Bismillahirrahmanirrahim..
Subjek hadis antara subjek yang diminati semasa di Darul Quran dahulu. Saya masih ingat ketika saya masih di I'dadie Satu, telah didenda berdiri di atas kerusi dan tidak dapat duduk selagi mana tidak dapat 'mentasmi' hadis yang telah ditetapkan. Masa itu, guru subjek hadis saya adalah Ustazah Hasyimah. Waktu itu, kelas i'dadie satu berada di Bangunan Ummu Sulaim atau sekarang telah dijadikan Dewan Besar. Method ketika itu sangat bergantung kepada hafalan.
Apabila naik ke peringkat thanawi, kami didedahkan dengan subjek sains hadis atau ada yang menamakan ilmu 'mustholah hadis', iaitu mengenal secara ringkas istilah-istilah yang terdapat dalam ilmu hadis. Pada masa itu, minat saya menjadi luntur kerana tidak dapat memahami dengan baik dan menghadam istilah-istilah yang diberikan. Al-hasilnya, maka pada tahun tersebut saya hanya dapat markah yang cukup-cukup makan sahaja. Maka apabila terjadi begitu, saya tidak memberi tumpuan yang lebih kepada subjek 'ulumul hadis' kerana amat membosankan dan tidak menarik minat saya untuk lebih memahami subjek tersebut.
Oleh kerana saya telah 'memindsetkan' minda saya betapa susahnya subjek ini, maka minat itu terkubur di situ. Pada tahun-tahun yang seterusnya saya hanya menghafal semata-mata tanpa memahami bait-bait kalimah yang dihafal.
Terdapat perbezaan antara hadis dan ulumul hadis. Jika subjek hadis, maka kita akan mempelajari hadis-hadis bersama syarahannya samada dari sudut mufradat, sabab wurud hadis, istifadah dan sebagainya. Manakala ilmu sains hadis atau ulumul hadis, kita akan mempelajari dengan lebih detail berkenaan istilah-istilah yang diguna pakai untuk mengklasifikasikan hadis, syarat-syarat pengklasifikasian dan sebagainya.
Namun apabila mempelajari ilmu hadis dengan pensyarah-pensyarah di sini barulah terbuka hijab 'ketidakfahaman' sebelum ini. Alhamdulillah saya bersyukur kerana dikurniakan kefahaman yang baik di dalam subjek ini setelah sekian lama berada di dalam 'ketidakfahaman'.
Apa yang saya perhatikan, disiplin yang terdapat di dalam ulumul hadis sangat mengkagumkan. Untuk menentukan kesahihan sesebuah hadis, terdapat pelbagai method yang perlu digunakan. Ilmu-ilmu furu' yang lahir daripada ilmu ulumul hadis juga sangat banyak, antaranya ilmu takhrij hadis, ilmu rijal, ilmu i'lal dan pelbagai ilmu yang lain. Oleh itu, sangat tidak benar jika ada segelintir pihak ingin menafikan hadis bukan daripada Rasulullah s.a.w dan tidak sampai kepada baginda. Hal ini kerana dari sudut ketelitian dan syarat-syarat yang ketat telah ditetapkan oleh para ulama' untuk menerima pakai sesebuah hadis.
Pada semester pertama pengajian, saya berpeluang menghadam ilmu ulum al-hadis bersama Dr. Mustafa Abu Zaid. Subjek tersebut merupakan subjek kunci bagi subjek-subjek yang berkaitan. Manakala pada semester kedua, menekuni ilmu takhrij hadis bersama Dr. Mohd Said Hawwa, anakanda kepada tokoh gerakan Islam yang terkenal iaitu almarhum Said Hawwa.
Pada permulaan, memang terasa ingin menitis air mata semasa menekuni dua subjek tersebut bersama kedua-kedua doktor tersebut, pertama kerana faktor bahasa, kedua kerana faktor baru belajar memahami method-method pengajaran daripada mereka.
Namun alhamdulillah, di sebalik kesukaran tersebut, minat yang dahulu hampir terkubur kembali berputik. Walaupun agar sukar pada permulaan, namun saya dapat merasakan satu kepuasan kerana di akhirnya diberi nikmat kefahaman yang baik dan menghilangkan kekaburan serta 'ketidakjelasan' selama ini. Kata orang ibarat orang rabun yang baru mendapat cermin mata:)
Saya juga sangat bersyukur kerana walaupun saya mengambil bidang fiqh dan usul namun sistem pembahagian subjek di sini seimbang antara bidang fiqh dan usuluddin, sekurang-kurangnya mengubat rindu pada subjek-subjek usuluddin dan mengurangkan rasa terkilan kerana tidak dapat menyambung bidang usuluddin:)
Kesimpulan yang ingin saya sampaikan, jangan mudah berputus asa ketika menghadapi kesukaran untuk memahami sesebuah disiplin ilmu. Tanamkan minat dan perasaan ingin tahu ketika belajar. Paling penting, usah sesekali menghafal tanpa memahami isi hafalan:)
P/s: Baru selesai Daurah Matan Hadis. Sedang mengambil feel untuk subjek dirasat hadis fi sohihaini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan