Beruntunglah barangsiapa yang beroleh petunjuk.
Beruntung juga barangsiapa yang menyucikan jiwanya..
Ramadhan telah 22 hari berlari pantas meninggalkan kita. Terasa bagai semalam sahaja melangkah ke gerbangnya. Mungkin kerana berada di akhir zaman yang dirasakan detik masanya semakin hari semakin cepat berlalu.
Pengunjung yang mudah-mudahan dirahmati Allah sekalian.
Bagaimana khabar kalian semua? Sihatkah rohani? Sihatkah jasmani?
Jika semuanya berada dalam keadaan a'fiah, alhamdulillah serta kesyukuran diucapkan kepada pemilik nyawa kita.
Sengaja ditanya khabar kalian kerana kita sudah berada di pusingan akhir ramadhan. Semestinya memerlukan stamina rohani dan jasmani yang lebih kuat untuk kita melipat gandakan lagi usaha supaya bisa meraih piala taqwa di akhirnya. Ya, piala yang penting untuk kita raih agar dapat menjadi perisai dalam jangka masa 11 bulan akan datang. Taqwa, itulah tempat jatuhnya pandangan Allah yang tidak memandang kaum, warna kulit, keturunan mahupun kekayaan. Bagaimana agaknya kita di sisi pandanganNya?
Kutunggu Kedatanganmu
Lailatul Qadar adalah waktu diturunkan al-Quran daripada Luh Mahfuz kepada baitul izzah secara sekaligus. Kemudian barulah diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. melalui perantara Jibril a.s. Malam itulah detik kebenaran dan cahaya bagi umat manusia.
Sesungguhnya kami telah turunkannya ( al-quran ) pada malam lailatul qadr.
Dan tahukah kamu apakah malam lailatul qadr itu?.
Iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Pada malam itu turun para malaikat dan ruh ( jibril ) dengan izin tuhan mereka untuk mengatur segala urusan.sejahteralah malam itu sehingga terbit fajar.
-surah al-Qadr-
Dan tahukah kamu apakah malam lailatul qadr itu?.
Iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Pada malam itu turun para malaikat dan ruh ( jibril ) dengan izin tuhan mereka untuk mengatur segala urusan.sejahteralah malam itu sehingga terbit fajar.
-surah al-Qadr-
Al-quran yang merupakan mukjizat nabi akhir zaman dituntut untuk diamalkan secara menyeluruh. Bukan sekadar menjadi dendangan halwa telinga.
Seperti saya dan kalian ketahui, dalam keadaan kritikal ini, Allah s.w.t telah menjanjikan kedatangan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan bersamaan 83 tahun lebih!! Wah, dalam banyak-banyak tawaran dalam bulan ramadhan ini, inilah tawaran terhebat sekali ditawarkan buat umat Nabi Muhammad. Mungkinkah umur kita mampu mencapai ke angka tersebut? Justeru selaku umat akhir zaman yang punya usia yang singkat berbanding umat-umat terdahulu wajar menghargai kurniaan dan hadiah daripada Allahs.w.t.
Marilah bersama kita menghidupkan malam-malam akhir ini dengan kekhusyukan beribadah kepada Allah s.w.t.
Hadirlah Lailatul Qadar, kutunggu kedatanganmu..
Nantikan Kedatanganku
Alhamdulillah, walaupun di luar perancangan awal, akhirnya saya diberi kesempatan untuk menjejakkan kaki di bumi syam pada akhir Ramadhan nanti. Maha besar kuasa Allah yang sebaik-baik rencana.
Jika diimbas kembali perjalanan mencari ilmu Allah s.w.t tidak selancar sahabat-sahabat yang lain. Impian di hati ingin menggali sebanyak mungkin mutiara ilmu yang bertaburan di perlembahan nil, namun saya dan sahabat-sahabat yang senasib menjadi mangsa sang penguasa yang rakus. Bagaimana mereka tergamak memusnahkan harapan anak bangsa mereka sendiri dengan membatalkan perjanjian MOU 3+1 kolej-kolej swasta dengan universiti yang tertua di dunia! Bangga sekali saya menjadi anak Malaysia!!
Namun mereka sama sekali lupa.
Kisah firaun telah mengajar kita bagaimana mimpi ngerinya yang ditafsirkan akan ada bayi lelaki yang dilahirkan bisa menggugat tahtanya. Ketakutan dan kegerunan firaun terhadap khabar tersebut hingga sanggup memerintahkan seluruh bayi lelaki yang dilahirkan pada waktu itu di bunuh hidup-hidup. Sangat kejam lagi tidak berperikemanusiaan.
Namun dalam kekalutan arahan itu dilaksana, Allah telah memakbulkan doa ibu nabi Musa. Siapa sangka, bayi yang paling dikehendaki disaksikan sendiri tumbesarannya oleh fir'aun di dalam istananya sendiri. Bahkan makan dan minum dijaga rapi. Siapa pun sama sekali tidak menyangka, nabi Allah Musa disusukan sendiri oleh ibunya dalam keadaan aman, damai dan tiada gangguan. Maha suci Allah yang Maha hebat perancangannya.
Segala-galanya telah diatur rapi oleh Allah. Yakinlah padaNya. Yang penting doa dan tawakkal kepada Allah. Jangan sesekali berhenti berharap. Usah sesekali serik berimpi. Usah jua jemu berusaha. Golongan yang benar pasti dikurniai kejayaan. Tinggal sama ada cepat atau lambat.
Beratnya menyandang amanah ummah. Doakan moga Allah mempermudahkan urusan musafir demi menimba sebanyak mungkin lautan ilmu di sana.
Bumi syam bagai melambai-lambai ke arahku. Bersabarlah, nantikan kedatanganku...
P/s: Mungkin ini entry yang terakhir sebelum berangkat. Terima kasih kepada semua pihak yang sudi menyumbang buat bekalan tika musafir. Moga Allah membalas jasa kalian dengan sebaik-baik pembalasan. Mohon maaf zahir dan batin. Dipanjangkan umur ketemu lagi.. Selamat memburu Lailatul Qadr.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan