat taqwa yang mantap sebagai alat keselamatan dan asas kekuatan diri demi memenangi pertembungan antara iman dan kufur , hak dan bhatil serta islam dan jahiliyyah .

Kurniaan Allah kepada Pejuang yang Bertaqwa

1. Pejuang yang bertaqwa akan mendapat kejayaan dunia dan akhirat

Pejuang bertaqwa akan dikurniakan kejayaan, kebahagiaan dan kemenangan oleh Allah di dunia ini dan juga di akhirat nanti.

“….maka bertaqwalah kepada Allah hai orang-orang berakal, agar kamu beroleh kejayaan”.

( Surah Al – Maidah. Ayat : 100 )

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa mendapat kemenangan”.

( Surah An-Naba’: Ayat 31 )

Kejayaan yang dimaksudkan itu ialah kehidupan mereka akan dilimpahi berkat oleh Allah dan terbukalah pintu rezki seluas-luasnya kepada mereka serta terhasillah kepada mereka segala sebab yang membawa kebahagiaan dan ketenteraman hidup biarpun kehidupannya sebagai seorang pejuang sering dihalang dan diganggu gugat oleh musuh – musuh Allah swt.

Renungkanlah firman Allah ini :

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya”.

( Surah Al-A’raf : Ayat 96 )

Menurut para mufassirin , yang dimaksudkan dengan keberkatan dari langit ialah turunnya hujan dan keberkatan dari bumi pula ialah tumbuhnya tanam-tanaman dan buah-buahan.

Termasuklah keberkatan tersebut segala macam nikmat dan rezki, begitu pula segala perkara yang menyebabkan wujudnya kesejahteraan dan keamanan di atas bumi . Adalah menjadi dasar yang diakui oleh al-Quran bahawa adanya keimanan yang sejati dan agama yang benar akan menyebabkan pula wujudnya kebahagiaan di dunia. Kebahagiaan di dunia itulah yang dinikmati oleh orang-orang yang mahu beriman dan bertaqwa kepada Allah.
[10]

Kemuncak kejayaan dan kebahagiaan bagi orang-orang bertaqwa ialah di akhirat iaitu mereka akan dikurniakan kenikmatan syurga oleh Allah. Bahkan syurga itu sendiri sememangnya disediakan Allah untuk mereka yang bertaqwa sebagaimana firmanNya:

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa”.

( Surah Aali Imran : Ayat 133 )

“Dan sekiranya Ahli Kitab beriman dan bertaqwa, tentulah Kami tutup (hapus) kesalahan-kesalahan mereka dan tentulah Kami masukkan mereka ke dalam surga yang penuh keni`matan”.

( Surah al-Maidah: Ayat 65 )

2. Pejuang yang bertaqwa dihapuskan kesalahan dan diampunkan dosa oleh Allah

Antara kurniaan Allah kepada orang-orang bertaqwa ialah pengampunan dosa. Kesalahan-kesalahan mereka akan dihapuskan oleh Allah dan dosa-dosa mereka akan diampunkanNya.

Ini adalah janji Allah yang termaktub di dalam al-Quran sebagaimana firmanNya:

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan kepadamu furqaan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa) mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar”.

(Surah al-Anfal: Ayat 29 )

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa menta`ati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar”.

( Surah Al-Ahzab: Ayat 71 )

Menurut Imam An-Nasafi : Kesalahan-kesalahan (السيئات) yang dihapuskan Allah dari orang-orang bertaqwa itu ialah dosa-dosa kecil mereka (الصغائر), dan adapun pengampunan yang Ia kurniakan kepada mereka ialah ke atas dosa-dosa besar (الكبائر).
[11]

Berkata Imam asy-Syaukani : “‘Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu’ maksudnya ialah Ia menutup kesalahan-kesalahan kamu sehingga tidak kelihatan (kepada orang lain) dan Ia mengampunkan dosa-dosa yang kamu lakukan.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan ‘kesalahan-kesalahan’ (السيئات) ialah dosa-dosa kecil dan yang dimaksudkan dengan ‘dosa-dosa’ (الذنوب) ialah dosa-dosa besar.

Menurut Imam Ibnu Kathir; “Allah berjanji kepada mereka (yakni orang-orang bertaqwa) bahawa ia akan mengislahkan amalan-amalan mereka (yakni memberi taufik kepada mereka untuk melakukan amal-amal soleh) dan Ia akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang lalu dan adapun dosa yang dilakukan oleh mereka pada masa hadapan, Ia akan mengilhamkan kepada mereka taubat”.
[12]

Muslimin dan Muslimat yang dihormati sekelian.

3. Pejuang yang bertaqwa sentiasa akan mendapat hidayah dan petunjuk dari Allah

Orang-orang bertaqwa akan senantiasa dikurniakan hidayah dan petunjuk oleh Allah. Mereka senantiasa berada di atas jalan yang benar dan terhindar dari kesesatan atau membuat pilihan yang salah dalam urusan hidup mereka. Firman Allah;

“Wahai orang-orang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (pertunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah…”.

( Surah Al-Anfal: Ayat 29 )

“Hai orang-orang yang beriman (kepada para rasul), bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, niscaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bagian, dan menjadikan untukmu cahaya (yakni hidayah dan pertunjuk) yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

( Surah Al-Hadid: Ayat 28 )

Kata Imam Ibnu Kathir; “Orang yang bertaqwa kepada Allah dengan melaksanakan arahan-arahanNya dan meninggalkan tegahan-tegahanNya, ia akan diberi taufik (pertunjuk) oleh Allah untuk mengenal yang hak dari yang batil.

Inilah yang menjadi punca ia beroleh kemenangan, keselamatan dan jalan keluar (yakni jalan penyelesaian) dalam urusan-urusan duniawinya serta menjadi punca kebahagiaannya di akhirat, jua punca pelupusan segala dosa-dosanya dan punca ia beroleh pahala yang besar dari Allah”.
[13]

Kitab al-Quran yang diturunkan Allah hanya orang-orang bertaqwa sahaja yang dapat mengambil petunjuk darinya. Ini kerana hanya mereka sahaja yang menyedari betapa tingginya nilai al-Quran dan bagaimana untuk mengambil manfaat dari ajaran dan hukum-hakamnya.[14]

“Kitab (Al Qur'an) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa”.

( Surah al-Baqarah: Ayat 2 )

“(Al Qur'an) ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertaqwa”.

( Surah Aali Imran: Ayat 138 )

Muslimin dan Muslimat yang dihormati sekelian.

4. Pejuang yang bertaqwa akan sentiasa dibantu dan diberi pertolongan oleh Allah

Orang-orang bertaqwa adalah kekasih Allah. Allah Ta’ala sentiasa bersama dengan mereka; membimbing, menjaga, memelihara dan membantu mereka.

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa”.

( Surah At-Taubah : Ayat 4)

“…dan ketahuilah bahwasanya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa”.

( Surah At-Taubah : Ayat 36 )

Orang yang menjadi kekasih Allah, ia tidak akan diabaikan Allah. Apabila ia berada dalam kesusahan atau kesempitan, Allah akan mengurniakan pertolongan kepadanya dan membuka jalan penyelesaian yang terbaik bagi masalah yang dihadapinya.

Bahkan orang-orang bertaqwa dikurniakan rezki oleh Allah dari jalan-jalan yang tidak disangkanya.

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya) niscaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”.

( Surah Ath-Thalaq: Ayat 2-3 )

“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Yaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa”.

( Surah Yunus : Ayat 62-63 )

Kata Ibnu Abbas; “Orang yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan menyelamatkannya dari segala bala dan kesusahan dunia dan akhirat”.

Menurut Abu ‘Aliyah; “Orang yang bertaqwa , Allah akan bukakan untuknya jalan keluar (yakni jalan penyelesaian) bagi segala macam kepayahan/kesusahan yang dihadapinya”.
[15]

Apabila berhadapan dengan musuh, orang-orang bertaqwa akan sentiasa dinaungi dan dijaga oleh Allah sehingga perancangan jahat dan tipu-daya musuh-musuh mereka tidak akan mampu memudaratkan mereka sedikitpun.

“Jika kamu bersabar dan bertakwa, niscaya tipu daya mereka sedikitpun tidak mendatangkan kemudharatan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan”.

( Surah Aali Imran: Ayat 120 )

[1] تفسير المنير : الأستاذ الدكتور وهبة الزحيلي . رئيس قسم الفقه الإسلامي و مذاهبة في جامعة دمشق . الجزء الثاني \ ص 130 \ طبعة دار الفكر دمشق .
[2] Mempertajam Mata Hati, Ibnu Athoillah As-Sakandari (Penggubah; Abu Jihaduddin Rifqi Al-Hanif), hlm. 76.
[3] Lihat hadis ini dalam Tafsir al-Qurthubi : ayat 102, surah Ali Imran dan kitab Raudhatul Muttaqin , Syarah kitab Riyadhus Salihin , jilid. 1, bab at-Takwa.
[4] Tafsir al-Qurthubi : ayat 2 , surah al-Baqarah .
[5] Tafsir Ibnu Kathir (ayat 2, surah al-Baqarah).
[6] Tafsir Ibnu Kathir (ayat 2, surah al-Baqarah).
[7] Tafsir al-Qurthubi (ayat 2, surah al-Baqarah).
[8] Al-Muqthathaf min ‘Uyun at-Tafasir, karangan al-Allamah Mustafa al-Khairi, hal. 27.
[9] Lihat tafsir al-Jalalain.
[10] Tafsir ‘Abrul Athir, Ahmad Sonhadji Mohamad, juz 9, hlm. 29-30.
[11] Tafsir an-Nasafi, Imam Abi al-Barakat Abdullah bin Ahmad an-Nasafi (surah al-Anfal, ayat 29).
[12] Tafsir Ibnu Kathir (Surah al-Ahzab, ayat 70)
[13] Tafsir Ibnu Kathir (surah al-Anfal, ayat 29)
[14] Al-Muqtathaf min ‘Uyun at-Tafasir (surah al-Baqarah, ayat 2)
[15] Radhatul Muttaqiin (Syarah Riyadhus Salihin), jil 1, bab at-Takwa, hal. 113.