Sabtu, 20 Mac 2010

Ketika Pohon Anggur Mula Bertunas..

Ketika pohon anggur mula bertunas.

Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan kepada Rabbul Izzati kerana masih lagi mengurniakan dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam..

Saat ini bumi Mu'tah kian mengHIJAU... Sungguh sejuk mata memandang, kelihatan rumput-rumput mula melatai tanah yang dahulunya gersang, daun-daun seakan berkira-kira untuk bertunas dan bunga-bunga juga seakan malu-malu untuk mengeluarkan kelopak mereka.

Syukur sekali lagi dirafa'kan kerana kediaman saya yang baru kini mempunyai halaman yang agak luas berbanding kediaman dahulu di tingkat dua 'syuqqah' (bangunan lebih kurang rumah pangsa) yang tidak mempunyai halaman. Asalnya tidak terniat untuk kami berpindah, namun oleh kerana terdapat sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan maka terpaksa juga kami mengikut kehendak majoriti. Namun siapa sangka, kekadang yang kita kurang gemar itu adalah yang terbaik untuk kita. Ternyata perancangan ALLAH itu maha teratur kerana Dialah sebaik-baik perancangan.

Berbalik pada tajuk posting pada kali ini. Al-kisahnya, tajuk ini timbul setelah hati saya tercuit dengan gelagat ahlul bait yang bersorak kegembiraan tatkala melihat pohon anggur mula bertunas. Ketika itu, kami semua sedang bersarapan di dapur. Dari jendela dapur, kami dapat melihat dengan jelas pohon anggur yang mula bertunas.


Pohon anggur berhampiran jendela dapur


Subhanallah, Subhanallah dan Subhanallah. Sungguh Allah itu Maha Suci, Tuhan pencipta bumi dan segala yang terbentang di dalamnya. Tidak lepas-lepas kalimah itu di bibir kami tatkala melihat kebesaran Allah yang menakjubkan. Ternyata tanda-tanda kebesarannya begitu banyak di sekeliling kita. Tinggal sahaja bagaimana kita mahu berfikir lantas mengambil pengajaran dan pelajaran daripadanya.

Berada di negara yang mempunyai empat musim benar-benar dapat menyaksikan kebesaran Allah dengan lebih jelas terutama dalam fatrah pertukaran musim. Sebagai contoh, pohon anggur antara pohon buah-buahan yang tidak aktif pada musim sejuk, seolah-olah mati kerana hanya tinggal tunggulnya sahaja, langsung tidak berdaun apatah lagi berbuah. Namun apabila musim sejuk sudah hampir ke penghujung, pohonnya mula mengeluarkan tunas. Lantaran itu, ada ahli bait saya yang melompat kegembiraan apabila terperasankan tunas anggur yang mula tumbuh.

Di bumi inilah buah anggur tumbuh subur. Mungkin boleh disamakan dengan buah rambutan di Malaysia dari sudut mudahnya ditemui. Melihat pohon anggur, terkenang saya pada nasib pohon anggur di kolej lama saya KIAS, Nilampuri yang tumbuh menjalar di laluan pejalan kaki ke pejabat KIAS. Baru sahaja buah berjinak-jinak untuk berputik, ada sahaja tangan-tangan gatal yang memetiknya.

Namun berbeza keadaannya di sini. Ketika saya menjejakkan kaki di bumi ini enam bulan yang lalu, pohon anggur berjuntaian dan bertaburan di halaman rumah pak-pak arab. Agaknya mereka memandang buah anggur ini sepertimana kita mememandang pokok rambutan.

Apa pun, segala ingatan dan puji-pujian wajar dipulangkan kepada Yang Maha Mencipta. Dialah yang berkuasa mengatur dari sekecil-kecil dan seremeh-remeh perkara sehinggalah sebesar-besar perkara..

Benarlah firman Allah s.w.t:

"Dan Dia-lah Tuhan yang membentangkan bumi dan menjadikan gunung-gunung dan sungai-sungai padanya. Dan menjadikan padanya semua buah-buahan berpasang-pasangan, Allah menutupkan(YUGHSYI) malam kepada siang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan."
-Surah Ar-Ra'd-

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (190) (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka. "(191)
-Surah Ali Imran-


Beginilah rupa pohon anggur yang mula bertunas


Candid gambar dari kebun anggur jiran sebelah

Rumput-rumput mula melatai bumi syuhada'

Di halaman Bayt Fuqaihah

Nota: Sengaja memilih artikel yang 'release tension' kerana hari esok bermula pertempuran pertama bagi sem baru. Doakan kami mendapat ilmu yang berkat.

2 ulasan:

  1. Menariknya kak yang..nak ke mu'tah jumpa korang semuaaaaaaaa....^_^..rindu rasa nak duduk berborak-borak n makan sama2 ^_^..take care kak yang..sayang n miss u so much..

    BalasPadam
  2. Samalah..Mailah, farah memaang wajib mai sini, hu3.. Mailah sebelum balik Malaysia, pintu bayt fuqaihah sentiasa terbuka..

    BalasPadam