Isnin, 30 November 2009

Bila diulang-ulang..

Salam pengorbanan.

Beruntunglah barangsiapa yang diterima amalan korbannya..

Kali ini saya ingin berkongsi kisah..

Di sebuah sekolah.

"Ini apa?" tanya seorang guru kepada murid-muridnya.

"Buku" jawab murid-muridnya serentak.

"Ini pula?", guru tersebut bertanya lagi.

"Pen", serentak mereka menjawab.

"Sekarang saya minta kamu tukarkan ia, katakan pen apabila saya menunjuk buku, serta buku apabila saya menunjukkan pen," ujar guru itu lagi.

"Baik"

Lantas guru tersebut mengulang-ulang pertanyaannya. Pada permulaannya, jelas sekali para pelajar kekok mengatakan buku sebagai pen dan pen sebagai buku, namun lama-kelamaan sebutan mereka semakin lancar.

Apabila diulang-ulang..

Kisah di atas menunjukkan bahawa sesuatu perkara, jika sering diulang-ulang akhirnya menjadi suatu kebiasaan walaupun pada permulaannya kita merasa janggal. Sesuatu perkara juga-samada baik atau sebaliknya-jika diulang-ulang akhirnya bisa menumbuhkan kebiasaan. Kebiasaan itulah dipanggil tabiat. Kebiasaan itu juga kekadang dipanggil adat.

Hatta guru saya pernah berkata, jika ingin menjadi baik hendaklah kamu berpura-pura baik. Mula-mula saya tidak faham ibarat yang diungkapkan oleh beliau. Mengapa harus berpura-pura, bukankah itu hipokrit namanya? Sedang hipokrit itu sifatnya si munafik. Rupanya katanya ahli psikologi sesuatu perbuatan yang jika diulang-ulang mampu menjadi tabiat. Bukankah jika kita berpura-pura menjadi baik makanya perbuatan tersebut bisa melekat menjadi tabiat yang baik? Wallahu a'lam..

Jika di sekolah, teknik mengulang atau latih tubi ini adalah salah satu teknik yang sering digunakan di dalam pembelajaran. Jika kita seorang guru, pasti teknik ini akan digunakan untuk memastikan para pelajar dapat mengingat dengan mudah. Ulang, ulang dan ulang sehingga maklumat tersebut melekat dalam memori pelajar.

Antara contoh lain yang mudah adalah iklan sesuatu produk di televisyen. Iklan, walaupun hanya lima minit namun jika dalam sehari itu sepuluh kali diulang tayang akhirnya mampu membuatkan kita meng'hafaz'nya.

Apa yang dibimbangkan kebiasaan itu menumbuhkan kepercayaan atau keyakinan bahawa perkara yang diulang-ulang itu adalah perkara yang betul. Contohnya, iklan produk pencuci muka yang kononnya mampu memutihkan muka dalam masa 40 hari. Akibat sering diulang-ulang, ramai kaum wanita yang mempercayainya walaupun kurang percaya pada mulanya. Walhal tiada lagi bukti yang membenarkannya lantas terpedaya dan membeli produk tersebut.

Berhati-hatilah..

Dalam kehidupan seharian, banyak perkara yang menjadi tabiat dan kebiasaan kita. Samada kebiasaan tersebut adalah perkara yang baik mahupun tidak. Pernahkah kita koreksi adakah kebiasaan yang kita lakukan mengikut dan menepati kehendak syara'?

Berhati-hatilah dengan serangan musuh-musuh Islam. Sungguh saya menyeru!

Bagaimana mereka menyerang kita?

Dengan senjatakah atau dengan bom?

Rasanya kalian pasti telah arif. Antara serangan mereka adalah melalui media massa terutama televisyan, majalah dan lain-lain. Sengaja dipaparkan budaya dan amalan songsang mereka sehingga kita mendapati tidak pelik jika tidak menutup aurat. Berpegang-pegangan tangan sebelum berkahwin adalah perkara biasa. Jenayah yang sepatutnya dianggap berat seperti berzina dan mukaddimahnya turut dipromosikan seolah-olah perkara tersebut tiada aibnya. Kita juga seperti hilang SENSITIF bila perkara-perkara mungkar terpampang luas di dalam akhbar.

Jika dahulu, seorang sahaja murtad, bangkit sekalian yang punya DERIA untuk mempertahankan akidah saudara seagama.

Sekarang rasanya bila dikatakan 200 ribu umat Islam Melayu yang murtad, kita bagaikan tiada DERIA.

Bahkan di akhir zaman ini, amalan basic agama seperti menutup aurat, menjaga pergaulan, dan lain-lain diwar-warkan oleh media sebagai pelik. Apatah lagi jika berjihad dan lain-lain. Pengamalan nilai-nilai Islam digambarkan tersangat payah. Ya, ibarat menggenggam bara api. Bertudung dikatakan mengongkong kebebasan, berjubah apatah lagi. Menjaga ikhtilat dikatakan jumud, berjihad mempertahankan diri, keluarga dan tanah air lagilah dikatakan pengganas.

Pendek kata, segala amalan yang Islam kata perkara tersebut indah dan baik telah diputarbelitkan oleh musuh-musuh Islam dan dilabelkan dengan label yang ekstrim.

Al-malangnya, serangan psikologi yang dihantar oleh musuh-musuh Islam disambut baik oleh umat Islam bahkan mempercayai dan mengamalkannya.

Sehinggalah untuk beramal dengan sekecil-kecil amalan Islami berasa malu dan rendah diri.

Ya, tidak dinafikan, serangan yang hebat dilancarkan kepada umat Islam terutama golongan remaja dan wanita. Ah, re'tua' juga tidak terkecuali. Seluruh lapisan masyarakat sudah terkena serangan mereka. Namun iman dan taqwalah penangkis utama segala serangan tersebut. Tinggal lagi paras mana tahap keimanan kita. Mampukah menjadi benteng segala serangan?

Kesimpulannya, berhati-hatilah dengan apa yang kalian lihat kerana berhati-hati antara sifat orang bertaqwa.

Tapislah terlebih dahulu maklumat yang dibaca dengan tapisan iman.

Kajilah info yang didengar.

Jua perhatikan kebiasaanmu, perhatikan tabiatmu dan perhatikan adatmu.

Kerna itulah yang bisa menumbuhbuahkan akhlak dan tingkah lakumu.

Latihlah untuk mengkaji sebelum beramal melainkan amalan tersebut terdapat nas dan ketetapan di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Akhirnya, jangan sampai yang buruk itu menjadi kebiasaan kita. Biasakanlah diri kita dengan amalan yang betul dan betulkanlah amalan yang biasa kita lakukan.

Nota: Belum terlewat untuk mengucapkan tahniah kepada sahabat saya Halimahtun Saadiah Bt Abdullah dan pasangannya Mohd Firdaus atas kelahiran putera sulungnya. Moga bisa menjadi pembela Islami di masa mendatang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan