Isnin, 28 Jun 2010

Selamat Memilih, Pilihan di Tangan Anda!

"Mahasiswa hari ini, pemimpin masa hadapan"

Assalamu'alaikum w.b.t.

Bismillahirrahmanirrahim..

Saat ini bahang muktamar tahunan Persatuan Mahasiswa Malaysia Mu'tah Jordan atau singkatannya PERMATA kian terasa. Sehari sebelum muktamar, masyarakat mahasiswa Mu'tah akan berhadapan dengan satu pemilihan untuk menggantikan tampuk kepimpinan yang bakal berakhir 9 Julai ini. PERMATA telah menyambut ulang tahunnya yang kesepuluh pada tahun ini. Menelusuri 10 tahun PERMATA, PERMATA telah menggariskan wawasan yang ingin dicapai dalam masa sepuluh tahun lepas iaitu bertemakan "Mahasiswa matang PERMATA gemilang". Sejauh mana pencapaiannya, sama-sama kita nantikan dalam AGM kali ke-11.

Bicara kali ini lebih kepada pemilihan tampuk kepimpinan. Pemilihan kepimpinan bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang enteng. Jika kita mengintai tabir sirah nubuwwah, nescaya kita akan menyedari betapa pentingnya pemilihan seorang khalifah atau pemimpin. Sewaktu kewafatan baginda s.a.w, para sahabat tidak membiarkan satu malam berlalu tanpa adanya kepimpinan baru, bahkan mereka bermusyawarah untuk memilih siapakan yang paling layak untuk memimpin ummah sejurus selepas kewafatan baginda Junjungan besar Rasulullah s.a.w.

Menurut Islam, kepimpinan adalah suatu amanah bukannya medan untuk mengejar kemasyuran(الامانة ليس ااتشريف و لكن للتكليف).

PERMATA seharusnya menjadi kilang untuk mengeluarkan pelapis-pelapis kepimpinan yang berkualiti kerana mahasiswa hari inilah yang bakal menjadi menggantikan tampuk kepimpinan negara sekarang.

Berdasarkan pengamatan saya terdapat beberapa ciri pilihan untuk memilih pemimpin yang boleh diringkas kepada 5B.

1) Berilmu
2) berfikiran jauh
3) berjiwa besar
4) berjiwa rakyat
5) Berperibadi mulia

Berilmu

Kisah talut wajar diberi perhatian. Berilmu dijadikan syarat untuk menjadi seorang pemimpin yang baik. Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Baqarah:

Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan? Nabi mereka berkata: Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.


Ilmu yang menjadi teras semestinya ilmu dalam kerangka tauhidullah. Selain itu, pelbagai ilmu tambah yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin seperti ilmu kepimpinan, pengurusan, komunikasi, fiqh waqi' dan sebagainya.

Berfikiran jauh

Sebagaimana kisah ashabul ukhdud, seorang mahasiswa muda yang berjuang untuk menegakkan tauhidullah telah meletakkan syarat agar dirinya di bunuh di hadapan seluruh masyarakat ketika itu. Tindakannya akhirnya menyebabkan seluruh kaumnya menganut agama hanif. Keputusannya merupakan jangka masa panjang dan tidak hanya bersifat keuntungan segera dan sementara.

Begitu juga baginda Rasulullah s.a.w sewaktu peristiwa perjanjian hudaibiyah, baginda positif menerima perjainjian yang ternyata berpihak kepada kaum lawan namun implikasinya sangat besar dalam keberhasilan pembukaan Mekah. Keputusan baginda menggambarkan pemikiran jangka masa panjang yang walaupun keuntungan tersebut tidak datang segera tetapi membawa keuntungan yang hakiki. Seorang pemimpin yang baik, mempunyai wawasan yang jauh terhadap masyarakat yang dipimpin. Keputusannya tidak bersifat untuk sehari dua bahkan untuk jangka masa sepuluh tahun yang akan datang.

Berjiwa besar

Seorang pemimpin yang berjiwa besar bukan yang berbicara besar semata sebaliknya adalah pemimpin yang tidak akan memikirkan gentar dengan masalah yang remah temeh tetapi tegar memperjuangkan ideologinya. Seorang pemimpin yang baik juga memikirkan kepentingan orang dibawahannya berbanding kepentingan diri sendiri dan mendahulukan perkara yang membawa kemaslahatan umum daripada kemaslahatan peribadi.

Berjiwa rakyat

Sifat ini biasanya menjadi ciri utama yang menjadi pilihan mahasiswa Mu'tah. Pemimpin seharusnya peka dengan kehendak mahasiswa tanpa mengorbankan prinsip-prinsip yang dipegang. Turun padang dan meminjamkan telinga untuk mendengar masalah orang bawahan akan menambahkan lagi rasa hormat orang yang dipimpin.

Berperibadi Mulia

Ciri ini semestinya wajib dimiliki oleh pimpinan kerana pemimpin merupakan cermin bagi sesebuah masyarakat. Pemimpin juga merupakan role-model yang dijadikan ikutan bagi orang yang dipimpin. Justera itu, menghiasi syakhsiyyah dengan sifat-sifat yang mulia seperti amanah, saleh dan sebagainya. Seperti kata-kata:

' حسنات الأبرار سيئات المقربين'.

"Perkara baik bagi orang awam merupakan perkara yang kurang baik bagi golongan muqarrabin"



Akhirnya, ciri-ciri ini mungkin nampak terlalu ideal, namun tidak mustahil untuk dilaksanakan. Alam kampus adalah medan yang terbaik untuk melatih menjadi pelapis kepimpinan.

Nota: Selamat mengundi buat warga Mu'tah, pilihan di tangan anda!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan