Sabtu, 17 Julai 2010

Tentang IHSAN

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'alaikum w.b.t.

"Sifat IHSAN hamba kepada Tuhannya, merasai rasa berTUHAN pada setiap detik kehidupan. Segala perbuatan, gerak geri dan tingkah lakunya akan akur dengan PEriNTAH dan LARANGAN Tuhannya. Amalnya seiring dengan kehendakNya. Kalaupun dia tidak merasai kehadiran Tuhannya, dia sentiasa merasai Tuhannya sentiasa ada untuk mengawasinya."


Suatu petang.

"Kehidupan kita ibarat 'shooting drama', kamera raqib dan atib ada di segenap penjuru kehidupan, segala perbuatan kita dirakam, perbualan direkod dan akan diulang tayang di dalam 'skrin besar' di padang mahsyar kelak, waktu itu seluruh manusia dari permulaan kaum adam sehingga umat akhir zaman menyaksikan rakaman kehidupan kita di dunia dahulu. Rakaman tersebut dipertontonkan tanpa ada satu bahagian pun yang diedit," nampaknya kali ini Moksu berfalsafah tentang Ihsan pula.

Kami yang pada masa itu berada di 'idadie 3 mengangguk-anggukkan kepala. Perumpamaan Moksu itu telah didengar buat kali yang kesekiannya.

Bagaimana mencapai IHSAN?

Minggu lepas dalam pengajian subjek hadis, kami telah membedah hadis kedua dalam HADIS NABAWI MATAN ARBAIEN oleh Imam Nawawi iaitu perbincangannya sekitar ISLAM, IMAN, IHSAN. Tiba bab yang terakhir di dalam hadis tersebut iaitu mengenai tanda-tanda hari kiamat, Dr. Mohd Hawwa melontarkan persoalan.

"Mengapa di akhir hadis ini menyebut mengenai tanda-tanda hari kiamat? Apa hubungannya dengan perbincangan di atas?"

Dr. Hawa kembali menyambung syarahannya.

"Hadis ini menyebut berkenaan tanda-tanda hari kiamat agar manusia mengingat hari kematian. Dengan mengingat kematian manusia berjaya mencapai martabat Ihsan,".

Lantas fikiran saya kembali mengingat soalan tilawah 1 yang disoal oleh Dr. Jamal iaitu ayat yang ke 34-42 surah abasa:

Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat,[33]
Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, [34]
Dan ibunya serta bapanya, [35]
Dan isterinya serta anak-anaknya; - [36]
Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. [37]
Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri, [38]
Tertawa, lagi bersuka ria;[39]
Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu, [40]
Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita. - [41]
Mereka itu ialah orang-orang yang kafir, yang derhaka.[42]


Sangat dahsyat ayat ini menggambarkan keadaan di hari kiamat. Kita sesekali tidak dapat menggambarkan dengan akal fikiran bagaimana ianya terjadi. Allah s.w.t telah menceritakan di dalam al-Quran gambaran awal hari Kiamat dan hari kebangkitan. Ayat-ayat yang berada dalam juzu' 29 & 30 banyak menceritakan hal-hal tersebut. Benar-benar ayat tersebut menggerunkan jiwa.

Saya teringat sahabat saya di acheh yang menceritakan bagaimana keadaan mereka tatkala menghadapi gempa.

Semuanya lari lintang-pukang, tiada masa untuk memikirkan apa-apa hatta 'orang tersayang' apatah lagi urusan dunia yang lain. Dalam kepala mereka hanya terbayang satu perkara sahaja iaitu 'MAUT'. Pada waktu itu, barulah teringat bagaimana amalan kita, adakah cukup untuk dipersembahkan padaNya.

Manusia yang mengingat hari kematian adalah sebijak-bijak manusia, kerana mereka tidak tertipu dengan kenikmatan dunia yang sementara.

Motivasi kematian sepatutnya membawa kepada peningkatan amalan. Oleh kerana menyedari hidup ini hanya sekali dan kematian yang dirahsiakan tarikh tibanya, membuatkan manusia yang sentiasa mengingatinya dan bersiap sedia untuk menghadapinya. Mati yang tidak dapat ditangguh membuatkan manusia tiada alasan dan masa untuk menangguhkan amalan kebaikan. Justera itu, Dr. Hawa menyifatkan manusia yang mengingati mati itu mampu mencapai martabat yang tertinggi iaitu IHSAN.

Jika yang mengingat kematian dan beriman dengan hari kebangkitan itu adalah seorang pemimpin negara, pasti dia tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang lantas menyusahkan rakyat bawahan kerana dia beriman adanya balasan baik dan buruk atas segala perbuatannya di dunia. Pemimpin tersebut juga pasti tidak berani melanggar perintah Allah seperti manghalalkan lesen judi kerana akur dengan laranganNya yang jelas termaktub dalam al-Quran.

Jika yang mengingat hari kematian dan beriman dengan hari kebangkitan itu adalah seorang mahasiswa, pasti tiada yang berani meniru di dalam dewan peperiksaan kerana yakin di kiri dan kanannya terdapat malaikat yang akan mencatat segala perbuatan baik dan buruknya.

Jika yang mengingat hari kematian dan hari kebangkitan itu adalah seorang pekerja, pasti akan melakukan yang terbaik dan menjadi pekerja yang produktif.

Apabila merasa hidup BERTUHAN, jadilah sekecil-kecil kehidupan kita seiring dengan kehendakNya. Tiadalah yang diharapkan di dunia ini, melainkan berjaya menggapai redhaNya.

Nota: Ya Allah, ampunkan segala kekhilafan kami, sesungguhnya kami hanyalah makhlukMu yang lemah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan