Ahad, 27 Jun 2010

Jahil Ma'nawi

Assalamu'alaikum w.b.t.

Bismillahirrahmanirrahim..

Saya tertarik dengan ulasan Dr. Tholib salah seorang pendidik di Universiti Mu'tah yang ketika mengajar subjek 'Qasas al-Quran'. Beliau telah menerangkan tentang JAHIL MA"NAWI ketika berbicara mengenai kisah kaum Nuh di dalam surah Hud. Tatlkala Allah s.w.t telah berfirman:

"Dia (Nuh) berkata "Wahai kaumku! Apa pendapatmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku, dan aku diberi rahmat dari sisiNya, sedangkan (rahmat itu) disamarkan bagimu. Apa kami akan memaksa kamu untuk menerimanya, padahal kamu tidak menyukainya?"

"Dan wahai kaumku! Aku tidak meminta harta kepadamu (sebagai imbalan) atas seruanku. Imbalanku hanyalah dari Allah dan aku sesekali tidak akan mengusir orang yang telah beriman. Sungguh, mereka bertemu dengan Tuhannya dan sebaliknya aku memandangmu sebagai kaum yang jahil"

(Surah Hud Ayat 28-29)

Menurut Dr. Tholib, ayat ini merujuk kepada kaum Nabi Nuh yang merupakan pemimpin masyarakat ketika itu yang tetap ingkar walaupun telah jelas kebenaran di hadapan mereka. Perkataan yang digunakan di dalam ayat 28 adalah 'فعميت' . Jika digunakan perkataan 'أعمى' maka kalimah tersebut bermakna buta dengan hakikat yang sebenar iaitu buta mata. Namun kalimah yang digunakan adalah daripada perkataan 'أعمة' iaitu merujuk kepada golongan yang matanya celik tetapi hatinya buta daripada melihat kebenaran. Walaupun telah dihadapkan dengan hujah yang kukuh, kebenaran yang nyata, mereka tetap berpaling daripada melihat kebenaran.


Seterusnya pada ayat 29 telah digunakan perkataan 'قوما تجهلون' yang bermaksud kaum yang tidak mengetahui atau jahil. Perkataan 'tajhalun' di situ menurut Dr, bukanlah bermakna mereka jahil dalam erti kata tidak tahu membaca atau menulis, tetapi jahil yang dikehendaki dalam ayat ini adalah mereka yang jahil atau tidak tahu akan kewujudan Allah lantas ingkar dan tidak beriman kepadaNya. Ulas Dr. lagi, walaupun kita mempunyai pendidikan sehingga ke peringkat PhD sekalipun tetap digelar jahil andai tidak beriman kepada Allah dan ingkar dengan suruhanNya. Golongan sebeginilah yang digelar JAHIL MA'NAWI. Iaitulah golongan yang punya ilmu tetapi ilmu mereka langsung tidak membawa hati mereka kenal pada pencipta bahkan golongan ini yang berusaha menyesatkan manusia daripada mengenal pencipta.

Justeru, kita memohon perlindungan daripada Allah s.w.t daripada JAHIL MA'NAWI. Walaupun memiliki bergulung-gulung ijazah namun tidak bermakna jika ilmu kita tidak membawa kita lebih dekat dengan Yang Maha Pencipta.

Kepada mahasiswa pengajian Islam yang diharap menjadi pembimbing masyarakat pada masa akan datang, berhati-hatilah dengan JAHIL MA'NAWI, mungkin kita boleh tergelincir dalam wabak JAHIL MA'NAWI jika ilmu yang ada kepada kita tidak membawa manusia kepada TUHAN tetapi lebih mengejar populariti yang akhirnya menyesatkan ummah dengan ideologi kita yang nyata bercanggah dengan kebenaran. Jadilah golongan cendiakawan Islam yang teguh dengan prinsip-prinsip Islam dan berjuang mempertahankannya serta tidak mudah tunduk dengan tawaran-tawaran dunia yang dihadapkan.


Nota: Tiba-tiba sahaja golongan ulama' kembali diperlukan, adakah kerana ada ular di sebalik semak? Berhati-hati menyumbat 'gol', jangan sampai termasuk 'gol' sendiri:)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan