Khamis, 10 Mei 2012

Warna-warna Jordan: Cerita Fuqaihah 1

Bismillah.

Bunga ros kuning di halaman tangga Fuqaihah begitu mekar berkembang. Tanda musim bunga sudah menjengah bumi Urdun. Ceria. Sesekali melihatnya mendamaikan hati. Dedaun di pohon anggur juga galak menjalar, namun buahnya sama sekali kami tidak dapat memetik dan merasai kemanisannya pada musim ini. Kami? Sepatutnya hanya saya seorang sahaja yang perlu merasai kesedihan meninggalkan Fuqaihah tidak berapa lama lagi. Tetapi takdir Allah, dikurniakan teman-teman sebayt untuk sama-sama mengemas barang:) Al-kisahnya sohib bayt (tuan rumah) ingin menamatkan akad ijar (kontrak sewa) pada bulan depan. Bermakna hanya tinggal beberapa hari lagi berbaki.

Sepanjang menjejakkan kaki di sini, sudah tiga kali  saya berpindah randah. Semua perpindahan tersebut terjadi di awal tahun pengajian. Biasalah, adat pelajar baru yang baru belajar menyesuaikan diri. Ingin mencari rumah sewa yang benar-benar sesuai dengan jiwa di tanah arab ini agak sukar. Pasti ada sahaja yang tidak kena. Rumah yang pernah diduduki di syuqqah Mat'am Syuruq tempoh hari misalnya, sewa yang agak mahal dengan kemudahan yang kurang memuaskan. Bayangkan tangki air bagi setiap rumah di situ hanya satu meter padu untuk kegunaan seminggu! Jika hanya terpaksa bertolak ansur dengan harga bil elektrik dan perkhidmatan jurrah (Indah Water) yang mahal sahaja mungkin masih boleh bertahan. Ada enam buah rumah pelajar Malizi yang terdapat di Syuqqah Mat'am Syuruq ketika itu. Kesemuanya pelajar baru. Akhirnya setelah berbincang, kami bersetuju untuk berpindah keluar.

Alhamdulillah, setelah puas mencari, bagai bulan jatuh di riba, kami di'rekemen'kan Bayt Fuqaihah oleh suami sahabat yang pernah menjadi imam di Masjid Baz suatu ketika dahulu. Walaupun kedudukannya agak jauh dan di pinggir bandar Mu'tah, tapi saya senang dengannya. Bayt yang mustaqil (rumah sebuah dan tidak bersambung dengan mana-mana rumah lain) berbanding pelajar Malizi yang lain kebiasaannya akan menyewa di syuqqah bersama dengan a'ilah (keluarga arab). Rumah ini dahulunya pernah disewa oleh Dr. pensyarah Universiti Mu'tah. Mempunyai 4 buah bilik yang selesa, 2 ruang tamu yang luas, 2 bilik air dan 1 dapur yang besar. Yang penting, tangki airnya empat meter padu seminggu. Walaupun tidak dapat menandingi kemewahan air di tanah air, empat meter sudah dianggap agak lumayan oleh kami di sini. Bayaran sewa agak mahal jika dibandingkan dengan rumah-rumah sewa yang diduduki pelajar Malizi tetapi berbaloi dengan pembahagian bersama dengan enam lagi ahli bayt. 

Hampir tiga tahun juga kami berteduh di bumbung Fuqaihah. Pelbagai kisah manis, pahit yang dirasai bersama. Pernah dihuni oleh 7 orang gadis pingitan:) Kata saya pada ahli bayt, kisah kita ingin dirakam dalam bentuk tulisan. Doakan saya istiqamah menulis:)

Bersambung...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan