Khamis, 1 April 2010

Ada Sesiapa Terjumpa Masa Saya?


Assalamualaikum.

Bismillahirrahirrahmanirrahim.

Ada sesiapa terjumpa masa saya yang telah berlalu? ('menyesal' kerana tidak berupaya memanfaatkan masa semaksimum mungkin:( ).


Pernah atau tidak anda merasa menyesal? Kecewa? Ingin mengulang kembali waktu semalam?

Pepatah arab ada menyebut:

"ليت الشباب يعود يوما"

"Kalaulah masa muda dapat dikembalikan semula".

Mengikut ilmu bahasa arab, perkataan 'laita' adalah bermaksud 'littamanna' iaitu merujuk kepada cita-cita yang tidak mungkin dapat dicapai. Contoh seperti orang tua yang bercita-cita menjadi muda. Sehingga matahari terbit di barat pun tidak mungkin cita-citanya untuk menjadi muda itu dapat dikecapi kembali (melainkan Allah berfirman: "kun fa yakun").

Ada tiga perkara yang jika sudah berlaku tidak dapat diulang kembali, tidak dapat berundur kembali dan tidak dapat ditarik kembali walaupun menangis air mata darah:

1) Masa

2) Peluang

3) Pertuturan.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda di dalam sebuah hadis tentang kepentingan merebut masa lapang sebelum masa sempit.

Juga peringatan kepada golongan muda merebut masa muda untuk melakukan pelbagai perkara sebelum tiba masa tua.

Masa satu ujian?

Jika anda diberi modal berupa wang sebanyak Ringgit Malaysia Sepuluh Juta apakah yang anda akan lakukan? Di manakah wang itu anda akan laburkan untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat kali ganda? Atau anda akan buang duit tersebut dengan membazirkannya dengan perkara yang tidak berfaedah? Saya yakin, anda pasti memikirkan cara untuk mendapat pulangan yang lebih banyak daripada sepuluh juta tersebut.

Sedarkah anda, masa yang diberikan juga adalah modal? Modal bagi kehidupan. Orang yang berjaya adalah mereka yang menggunakan seoptimum mungkin waktu yang ada untuk melakukan perkara-perkara yang bermanfaat. Jika bagi kita umat Islam, Allah telah menyenaraikan ciri-ciri mereka yang berjaya menggunakan masa dengan baik di dalm surah Al-Asr iaitu:

1) Golongan yang beriman
2)Golongan yang melakukan amalan soleh
3)Golongan yang berpesan-pesan kepada kesabaran
4)Golongan yang berpesan-pesan kepada kebenaran.

Di waktu sempit saya, saya pernah terfikirkan bagaimana sekelompok manusia dapat bersenang lenang dengan membazirkan masa dengan perkara-perkara yang kurang mendatangkan faedah dan impak yang banyak dalam kehidupan. Tidakkah mereka sedar waktu yang ada merupakan amanah yang akan ditanya kelak di akhirat?

Bagaimana kita melaburkan masa kita? Adakah kita tergolong dalam kalangan mereka yang di sebut oleh Allah golongan yang rugi atau kita merupakan golongan yang beruntung dengan pelaburan masa?

Namun, ketika berada di saat lapang, barulah saya menyedari bahawa waktu lapang juga satu ujian. Terlalu banyak waktu kosong tanpa melakukan perkara-perkara yang berfaedah juga merupakan perkara yang menyesakkan dada. Tika itu, baru tahu kemampuan diri merancang sesuatu untuk mengisi bilah-bilah waktu yang merupakan usia kita. Saat itu juga, barulah terasa bersyukur dengan kesempitan waktu yang pernah dilalui serta berharap dapat melaluinya kembali.

Berdisiplin untuk mengurus masa.

Bagi saya cabaran yang terbesar adalah berdisiplin untuk mengurus masa. Setiap orang boleh merancang dan merencana berbagai-bagai jadual namun untuk mengikutinya bukan satu perkara yang mudah. Memerlukan tadhiyah dan mujahadah yang tinggi untuk melawan virus malas. Siapa yang punya formula yang paling mudah untuk melawan virus malas? Boleh berkongsi dengan saya.

Setakat ini, bagi saya formula yang mampu menangkis serangan malas, sikap suka bertangguh, kurang berdisiplin dan membuang masa adalah keazaman yang tinggi serta cita-cita dan matlamat yang jelas (selain doa yang di ajar oleh Rasulullah s.a.w "Ya Allah ya Tuhanku, Aku belindung daripadaMu dari perasaan lemah dan sikap malas).

Rasulullah pernah bersabda:

"Katakanlah aku beriman kepada Allah kemudian beristiqamahlah"

Hadis ini mengajar kita supaya sentiasa merefersh atau mentajdid iman dengan berkata 'Aku beriman kepada Allah'. Keimanan itu perlu dizahirkan dengan kata-kata dan disebut acap kali. Mengapa ya? Mungkin kerana sifat manusia yang sering lupa perlu kepada sesuatu yang mengingatkan kembali kepada matlamat asal iaitu tunduk dan patuh kepada Allah lantas kita diseru untuk memperingatinya dengan mengucapkan kata-kata tersebut. Mudah-mudahan dengan melafazkan kata-kata tersebut kita akan sentiasa beringat lalu istiqamah di dalam keimanan.

Begitu juga diri kita, saat dirudung rasa malas dan kurang bersemangat dalam mendisiplinkan diri, kita perlu mengipas azam agar sentiasa kekal membara untuk terus membakar semangat mencapai cita-cita yang diidam-idamkan. Mereka yang mempunyai matlamat dan cita-cita yang jelas dalam hidup tidak akan lama bersikap bermalas-malasan kerana mempunyai target yang perlu dicapai. Mereka tidak akan kalah dengan sikap sambil lewa dan kurang berdisiplin dalam menguruskan masa mereka.

Oleh itu, saya suka berpesan buat diri dan kalian semua, gariskan target dan matlamat yang jelas yang ingin dicapai terutama apabila berada di perantauan. Ilmu apa yang ingin kita hadam dan kuasai? Kemahiran apa yang perlu dilengkapkan dan sebagainya agar apabila kita terasa lemah, matlamat-matlamat itu yang mampu menguatkan kita dan apabila kita tersasar seketika, matlamat itu yang akan memandu kita kembali ke jalan yang kita ingini. Hasilnya kita tidak akan pulang di tanah air dengan tangan kosong dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

Belajar daripada insan yang berjaya

Kisah-kisah daripada insan-insan yang berjaya juga wajar diambil iktibar. Penggunaan masa yang optimum melayakkan mereka mengecapi kejayaan. Walhal modalnya sama seperti kita iaitu 24 jam sehari. Kita punya detik 24 jam itu, Perdana Menteri seluruh dunia, Barrack Obama, dan yang seangkatan dengannya juga mempunyai masa 24 jam sahaja. Namun kewajipan mereka berganda-ganda banyaknya berbanding kita. Kewajipan sebagai ketua negara, pemimpin masyarakat, ketua keluarga, anak dan sebagainya namun masih sempat menyediakan masa untuk menulis karya, membaca sebagai makanan minda, dan sebagainya. Mungkin oleh kerana mereka melihat kewajipan yang melebihi masa yang mereka ada, lantas mereka berlumba-lumba dengan masa. Sesaat pun mereka tidak akan biarkan masa memintas mereka serta memancung mereka.

Berbeza dengan kita, kesibukan yang tidak sampai sedebu pun dijadikan alasan untuk bermalas-malasan dan tidak menggunakan masa untuk menuntut ilmu dengan sebaiknya. Waktu yang terluang lebih banyak digunakan untuk bersembang perkara-perkara yang tidak berfaedah serta melakukan perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Contoh-contohnya tidak ingin dikupas di sini kerana anda lebih memahaminya.

Akhirnya, anak muda yang mempunyai banyak masa kosong dan tidak memanfaatkannya untuk kebaikan sama seperti air yang tidak mengalir, statik kedudukannya lantas bertakung dan membusuk. Jadikanlah usia muda yang dilalui sekarang sebagai usaha membina diri menjadi peribadi yang unggul. Jangan sampai menyesal di waktu akan datang kerana tidak memanfaatkan masa dengan sebaiknya.

Nota: Terlalu banyak membuang masa membuatkan kita sering tiada masa. Muhasabah enam bulan diri ini di perantauan. Peringatan juga buat diri yang sedang berusaha menangkis virus malas yang semakin bersarang di dalam diri. Sungguh aku mahu rajin!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan