Rabu, 30 Jun 2010

Aku Malu..

Panorama di Pantai Lazakia, Syiria

Aku malu,

Pada tenangnya si pantai dihempas si ombak,

Sedang diriku sentiasa keluh kesah,

Pada dugaan yang silih berganti,

Terima kasih si pantai ingatkan aku,

Pada ketenangan yang hanya dikirim,

Buat jiwa-jiwa yang berpegang teguh pada taliNya..



Nota: Lazakia seghibu satu ghasio (Kredit buat Cik Farah kerana pinjamkan gambar ini kerananya diilhamkan sajak ini:)

Isnin, 28 Jun 2010

Selamat Memilih, Pilihan di Tangan Anda!

"Mahasiswa hari ini, pemimpin masa hadapan"

Assalamu'alaikum w.b.t.

Bismillahirrahmanirrahim..

Saat ini bahang muktamar tahunan Persatuan Mahasiswa Malaysia Mu'tah Jordan atau singkatannya PERMATA kian terasa. Sehari sebelum muktamar, masyarakat mahasiswa Mu'tah akan berhadapan dengan satu pemilihan untuk menggantikan tampuk kepimpinan yang bakal berakhir 9 Julai ini. PERMATA telah menyambut ulang tahunnya yang kesepuluh pada tahun ini. Menelusuri 10 tahun PERMATA, PERMATA telah menggariskan wawasan yang ingin dicapai dalam masa sepuluh tahun lepas iaitu bertemakan "Mahasiswa matang PERMATA gemilang". Sejauh mana pencapaiannya, sama-sama kita nantikan dalam AGM kali ke-11.

Bicara kali ini lebih kepada pemilihan tampuk kepimpinan. Pemilihan kepimpinan bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang enteng. Jika kita mengintai tabir sirah nubuwwah, nescaya kita akan menyedari betapa pentingnya pemilihan seorang khalifah atau pemimpin. Sewaktu kewafatan baginda s.a.w, para sahabat tidak membiarkan satu malam berlalu tanpa adanya kepimpinan baru, bahkan mereka bermusyawarah untuk memilih siapakan yang paling layak untuk memimpin ummah sejurus selepas kewafatan baginda Junjungan besar Rasulullah s.a.w.

Menurut Islam, kepimpinan adalah suatu amanah bukannya medan untuk mengejar kemasyuran(الامانة ليس ااتشريف و لكن للتكليف).

PERMATA seharusnya menjadi kilang untuk mengeluarkan pelapis-pelapis kepimpinan yang berkualiti kerana mahasiswa hari inilah yang bakal menjadi menggantikan tampuk kepimpinan negara sekarang.

Berdasarkan pengamatan saya terdapat beberapa ciri pilihan untuk memilih pemimpin yang boleh diringkas kepada 5B.

1) Berilmu
2) berfikiran jauh
3) berjiwa besar
4) berjiwa rakyat
5) Berperibadi mulia

Berilmu

Kisah talut wajar diberi perhatian. Berilmu dijadikan syarat untuk menjadi seorang pemimpin yang baik. Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Baqarah:

Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan? Nabi mereka berkata: Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.


Ilmu yang menjadi teras semestinya ilmu dalam kerangka tauhidullah. Selain itu, pelbagai ilmu tambah yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin seperti ilmu kepimpinan, pengurusan, komunikasi, fiqh waqi' dan sebagainya.

Berfikiran jauh

Sebagaimana kisah ashabul ukhdud, seorang mahasiswa muda yang berjuang untuk menegakkan tauhidullah telah meletakkan syarat agar dirinya di bunuh di hadapan seluruh masyarakat ketika itu. Tindakannya akhirnya menyebabkan seluruh kaumnya menganut agama hanif. Keputusannya merupakan jangka masa panjang dan tidak hanya bersifat keuntungan segera dan sementara.

Begitu juga baginda Rasulullah s.a.w sewaktu peristiwa perjanjian hudaibiyah, baginda positif menerima perjainjian yang ternyata berpihak kepada kaum lawan namun implikasinya sangat besar dalam keberhasilan pembukaan Mekah. Keputusan baginda menggambarkan pemikiran jangka masa panjang yang walaupun keuntungan tersebut tidak datang segera tetapi membawa keuntungan yang hakiki. Seorang pemimpin yang baik, mempunyai wawasan yang jauh terhadap masyarakat yang dipimpin. Keputusannya tidak bersifat untuk sehari dua bahkan untuk jangka masa sepuluh tahun yang akan datang.

Berjiwa besar

Seorang pemimpin yang berjiwa besar bukan yang berbicara besar semata sebaliknya adalah pemimpin yang tidak akan memikirkan gentar dengan masalah yang remah temeh tetapi tegar memperjuangkan ideologinya. Seorang pemimpin yang baik juga memikirkan kepentingan orang dibawahannya berbanding kepentingan diri sendiri dan mendahulukan perkara yang membawa kemaslahatan umum daripada kemaslahatan peribadi.

Berjiwa rakyat

Sifat ini biasanya menjadi ciri utama yang menjadi pilihan mahasiswa Mu'tah. Pemimpin seharusnya peka dengan kehendak mahasiswa tanpa mengorbankan prinsip-prinsip yang dipegang. Turun padang dan meminjamkan telinga untuk mendengar masalah orang bawahan akan menambahkan lagi rasa hormat orang yang dipimpin.

Berperibadi Mulia

Ciri ini semestinya wajib dimiliki oleh pimpinan kerana pemimpin merupakan cermin bagi sesebuah masyarakat. Pemimpin juga merupakan role-model yang dijadikan ikutan bagi orang yang dipimpin. Justera itu, menghiasi syakhsiyyah dengan sifat-sifat yang mulia seperti amanah, saleh dan sebagainya. Seperti kata-kata:

' حسنات الأبرار سيئات المقربين'.

"Perkara baik bagi orang awam merupakan perkara yang kurang baik bagi golongan muqarrabin"



Akhirnya, ciri-ciri ini mungkin nampak terlalu ideal, namun tidak mustahil untuk dilaksanakan. Alam kampus adalah medan yang terbaik untuk melatih menjadi pelapis kepimpinan.

Nota: Selamat mengundi buat warga Mu'tah, pilihan di tangan anda!


Ahad, 27 Jun 2010

Jahil Ma'nawi

Assalamu'alaikum w.b.t.

Bismillahirrahmanirrahim..

Saya tertarik dengan ulasan Dr. Tholib salah seorang pendidik di Universiti Mu'tah yang ketika mengajar subjek 'Qasas al-Quran'. Beliau telah menerangkan tentang JAHIL MA"NAWI ketika berbicara mengenai kisah kaum Nuh di dalam surah Hud. Tatlkala Allah s.w.t telah berfirman:

"Dia (Nuh) berkata "Wahai kaumku! Apa pendapatmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku, dan aku diberi rahmat dari sisiNya, sedangkan (rahmat itu) disamarkan bagimu. Apa kami akan memaksa kamu untuk menerimanya, padahal kamu tidak menyukainya?"

"Dan wahai kaumku! Aku tidak meminta harta kepadamu (sebagai imbalan) atas seruanku. Imbalanku hanyalah dari Allah dan aku sesekali tidak akan mengusir orang yang telah beriman. Sungguh, mereka bertemu dengan Tuhannya dan sebaliknya aku memandangmu sebagai kaum yang jahil"

(Surah Hud Ayat 28-29)

Menurut Dr. Tholib, ayat ini merujuk kepada kaum Nabi Nuh yang merupakan pemimpin masyarakat ketika itu yang tetap ingkar walaupun telah jelas kebenaran di hadapan mereka. Perkataan yang digunakan di dalam ayat 28 adalah 'فعميت' . Jika digunakan perkataan 'أعمى' maka kalimah tersebut bermakna buta dengan hakikat yang sebenar iaitu buta mata. Namun kalimah yang digunakan adalah daripada perkataan 'أعمة' iaitu merujuk kepada golongan yang matanya celik tetapi hatinya buta daripada melihat kebenaran. Walaupun telah dihadapkan dengan hujah yang kukuh, kebenaran yang nyata, mereka tetap berpaling daripada melihat kebenaran.


Seterusnya pada ayat 29 telah digunakan perkataan 'قوما تجهلون' yang bermaksud kaum yang tidak mengetahui atau jahil. Perkataan 'tajhalun' di situ menurut Dr, bukanlah bermakna mereka jahil dalam erti kata tidak tahu membaca atau menulis, tetapi jahil yang dikehendaki dalam ayat ini adalah mereka yang jahil atau tidak tahu akan kewujudan Allah lantas ingkar dan tidak beriman kepadaNya. Ulas Dr. lagi, walaupun kita mempunyai pendidikan sehingga ke peringkat PhD sekalipun tetap digelar jahil andai tidak beriman kepada Allah dan ingkar dengan suruhanNya. Golongan sebeginilah yang digelar JAHIL MA'NAWI. Iaitulah golongan yang punya ilmu tetapi ilmu mereka langsung tidak membawa hati mereka kenal pada pencipta bahkan golongan ini yang berusaha menyesatkan manusia daripada mengenal pencipta.

Justeru, kita memohon perlindungan daripada Allah s.w.t daripada JAHIL MA'NAWI. Walaupun memiliki bergulung-gulung ijazah namun tidak bermakna jika ilmu kita tidak membawa kita lebih dekat dengan Yang Maha Pencipta.

Kepada mahasiswa pengajian Islam yang diharap menjadi pembimbing masyarakat pada masa akan datang, berhati-hatilah dengan JAHIL MA'NAWI, mungkin kita boleh tergelincir dalam wabak JAHIL MA'NAWI jika ilmu yang ada kepada kita tidak membawa manusia kepada TUHAN tetapi lebih mengejar populariti yang akhirnya menyesatkan ummah dengan ideologi kita yang nyata bercanggah dengan kebenaran. Jadilah golongan cendiakawan Islam yang teguh dengan prinsip-prinsip Islam dan berjuang mempertahankannya serta tidak mudah tunduk dengan tawaran-tawaran dunia yang dihadapkan.


Nota: Tiba-tiba sahaja golongan ulama' kembali diperlukan, adakah kerana ada ular di sebalik semak? Berhati-hati menyumbat 'gol', jangan sampai termasuk 'gol' sendiri:)

Jumaat, 18 Jun 2010

Take A Break

Bismillahirrahmanirrahim..

"Berdiam diri bukan bermakna tidak peduli"

Salam buat seluruh pengunjung kanvasalsabila.. Sudah lama kita tidak bersua. Justera itu, suka saya memetik kata-kata di atas yang merupakan trademark seorang sahabat saya. Kadang-kadang diam itu baik untuk kita sebagaimana kita dianjurkan untuk berkata-kata yang baik atau tamatkan sahaja bicara itu. Tetapi diam bukan bermakna kita tidak mengambil cakna isu yang sedang berlegar di sekeliling kita.(alasan tidak mengupdate blog?hu3).

Baiklah, ingin saya khabarkan keadaan di Jordan sekarang. Ketika ini, musim panas sedang menjengah bumi tandus ini. Tanah-tanah mula merekah melainkan jika disimbahi air. Buah anggur di perkarangan rumah sudah mula menghasilkan buahnya dan menunggu masa untuk memetiknya:)

Tidak ramai pelajar Mu'tah yang mengambil subjek bagi semester panas ini, ramai yang lebih suka melancong ke luar Jordan samada Turki, Syiria, Mesir atau menunaikan umrah di Mekah. Tidak kurang juga yang mengambil peluang untuk bercuti di Malaysia.

Sebelum datang ke sini, saya tidak terfikir untuk kembali ke tanah air dalam masa yang terdekat. Namun setelah ke sini, adalah satu kejanggalan jika anda tidak pernah pulang ke tanah air sepanjang tempoh belajar di sini:)
Posting kali ini, saya ingin mengajak kalian 'mengecas' kembali niat, hasrat, azam, strategi dan kemahuan. Bulan Rejab, sangat baik untuk melakukan muhasabah kerana ia bulan pertengahan. Ibarat jika sekarang ini, heboh dengan piala dunia, separa masa kedua adalah masa yang terbaik untuk mem'postmortem' strategi yang digunakan dan masih tidak terlambat untuk mengubah staregi, mengubah posisi atau melakukan 'keajaiban'. Betul atau tidak? Jadi, sebelum kita melangkah dengan lebih laju dalam baki-baki tahun 1431H, mari kita 'mengkoreksi' kembali adakah azam yang telah kita pasang pada awal Muharram baru-baru ini berjalan dengan baik atau hanya tinggal azam semata-mata?

Kata sahabat saya lagi, azam, strategi, matlamat atau perancangan itu, lebih elok dicurahkan ke dalam kertas atau sesuatu yang bersifat kekal kerana lebih mudah untuk merealitikannya.

Oleh itu, pastikan perancangan anda itu telah diterjemahkan samada dalam bentuk tulisan atau apa-apa sahaja yang dapat kita lihat dan rasa dengan pancaindera. Ini kerana, perkara yang dilihat, dirasa, didengar, dihidu atau sebagainya lebih mudah meresap masuk dan meransang minda bawah sedar atau sedar untuk bekerja merealisasikannya.

Justera itu, suka saya mewar-warkan hasrat dan azam saya pertengahan tahun ini antaranya adalah menulis (Sila bagi sokongan:)).

Jika diintai hasil penulisan sepanjang berada di sini sangat mengecewakan..:(.. Hanya mampu menghasilkan beberapa entri sepanjang berada di sini. Bimbang saya dengan pepatah arab:


اقد الشىء لا يعطي"


"Orang yang tiada apa-apa tidak dapat memberi apa-apa"


Mungkin juga faktor kurang pembacaan terutama bahan-bahan yang berat dan kekurangan bahan bacaan yang berbahasa Melayu menyebabkan saya jarang menulis. Namun saya berazam untuk mengasah jari-jemari saya untuk lebih ligat menyampaikan sesuatu kepada khalayak ramai juga mengasak minda supaya lebih berfikir terutama masalah-masalah yang melanda masyarakat sekarang dan membawa kita semua kembali kepada fitrah kejadian asal diciptakan..


Doakan mudah-mudahan dakwah saya melalui medium ini mampu dilaksanakan secara berterusan. Saya juga menyeru kalian semua bersama menyumbang kepada Islam melalui medium ini:)

Khamis, 17 Jun 2010

Di sebalik kesusahan itu..

Assalamua'laikum w.b.t.

Bismillahirrahmanirrahim..

Subjek hadis antara subjek yang diminati semasa di Darul Quran dahulu. Saya masih ingat ketika saya masih di I'dadie Satu, telah didenda berdiri di atas kerusi dan tidak dapat duduk selagi mana tidak dapat 'mentasmi' hadis yang telah ditetapkan. Masa itu, guru subjek hadis saya adalah Ustazah Hasyimah. Waktu itu, kelas i'dadie satu berada di Bangunan Ummu Sulaim atau sekarang telah dijadikan Dewan Besar. Method ketika itu sangat bergantung kepada hafalan.

Apabila naik ke peringkat thanawi, kami didedahkan dengan subjek sains hadis atau ada yang menamakan ilmu 'mustholah hadis', iaitu mengenal secara ringkas istilah-istilah yang terdapat dalam ilmu hadis. Pada masa itu, minat saya menjadi luntur kerana tidak dapat memahami dengan baik dan menghadam istilah-istilah yang diberikan. Al-hasilnya, maka pada tahun tersebut saya hanya dapat markah yang cukup-cukup makan sahaja. Maka apabila terjadi begitu, saya tidak memberi tumpuan yang lebih kepada subjek 'ulumul hadis' kerana amat membosankan dan tidak menarik minat saya untuk lebih memahami subjek tersebut.

Oleh kerana saya telah 'memindsetkan' minda saya betapa susahnya subjek ini, maka minat itu terkubur di situ. Pada tahun-tahun yang seterusnya saya hanya menghafal semata-mata tanpa memahami bait-bait kalimah yang dihafal.


Terdapat perbezaan antara hadis dan ulumul hadis. Jika subjek hadis, maka kita akan mempelajari hadis-hadis bersama syarahannya samada dari sudut mufradat, sabab wurud hadis, istifadah dan sebagainya. Manakala ilmu sains hadis atau ulumul hadis, kita akan mempelajari dengan lebih detail berkenaan istilah-istilah yang diguna pakai untuk mengklasifikasikan hadis, syarat-syarat pengklasifikasian dan sebagainya.

Namun apabila mempelajari ilmu hadis dengan pensyarah-pensyarah di sini barulah terbuka hijab 'ketidakfahaman' sebelum ini. Alhamdulillah saya bersyukur kerana dikurniakan kefahaman yang baik di dalam subjek ini setelah sekian lama berada di dalam 'ketidakfahaman'.

Apa yang saya perhatikan, disiplin yang terdapat di dalam ulumul hadis sangat mengkagumkan. Untuk menentukan kesahihan sesebuah hadis, terdapat pelbagai method yang perlu digunakan. Ilmu-ilmu furu' yang lahir daripada ilmu ulumul hadis juga sangat banyak, antaranya ilmu takhrij hadis, ilmu rijal, ilmu i'lal dan pelbagai ilmu yang lain. Oleh itu, sangat tidak benar jika ada segelintir pihak ingin menafikan hadis bukan daripada Rasulullah s.a.w dan tidak sampai kepada baginda. Hal ini kerana dari sudut ketelitian dan syarat-syarat yang ketat telah ditetapkan oleh para ulama' untuk menerima pakai sesebuah hadis.

Pada semester pertama pengajian, saya berpeluang menghadam ilmu ulum al-hadis bersama Dr. Mustafa Abu Zaid. Subjek tersebut merupakan subjek kunci bagi subjek-subjek yang berkaitan. Manakala pada semester kedua, menekuni ilmu takhrij hadis bersama Dr. Mohd Said Hawwa, anakanda kepada tokoh gerakan Islam yang terkenal iaitu almarhum Said Hawwa.

Pada permulaan, memang terasa ingin menitis air mata semasa menekuni dua subjek tersebut bersama kedua-kedua doktor tersebut, pertama kerana faktor bahasa, kedua kerana faktor baru belajar memahami method-method pengajaran daripada mereka.

Namun alhamdulillah, di sebalik kesukaran tersebut, minat yang dahulu hampir terkubur kembali berputik. Walaupun agar sukar pada permulaan, namun saya dapat merasakan satu kepuasan kerana di akhirnya diberi nikmat kefahaman yang baik dan menghilangkan kekaburan serta 'ketidakjelasan' selama ini. Kata orang ibarat orang rabun yang baru mendapat cermin mata:)

Saya juga sangat bersyukur kerana walaupun saya mengambil bidang fiqh dan usul namun sistem pembahagian subjek di sini seimbang antara bidang fiqh dan usuluddin, sekurang-kurangnya mengubat rindu pada subjek-subjek usuluddin dan mengurangkan rasa terkilan kerana tidak dapat menyambung bidang usuluddin:)

Kesimpulan yang ingin saya sampaikan, jangan mudah berputus asa ketika menghadapi kesukaran untuk memahami sesebuah disiplin ilmu. Tanamkan minat dan perasaan ingin tahu ketika belajar. Paling penting, usah sesekali menghafal tanpa memahami isi hafalan:)


P/s: Baru selesai Daurah Matan Hadis. Sedang mengambil feel untuk subjek dirasat hadis fi sohihaini.